Sebuah cerita dari kampong:
Aku berjaya mendapat cuti selama 3 hari. Bermula pada hari Rabu sehingga Jumaat. Termasuk Sabtu dan Ahad , aku dapat berihat selama 5 hari. Ringan kepala aku. Hilang sebentar keletihan fizikal dan mental. Tiada angka-angka yang perlu aku teliti atau aku cari. Jari-jari akupun boleh berhenti menekan kalkulator. Tanda tambah, tolak darab dan bahagi tidak perlu aku usik lagi. Yang paling seronok, aku tidak lagi bermain dengan angka-angka agar ianya sesuai dengan kehendak dihati.
Dulu, masa belajar duluuuuu, aku telah biasa dengan kerja-kerja 'extrapolation', buat berbagai andaian (assumptions) bagi sesuatu unjuran (projections) dan aku telah banyak menggunakan statistik. Tujuannya semata-mata untuk menyokong apa yang hendak aku ceritakan, biar semua orang yakin dan percaya, sekurang-kurangnya pensyarah aku berpuas hati dengan kerjaku (assignments). Berbagai bahan rujukan aku ketengahkan. Dan aku lulus, sekeping ijazah telah aku milikki.
Sememangnya aku telah muak dengan angka-angka dan statistik. Aku telah jemu membuat berbagai andaian. Aku tidak mahu memanjangkan lagi kerja ubahsuaian angka dan pemermadanan angka dengan matlamat. Aku rasa tidak perlu lakukan lagi. Aku tidak perlu jadi seorang yang kreatif dalam hal penggunaan angka ini.
Itu yang aku mahu. Berjayakah aku mencapai maksud dihati? Bagaimana lepas bercuti nanti? Bagaimana angka bajet tahun berikutnya?
Itu aku tidak peduli. Yang penting aku dapat bercuti.
Aku balik kampong menjengok emakku. Abah telah lama meninggal.
Makan minum emak adalah atas biayaan dari kami adik beradik. Beri sedikit seorang.
Emak mengatakan ada pimpinan di kampong yang mahu berikan bantuan. Satu Malaysia katanya dapat bantuan RM500.00. Aku tersenyum saja sambil menyatakan emak tidak perlu ambil. Cukuplah dengan pemberian anak-anak. Bantuan RM500.00 itu , biarlah orang lain yang ambil.
Emak banyak mengeluarkan pujian atas kebaikan pimpinan di kampong itu. Katanya kali ini banyak bantuan yang diberikan. Budak-budak sekolah dapat, orang miskin dapat, orang tua dapat. Budak universiti pun dapat.
Aku menyambung ukiran senyumanku lagi.
Emak tidak perlu ke pasar untuk membeli ikan dan sayuran. Ah Chai , dengan motorsikal buruk akan datang setiap pagi menjual ikan dan sayur.
Pada hari cuti pertama, aku berkesempatan jumpa si Ah Chai yang datang ke rumah emak menjual ikan dan sayur.
Wang lima puluh ringgit ada ditangan emak. Beliau memilih ikan kembung dan sayur sawi. Bahan makanan yang dibeli itu cukup bagi kami lima orang makan, makan tengah hari dan makan malam.
Emak sedikit marah-marah pada Ah Chai kerana harga ikan dan sayur terlalu mahal. Ah Chai jawab mudah saja. Katanya mana ada barang tidak naik. Gula pun naik. Roti canai pun naik. Tak kisahlah sama ada roti ada telur atau yang tidak ada telur. Air minuman pun naik. Semua barang naik. Tapi katanya fasal apa emak susah hati. Bukankah emak boleh dapat RM500.00 tahun ini.
Bila Ah Chai sebut lima ratus ringgit, emak pandang tepat pada aku. Aku tidak pula bertanya apa maksud pandangan emak itu. Aku buat-buat tidak kisah saja.
Ah Chai menambah lagi dengan mengatakan sekarang macam-macam boleh dapat. Beli talipon pun boleh dapat dua ratus ringgit.
Emak begitu teruja dengan berita beli talipon itu. Tapi terujaannya itu cepat terencat bila Ah Chai kata emak tidak layak sebab emak sudah melebihi 30 tahun. Kalau bawah 21 tahun pun tidak layak juga.
Ah Chai kembalikan wang baki kepada emak sebanyak RM5.30. Wang baki diambil dengan air muka kurang senang.
Masuk saja dalam rumah, sebelum sampai ke dapur, emak bertanya fasal apa orang yang berumur lebih 30 tahun tidak layak dapat wang dua ratus ringgit untuk beli talipon. Susah juga aku nak jawab soalan yang mudah itu. Tapi emak mengulang lagi tanya. Aku kena juga jawab menggunakan logik aku.
"Orang tua macam emak ni yang dah berumur tujuh puluh tahun lebih, tak pandai pakai talipon".
Kemudian logik aku disanggah oleh emak. Tanya emak, "Mengapa yang bawah 21 tahun juga tak layak".
Terkedu juga aku dengan soalan emak itu. Aku tidak boleh kelentong emak. Sebab dia tahu budak-budak sekolah rendahpun ada talipon tangan. Boleh katakan banyak yang ada talipon dari yang tak ada.
Kata emak, " Budak-budak sekolah yang masih tak ada talipon, patut diberikan wang 200 ringgit untuk beli talipon. Kalau ada talipon, senang nak berhubung dengan ibubapa".
Aku tidak mahu mencari sebab mengapa hanya yang berumur 21 hingga 30 saja yang layak dapat bantuan dua ratus ringgit walaupun aku boleh bau dan kesan sebabnya. Aku mahu alihkan sedikit perhatian emak.
"Mak, dua ratus ringgit tak cukup untuk beli talipon tu. Talipon ni harganya mahal. Kalau tak ada seribu, jangan harap nak pegang".
Aku tidak mahu menggunakan perkataan canggih atau pintar apatah lagi 'smart' yang menyebabkan harga talipon itu mahal. Pening kepala orang tua itu pula.
"Harga talipon pun naik? Betul kata Si Ah Chai tadi. Sekarang semua barang naik harga".
'Ke situ pula yang emak faham', bisik hatiku.
Jadi emak mempersoalkan apakah faedahnya bantuan wang dua ratus itu kalau terpaksa keluarkan wang tambahan lapan ratus lagi.Katanya tambah menyusahkan. Terpaksa berhutang.
"Kalau nak bagi, bagi saja wang dua ratus ringgit. Budak-budak tu bolehlah beli talipon yang harga dua ratus atau kurang. Itulah caranya untuk menolong".
Aku diam saja. Aku juga tidak mahu membetulkan salah faham emak tentang bantuan dua ratus itu. Emak faham bantuan itu diberi secara tunai, bukan baucer. Aku tidak mahu menimbulkan isu yang baru . Isu yang boleh menyakitkan hati emak.
Emak memasukkan wang yang berbaki itu ke dalam satu bekas. Wang lebihan pemberianku itu, katanya perlu disimpan. Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit.
Aku memuji sikap emak yang pandai menyimpan itu. Emak memberi respons yang mudah. Katanya kita tidak boleh berbelanja lebih dari yang kita ada. Dan kalau ada lebihan kita simpan untuk hari esok. Jangan suka berhutang.
Rupa-rupanya emak aku ini kalau fasal wang, pandai bermain dengan angka. Macam aku anaknya dalam menjalankan tugas rasmi kerjayaku. Cuma bezanya angka emak mudah saja. Berbelanja jangan lebih dari yang kita ada.
Aku pula lebih kreatif dengan permainan angka.
Bermula Januari aku dan kawan-kawanku mula buat sibuk. Masuk gear satu dulu. Kami bercakap fasal siling. Bukan fasal keadaan sesuatu siling bangunan. Bocor ke atau tidak. Namun dianya mempunyai erti yang sama.
Maksud siling itu adalah suatu had atau batas yang paling tinggi sekali yang mampu kita pergi atau cecah atau sentuh. Kalau kita melepasi siling, ertinya siling itu telah ditembusi dan berlubang. Maknanya, aku dan kawan-kawan tidak mahu melepasi siling. Kalau boleh biarlah ada jarak capaian. Itulah yang sentiasa kami harapkan setiap tahun. Sebab kalau melepasi siling maka kami terpaksa cari penampalnya. Nak cari penampal bukannya mudah. Kalaupun ada , harganya terlalu mahal.
Dalam keadaan melepasi siling itu, kami terpaksa memperakukan agar dicari sumber baru, misalnya cukai baru dan membuat pinjaman.
Sama juga dengan bangunan. Kalau siling bocor maka cahaya matahari akan dapat melalui mencelah masuk lubang siling yang bocor itu. Kalau bocornya terlalu besar dan panas terlalu terik maka terasa peritlah anggota kita dik panahan cahaya matahari itu. Diwaktu hujan, sudah pasti kita yang duduk dibawah siling yang bocor itu akan menerima titisan hujan itu. Basah kuyup dibuatnya. Apatah lagi kalau kebocoran siling itu terlalu besar. Boleh jadi bah. Maksud aku, banjir.
Sebab itu kami mahu tahu berapa siling bagi tahun akan datang.
Tapi malang sekali ianya tidak pernah kunjung tiba. Yang tiba kepada kami ialah 'be stringent".
Maka kami menggunakan 'kepakaran' masing-masing menterjemahkan 'be stringent' itu bagi mencadangkan satu angka untuk disetuju terima.
Dari sinilah kami bermain dengan angka. Dan sudah tentu kami boleh melakukannya dalam apa keadaan sekalipun. Mahu tambah bantuan, berikan insentif, tambah atau kurang subsidi dan apa saja, bisa diurus. Mudah saja. 'Paper money'.
Rupa-rupanya aku tidak dapat mengelak dari bayangan angka. Bercuti di kampongpun masih ingatkan angka.
Aku melihat emak membawa bekas simpanan wangnya masuk ke dalam bilik. Aku agak emak khuatir wang simpanannya itu akan dicuri jika mudah dilihat. Sungguh berhati-hati emak menjaga wangnya itu. Maklumlah wang emak itu adalah wang sebenar bukan wang seperti angka-angka yang aku cetak dalam buku bajet aku. Itu hanya wang atas kertas, paper money saja, Bukan wang sebenar. Nak beli ikan kembung dan sayur pun tidak laku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan