Theflowersellingboy

Isnin, 29 Oktober 2012

Solat Jenazah

Saya percaya sebahagian besar dari kita umat Islam khususnya orang Melayu tidak memberikan perhatian yang utama kepada solat jenazah. Sikap yang jelas diperlihatkan adalah bahawa solat fardhu kifayah ini sudah memadai dilakukan oleh beberapa orang yang dianggap 'alim' bagi sesuatu karyah/penempatan atau kampong.  
Sikap seperti ini, pada pandangan saya bukanlah disebabkan pemahaman mereka tentang maksud fardhu kifayah itu sendiri iaitu jika ada yang melakukannya maka terlepaslah tanggongjawab orang lain untuk melakukannya. Sebaliknya saya lebih kuat untuk mengatakan bahawa ada diantara anggota masyarakat yang masih tidak mempunyai kefahaman tentang fardhu 'ain mahu pun fardhu kifayah. 
Jika adapun yang faham misalnya dalam hal solat jenazah ini, keinginan atau rasa tanggungjawab untuk bersama-sama melakukan solat jenazah ini, apa yang saya pernah lihat, terlalu kurang. Sebahagian besar akan berdiri dan bersembang-sembang diluar rumah (jika solat dilakukan dirumah) dengan ragam suara yang berbagai-bagai atas berbagai tajuk yang sebahagiannya tiada langsung menunjukkan sikap dan perasaan berkabung diatas pemergian seseorang itu. Jauh sekali mahu mendoakan agar yang pergi itu diberi keampunan oleh Allah SWT.
Yang peliknya , jika solat dilakukan di masjid, ada juga yang tidak teringin untuk bersama-sama bersolat jenazah. Mereka begitu bersahaja meneruskan sembangan sementara menunggu jemaah yang lain bersolat. Masjid tidak mempunyai apa-apa makna kepada mereka.
Dan bertambah pelik lagi apabila mereka ini akan meneruskan perjalanan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk dibaca talkin dan di kebumikan. Mereka lihat mayat dikebumikan. Mereka juga dengar talkin dibacakan. Tapi mereka mengambil sikap bersahaja saja kerana jika ada kematian yang lain mereka mengulang kelakuan dan sikap yang sama.
Bagi saya yang paling malang sekali ialah apabila ada diantara ahli keluarga sendiri yang tidak bersama-sama melakukan solat jenazah. Misalnya seorang anak yang tidak bersama bersolat untuk jenazah emaknya. Jauh sekali untuk mengimamkan solat itu kerana katanya itu adalah tanggungjawab imam surau/masjid.
Mengapa jadi begini? Adakah ada kebencian? 

Saya tidak juga dapat memahami sepenuhnya mengapa jadi begini. 

Hanya saya cuba mencari jawapan untuk renungan bersama.
Saya tidak percaya 'ada kebencian' mempengaruhi sikap mereka yang tidak bersolat jenazah itu. Sebab, pertama, mereka menziarah jenazah. Kedua, mereka mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Ketiga, mereka hadir jika keluarga simati mengadakan kenduri doa selamat.
Jadi kebencian dan dendam kesumat bukan penyebab kepada mengapa mereka tidak bersama melakukan solat jenazah.
Saya juga tidak percaya bahawa ahli keluarga yang tidak bersolat jenazah itu, misalnya seorang anak untuk emaknya, tidak mempunyai kasih sayang diantara anak dan emak semasa emak masih hidup. Sebab, pertama, semua ahli keluarga termasuk anak, menangis teresak-esak kerana kehilangan emak. Wajah sedih dan muram. Bacaan Surah Yassin dilakukan oleh semua ahli keluarga, malah berulangkali sambil menyediakan bilangan buku ayat surah Yassin yang banyak untuk dibaca oleh mereka yang datang menziarah. Kedua, jenazah diuruskan sebaik mungkin dengan mengeluarkan perbelanjaan yang terlibat. Ketiga, mengadakan kenduri doa selamat meminta hadiran mendoakan keampunan untuk arwah. Dan kenduri bukan saja sekali malah sentiasa menjadi amalan diadakan kenduri arwah.

Maknanya kasih sayang masih lagi erat terikat. Anak sentiasa mendoakan agar emaknya dicucuri rahmat dan diampunkan dosanya. 
Tapi mengapa bila tiba solat jenazah untuk emak, anak tidak melakukannya?
Cuba perhatikan pula sambutan menyambut hari raya puasa dan hari raya kurban. Solat sunat kedua-dua raya itu meriah sekali. Maksud saya meriah dari segi bilangannya yang ramai yang melempah ruah ke luar dari ruang dalam masjid. Lelaki dan perempuan, yang tua mahupun yang muda serta  anak-anak kecil turut serta. Berpakaian serba cantik dengan bau-bauan yang harum. Ada yang datang berjalan kaki dan ada yang berkenderaan. Selepas solat mereka berpusu-pusu menuju ke kubur untuk mendoakan kesejahteraan mereka yang telah mendahului.
Imam atau pun bilal dalam kebanyakan masjid yang saya pernah bersama dalam melakukan solat hari raya ini, sebelum memulakan solat, akan mengingat serta mengajar ahli jemaah akan cara menunaikan solat raya. Antaranya, niat solat, bilangan rakaat, bilangan takbir pada rakaat pertama dan kedua dan khutbah selepas solat.
Cuba lihat bagaimana kita semua meletakkan tempat solat raya berbanding dengan solat jenazah. Nampaknya solat jenazah tidak dipandang sebagai yang juga penting untuk dilaksanakan. Belum pernah saya ketemu ada pihak atau imam mengingati para hadirin akan cara melakukan solat jenazah, misalnya niatnya, bilangan takbirnya dan bacaan pada setiap selepas takbir.
Solat jenazah tidak mendapat tempat dihati kita. Tidak ada sesiapapun  yang meransang kita untuk melakukan solat jenazah. Pada hal secara perbandingan solat jenazah itu paling mudah sekali.
Sekali lagi mahu ditanya, mengapakah  ramai orang yang tidak melakukan solat jenazah, termasuk dari ahli keluarga sendiri, walaupun mereka berada pada waktu solat itu dilakukan?
Saya berpandangan bahawa sebabnya ialah mungkin ada kaitan dengan budaya kita. Kita lebih suka terlibat dalam hal-hal yang menyeronokkan. Sebahagian besar dari kita terlalu gembira untuk ke masjid menunaikan solat raya. Kita berpakaian cantik dan memakai bau-bauan. Ini tidak salah malah digalakkan sebagai tanda kesyukuran kita selepas berjaya melalui bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan. Cuma, ada juga diantara kita , agak tergelincir dari tujuan melaksanakan solat itu. Buktinya, sebaik habis saja imam memberi salam, ada diantara jemaah, ramai juga, terus bangkit meninggalkan ruang solat sebelum mendengar khutbah raya.
Mereka itu tidak mendengar khutbah yang merupakan sebahagian dari solat raya itu. Tapi keluar meninggalkan ruang solat. Yang sedihnya  ada yang mengambil gambar dengan kawan-kawan, apatah lagi yang lama tidak berjumpa. Mereka begitu  seronok dan gembira sambil menggayakan berbagai 'posing' dihadapan kamera, apatah lagi pada masa ini talipon pun ada kamera, sedang imam diatas mimbar masih lagi berkhutbah.

Apakah makna perbuatan mereka itu? Pada tafsiran saya sikap dan perbuatan mereka itu lebih bersifat untuk berseronok dan bergembira melalui kehadiran bersolat raya. Perbuatan itu jauh  dari berniat untuk menyatakan kesyukuran diatas kejayaan berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Agaknya sebab itulah yang membuatkan ramai orang yang sanggup berjalan dan berkenderaan dengan mengeluarkan belanja yang banyak juga membeli pakaian baru serta wangian untuk hadir bersolat raya. Kerana disana ada suasananya. Suasana untuk berseronok dan bergembira.
Apalah suasana yang ada di rumah orang mati melainkan suasana sedih dan muram saja. Sebab itulah mereka yang terlalu cenderung berhibur , berseronok dan bersantai, semasa berada di rumah orang yang meninggal menjadi alpa akan suasana berkabung yang sepatut ada, apabila mereka bersembang atas perkara-perkara yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Lantas pada mereka solat jenazah bukan sesuatu yang penting untuk turut bersama kerana ianya tidak seperti solat hari raya, yang ada suasana untuk bergembira.
Lagipun imam tidak pernah mengajar dan mengingatkan cara bagaimana untuk melaksanakan solat jenazah semasa solat itu mahu dimulakan. Tidak seperti solat raya.
Jadi solat jenazah tidak diberatkan oleh masyarakat. Maka ramai yang tidak belajar atau tidak diajar bagaimana cara melaksanakan solat jenazah. 
Mengapa perkara ini tidak diberatkan oleh masyarakat atau mengapa seseorang itu  tidak mengambil berat
Soalan ini juga saya tidak ada jawapan yang terbaik. 
Hanya saya hendak berkata bahawa kita banyak diajar atau belajar untuk kelangsungan hidup. Untuk survival, kata setengah orang. Untuk bernyawa. Ertinya kita tidak atau kurang diajar atau belajar tentang kematian walaupun kita tahu kita akan mati. Maka jiwa kita tidak diajar untuk menghargai kematian. Yang penting kita mahu hidup walaupun kematian itu merupakan garis perjalanan kita yang terakhir.  
Jika kita menghargai kematian maka sudah tentu kita bersedia untuknya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan diri dalam hal-hal berkaitan kematian yang ada hubungkait dengan perintah Allah termasuklah menghormati dan menyayangi orang yang telah sampai kegaris penamat kehidupan, dengan mendoakan kesejahteraan mereka dan pohon keampunan untuk  mereka  melalui solat jenazah. Dan sudah tentu kita mengharapkan perkara yang sama dilakukan untuk kita apabila sampai masanya.
 

          
 
    


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan