Theflowersellingboy

Isnin, 15 Oktober 2012

Kawan Setia

Masa zaman kanak-kanak kita mempunyai kawan sepermainan. 

Waktu bermain, kita suka menunjukkan kehebatan melebihi dari kawan yang lain. Kita mahu semua kawan-kawan memberi perhatian kepada kita. Kita mahu kawan-kawan kita itu sentiasa menyebelahi kita sekiranya ada persaingan atau perselisihan dengan yang lain. 

Kawan sepermainan dalam satu gelanggang.  Kita bermain sebagai kawan. Kita juga bermain sebagai lawan.

Jika sampai ke tahap bergaduh, kita pantas ke depan bersemuka, bertentangan mata dengan lawan sebab kita mahu jadi hero.  Dan sesungguhnya ketika itu, kita pantang dicabar. Kita faham hanya satu saja  : 'membujur lalu melintang patah'. Kita adalah anak jantan pantang berundur. Orang menjual, kita membeli. Setiap kata ada sambutan. Itulah sikap  kita. 

Jika ada perlawanan yang berbentuk pasukan , misalnya bola sepak, kita akan tersenyum lebar jika ramai yang mahu memasuki pasukan kita. Apatah lagi jika kita diangkat sebagai ketua pasukan, kembanglah punggung kita .

Sudah tentu kita tidak pernah mahu kalah. Pantang kita   menyerah kalah. Itulah pesan datuk nenek, pesan orang tua, waris keturunan kita. Dan kita taat menjaga pantang.

Begitulah cara kita bermain. Bermain dalam gelanggang. Bermain dengan kawan sepermainan. Berkawan dan berlawan secara berdepan. 

Benjol-benjolan sudah menjadi basahan. Sebab kita mahu menjadi hero. Kita bukan orang pelarian. Ini gelanggang kita.

Lawan Tetap Lawan.

Naqib dan Yousef, anak kecil masih berubun lembik. Dua orang sepupu. Seorang kerinting, seorang lurus. Lapan bulan berbeza usia. Sudah dua tahun empat bulan Yousef mengenal dunia.

Buat ketika ini mereka adalah kawan sepermainan. Bermain satu gelanggang. Berlari-larian untuk mendapat pujian dari datuk , nenek, ummi, mama dan ayah.

Mereka berlari sana berlari sini, minta diberi perhatian dan pujian.  Ada masa berlaga badan. Yang selalu rebah adalah Naqib kerana jalan pun masih terhoyong hoyang walaupun tiada angin tiada ribut. Dia menangis. Yousef ketawa riang.

Yousef memandang kepada semua yang ada. Dia ketawa bangga.

Naqib tersedu-seduan memandang kepada semua yang ada . Dia bangkit semula. Dan berlari mengejar Yousef yang mendahului sedikit di hadapan.
 
Kejar Tetap Kejar. Itu semangat Naqib. Pantang diajak berlari.

Mereka masih lagi berlarian sambil mata dibuka luas memandang ke arah kami semua. 

Siapa-siapakah yang memuji mereka.  

Mereka sudah penat lalu berhenti berlari  sambil berpimpinan tangan menuju kearah kami semua yang ketawa suka. Sesungguhnya mereka, Yousef dan Naqib adalah kawan setia. 

Lawan Tetap Lawan

Kejar Tetap Kejar.
 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan