Theflowersellingboy

Ahad, 21 Oktober 2012

Berbagai Reaksi dan Pendekatan Terhadap Penghinaan Keatas Islam

Tentang Islam dihina. Kita semua umat Islam marah, baik umat Islam di Malaysia atau di tempat-tempat lain. Ada yang memang benar-benar marah demi menjaga nama baik, ketinggian dan kesucian agama yang kita anut. Ada yang marah-marah juga menurut keadaan dan kepentingan. Dan ada yang pura-pura marah. Namun semuanya tergolong sebagai pihak yang marah Islam dihina.

Saya tidak berminat untuk membicarakan tiga golongan yang tersebut.

Saya berminat untuk membicarakan tentang reaksi dan pendekatan kita apabila saja timbul kisah dan cerita ada pihak yang menghina Islam dalam berbagai bentuk dan cara. Ada penghinaan dalam bentuk penulisan seperti yang dilakukan oleh Salman Rashdi; ada dalam bentuk lakaran dan imej kartun yang mempersenda-sendakan nabi Muhammad SAW dan ada yang berbentuk kata nista dalam pentas-pentas ucapan dan bicara menghina dan memandang rendah hukum Islam dan ditayang serta disebarluaskan dalam media siber seperti saluran youtube.

Reaksi dan pendekatan kita telah saya bayangkan diatas bahawa kita marah. 

Ada yang teramat marah dan ada yang marah-marah saja. Dan kemarahan itu dipertonjolkan, sebagai menyatakan kepada pihak yang menghina itu bahawa kita sedia untuk mempertahankan Islam waemah mengorbankan nyawa sekali pun. Berperangpun kita sanggup.  Paling kurang kita akan berdemo dan membakar bendera negara sesuatu negara yang kita syak yang menyokong perbuatan menghina itu. Kita juga menyediakan patong yang menyerupai wajah si penghina dan dengan mengeluarkan kata-kata amarah beramai-ramai membakar patung yang kita buat itu. Terdengar juga laungan supaya kita memboikot membeli barangan dan perkhidmatan mereka.

Ada masanya kita berpuak-puak semasa menunjuk rasa marah bagi tujuan dan perkara yang sama. Mungkin masing-masing mahu menunujukkan kehebatan marahnya sebagai tanda yang mereka lebih sayang berbanding dengan puak yang lagi satu. 

Kemarahan seperti itu ditujukan kepada bukan warga kita.

Jika yang menghina Islam itu warga kita yang bukan beragama Islam maka dengan pantas kita mohon orang atau pihak itu memohon maaf kepada orang Islam. Paling tidak kita akan menyatakan kekesalan kerana orang itu atau pihak berkenaan tidak memahami dan menjaga sensitiviti agama Islam.

Tetapi kemarahan ke atas warga kita yang bukan Islam itu tidaklah sehebat kemarahan yang ditunjukkan kepada orang asing. Tidak ada bakar-bakar patung walaupun penghinaan itu sama saja. 

Ada juga orang Islam yang marah tetapi marahnya dikaitkan pula dengan pihak Islam lain yang dikatakan bersama-sama dengan bukan Islam dalam sebuah perjuangan. Cuma yang tidak disebut (mungkin terlupa dik terlalu marah) ialah bahawa pihaknya juga begitu erat bersama-sama yang begitu lama dan berterusan dengan bukan Islam dalam satu perjuangan. Bahkan ada jemaahnya yang berfikiran sama dengan orang bukan Islam atau pihak yang menghina Islam. Ahli jemaahnya begitu terang dan jelas menghina Islam.

Persoalannya kenapa kita terlalu sangat marah apabila orang bukan Islam menghina Islam? Dalam banyak penonjolan, kita menunjukkan satu sikap, perbuatan dan perangai yang tidak dianjur Islam, sehingga ada yang tidak bersalah kita bunuh. Mengapa perlu kita bakar patung dan bendera? Mengapa perlu kita mengadakan berbagai-bagai kerosakan harta awam?
 
Adakah perbuatan-perbuatan itu akan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam bahawa itulah caranya kita sayangkan Islam? Kalau begitu caranya maka percayalah perbuatan kita itu akan menebalkan kepercayaan mereka bahawa Islam ini patut dipandang rendah kerana melakukan pembunuhan keatas orang yang tidak bersalah. Apatah lagi mereka semenjak dilahirkan lagi telah diberi pemikiran seperti itu. Ditambah lagi dengan penguasaan mereka keatas media sebaran.

Jadi apakah pendekatan dan reaksi yang perlu kita ambil dalam hal menjawab segala penghinaan terhadap Islam?

Sudah tentu kita tidak wajar berdiam diri. 

Tetapi saya lebih cenderung untuk mendahului pengenalan Islam kepada mereka yang bukan Islam melalui bicara dan cakap , perbuatan, perangai dan tindakan , ilmu dan amalan  dan seluruh kehidupan kita sebelum mereka mempunyai kesempatan untuk menghina Islam. 

Ya, ini bukan satu perkara yang mudah. 

Tetapi sepatutnya itulah yang menjadi kesungguhan kita berbanding dengan pendekatan berdemo yang selalunya membawa kepada pengaruh emosi yang melampau sehingga kita bertindak di luar dari yang dibenarkan Islam.

Namun dalam banyak kedaan, kita orang Islam telah gagal dalam hal ini. Apa yang telah kita tunjuk dalam kehidupan harian banyak yang tidak Islam dari Islamnya walaupun kita dengan gah mengatakan negara kita adalah sebuah negara Islam.

Teramat malang sekali apabila diperingkat kepimpinan tertinggi negara sama ada yang telah lepas mahu pun yang masih berkuasa masih tidak ada keyakinan bahawa Islam itu boleh menjadi sandaran dalam penerajuan negara. Yang lebih malang lagi apabila ada masa dan keadaannya Islam dipergunakan sepenuhnya sebagai perisai dalam pertarungan untuk mendapatkan keyakinan dari umat Islam bahawa mereka itu adalah pejuang Islam dengan kata-kata misalnya mereka berjuang demi bangsa, agama dan negara.

Cukup jika disenaraikan dua perbuatan dan kegemaran diantara kita orang Islam seperti dibawah:

1. Mempromosikan bercakap bohong dan fitnah memfitnah

2. Melindungi dan membela perbuatan jahat dan keji dengan tiada dakwaan  demi melindungi kepentingan.

Adakah dua jenis perbuatan yang berbagai cara dan bentuk itu tidak menghina agama suci kita Islam? Tidak menghina nabi besar kita Muhammad SAW?

Apakah reaksi kita? Marah? Buat demo? Atau buat 'dek' (buat tak kisah) saja?



 


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan