Jerebu menguasai awan. Langit biru tidak lagi kelihatan walaupun diwaktu siang. Jadi mata kita hanya mampu melihat suasana kesuraman dik jerebu yang kelabu kehitaman. Walaupun ada hujan, jerebu masih lagi tidak hilang dari pandangan mata.
Jerebu membawa banyak masaalah kesihatan. Orang yang lelah dan semput paling terseksa sekali. Berkurung dalam rumahpun masih lagi boleh kena serangan sesak nafas. Jerebu boleh masuk dalam rumah walaupun tingkap dan pintu kesemuanya ditutup. Jika angin boleh masuk dalam rumah, jerebu juga akan ikut sama.
Ertinya setiap kali kita bernafas, jerebu ikut sama masuk dalam paru-paru .
Saya tidak tahan atau terlalu alah dengan asap rokok. Saya akan bersin berulang-ulang kali jika terhidu asap rokok. Di restoran atau di mana-mana saja jika saya nampak perokok, saya segera menjauhkan diri. Sekiranya ada perokok yang datang dan duduk dimeja makan yang berdekatan, saya akan menutup hidung. Tapi berapa lama saya boleh lakukan kerana saya perlu menyuapkan makanan ke dalam mulut. Mahu tidak mahu terpaksa berkongsi sama asap rokok perokok itu. Maka teransanglah bersin saya.
Dalam keadaan seperti diatas, kadang-kadang saya terpaksa beredar ke meja yang lain yang lebih jauh dari meja perokok, jika saya mahu sambung makanan yang belum habis dimakan. Punggah bangunlah saya, berjalan bersama makanan. Tapi ianya mampu dibuat jika ada meja yang berjauhan itu, kosong. Kalau semuanya ada orang, saya tinggalkan makanan itu.
Kenapa saya tidak meminta kerjasama dari perokok itu supaya tidak merokok di tempat awam seperti di kedai makan atau restoran? Bukankan telah sedia terpampang amaran supaya tidak merokok? Mengapa pula tuan punya kedai tidak menasihatkan perokok itu agar tidak merokok?
Meminta kerjasama dari perokok?
Saya tidak ada kekuatan untuk melakukannya. Pada saya perokok adalah orang yang ketagihan. Yang utama kepada mereka ialah melepaskan ketagihannya. Dan jika ada sesiapa yang cuba menahan nafsu ketagihan perokok itu, orang itu dianggap sebagai mencari fasal. Kemungkinan besar berlaku hujah menghujah atau pergaduhan.
Sama seperti tanda-tanda amaran yang lain, tanda amaran tidak merokok tidak pernah dipedulikan. Tuan punya kedaipun tidak ambil kisah. Yang penting ada orang yang sudi makan di kedainya. Tambah-tambah lagi bilangan yang datang ke kedainya sentiasa banyak walaupun ada yang dengan rakus, seronok sendiri, menghisap dan menghembus asap rokok.
Kalau asap rokok boleh membuatkan saya bersin, jerebu membuatkan saya susah untuk bernafas. Saya adalah pengidap sakit asthma.
Nampak gayanya kesan buruk jerebu lebih teruk berbanding dengan asap rokok.
Pihak mana yang menghasilkan jerebu ini. Sekiranya saya tahu, berhajat juga saya untuk meminta kerjasama agar tidak menjerebukan udara kita. Saya sanggup berjumpa dengan mereka kerana tidak lagi tertahan akan serangan sesak nafas.
Nasihat supaya sentiasa atau lebih banyak berada didalam rumah tidak terpakai bagi saya. Tidak berkesan kerana jerebu masih lagi boleh masuk dalam ruang rumah yang ditutup habis. Jangan pula ada yang mencadangkan agar saya pakai topeng (mask) dalam rumah. Lagi menambah sesak nafas kerana terlalu rimas dengan pemakaian topeng itu.
Dari jumlah 7 orang penduduk dalam rumah kami (termasuk 2 orang berumur diantara 1-2 tahun), 5 orang tidak sihat. Dua anak kecil (cucu) diserang batuk dan selesema, saya seorang sesak nafas, seorang (isteri) mabuk, pening dan muntah-muntah ( muntah hijau), dan seorang lagi batuk.
Pihak manakah yang sepatutnya saya saman untuk dapat ganti rugi. Sebab saya telah mengeluarkan banyak wang untuk memulihkan kesihatan.
Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab? Sudah tentu bukan asap rokok atau habuk-habuk yang mengandungi berbagai partikel yang menguasai udara ketika ini kerana ianya bukan satu entiti. Jadi siapakah gerangan entiti yang perlu diheret ke muka pengadilan?
Saya serious dengan persoalan asap rokok dan jerebu ini. Saluran dan ruang pernafasan saya semakin sempit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan