Theflowersellingboy

Sabtu, 13 Oktober 2012

Angka 130,000 : Macam-macam Tafsiran Boleh Buat.

Sudah lama saya tidak balik rumah di Melaka. Minggu lepas saya balik. Dapatlah membersihkan sedikit ruang-ruang rumah. 

Dalam perjalanan ke bandar saya terbaca satu paparan yang tergantung di tiang lampu letrik di pembahagi jalan. Menarik sekali berita itu. Berita pengistiharan perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka DS Mohd Ali Rustam. Antara kenyataan yang tercatat ialah semua dijemput hadir, begitulah sikit lebih kurang maksudnya.

Tapi majlis itu telah berlangsung pada 30 September 2012. Jadi saya tidaklah dapat berpeluang untuk hadir. Kad jemputan pun tak ada. Orang pencen, biasanya nama tidak ada dalam senarai jemputan.

Beberapa hari yang lepas majlis perkahwinan ini menjadi bahan cerita dari Melaka yang sensasi dan kontroversi. Heboh sekali, lebih heboh dari rancangan jom heboh yang selalu diheboh-hebohkan itu sehingga mendapat liputan luas di media tempatan sama ada yang konvensional mahupun media baru alam maya.  Bahkan diberi liputan oleh media luar negara.

Hebat sungguh cerita dari melaka ini. Maksud saya sungguh heboh cerita majlis kahwin yang satu ini.

Ianya menjadi sensasi dan kontroversi adalah atas dua sebab.  Pertama bilangan orang yang datang, dan kedua majlis itu diadakan oleh seseorang yang menjawat jawatan ketua menteri, ketua sebuah kerajaan negeri.

Diberitakan bilangan yang datang adalah sebanyak 130,000 tidak termasuk sayalah. Dengan itu angkanya tetap 130,000 saja. Bilangan ini telah di catatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR), sebagai yang tertinggi sekali kehadiran dalam satu majlis perkahwinan. Tahniah melaka bersejarah yang meneruskan tradisi mencatat sejarah.

Penduduk melaka, lebih kurang 700,000. Ini bermakna hampir 19 persen dari jumlah penduduk negeri itu telah hadir dimajlis itu. Ambil saja penduduk daerah melaka tengah , kerana lokasi kediaman ketua menteri adalah di daerah itu maka dari lebih kurang 300,000 orang 130,000 orang telah hadir yang bersamaan 43%. Maka wajarlah kehadiran majlis perkahwinan itu dicatat dalam MBR.

MBR melihat angka tersebut dari sudut mencatatkan satu rekod yang tercipta dari segi jumlah kehadiran yang tertinggi, mengatasi rekod, sebelumnya, sekiranya ada. Itu saja.

Tetapi ada pihak lain yang berbagai pula sudut pandangannya melihat angka itu dengan pengertian, fahaman dan tafsiran yang berbeza menurut peranan dan fungsi, kecenderungan dan kepentingan peribadi atau kumpulan masing-masing. 

Secara  amnya mereka yang hadir itu mungkin mengatakan bahawa  majlis perkahwinan itu sungguh meriah sekali. Makanannya sedap. Mereka begitu seronok menghadiri majlis itu.  Mereka juga mengucapkan tahniah kepada pengantin baru dan mendoakan semoga kedua mempelai itu akan hidup berbahagia dan dikurniakan zuriat yang terbaik. Mereka balik ke rumah masing-masing membawa cerita yang menyeronokkan. Sudah tentu tidak lupa menceritakan betapa ramainya orang yang datang.

Itu pandangan setengah pihak. Kehadiran yang ramai ke majlis itu hanya digambarkan sebagai majlis yang meriah saja. Mereka hebohkan yang meriah itu saja. Tidak ada sensasi dan kontroversi.

Jadi pihak mana yang menjadikan majlis itu sesuatu yang sensasi dan kontroversi. Malah satu majlis yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

Kata ketua menteri pembangkang iri hati. Iri hati kerana dianya masih popular dikalangan orang ramai di melaka. Kerana dia masih mendapat sokongan kuat dari orang melaka. 

Dan saya bersetuju dengan kenyataan itu. Ianya sesuatu yang biasa. Mana ada pembangkang yang bersetuju bulu dengan kerajaan? Mana ada kerajaan yang bersetuju dengan pembangkang? Maknanya kedua-duanya sama saja hati mereka terhadap satu dengan yang lain: benci, marah dan kata mengata termasuklah iri hati dan yang seciri dengannya..

Bagi Ali bilangan 130,000 itu adalah sebagai satu isyarat kepada pembangkang bahawa janganlah menaruh harapan untuk menang di melaka dalam pilihanraya yang akan datang ini. Ali melihat angka 130,000 itu memberi keuntungan kepada politiknya. Dia memandang secara positif.

Angka itu sepatutnya ditafsirkan sebegitu.  Itu saja.

Itu tafsiran ketua menteri tentang angka 130,000 itu. 

Ada mesej yang hendak disampaikan untuk orang di Putra Jaya iaitu bahawa Ali Rustam adalah 'winnable candidate'.  Masih dan tetap calun yang boleh memberi kemenangan kepada BN. Bukan saja winnable bahkan perlu kekal di melaka.

Tetapi adakah sebenarnya pembangkang saja yang iri hati? 

Diandaikan sesungguhnya benarlah bahawa pembangkang saja yang sakit dan iri hati , Ali tidak perlu gusar dan bimbang. Tidak perlu marah. Malah tidak perlu ambil 'pot' sedikit pun. Jangan masuk dalam fikiran. Sebab, pertama, jelas beliau masih lagi popular. 130,000 orang hadir di majlis kahwin anak. Masuk MBR pula. Kedua, iri hati pembangkang tidak akan dapat mempengaruhi orang Putra Jaya untuk membuat keputusan menggugurkan Ali sebagai calun pilihanraya. 

Kalau sudah yakin bahawa bilangan 130,000 itu sebagai index kekuatan sokongan politik maka sudah tentu Putra Jaya tidak mampu mengenepikan index ini. Adalah menghairankan, dan sungguh amat luar dari biasa jika nama Ali akan tidak terdapat dalam senarai nama-nama calun yang dikatakan winnable.

Jadi persoalan iri hati dari pembangkang tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ianya tidak menggugat kedudukan politik Ali.

Pembangkang bukan pesaing yang setara untuk Ali. Tidak memberi kudis langsung. Pembangkang ini orang duduk diluar saja. 

Jadi Ali tidak perlu lihat persekitaran diluar. Lihat saja yang di dalam. Disana ada jawapan. Antara jawapannya termasuklah ciri-ciri atau sifat iri hati, dengki, tak puas hati, jemu jelak, benci, marah, meluat, sakit hati dan segala yang bersamaan dengan kesemuanya itu termasuklah 'bila pula giliranku ini'.

Ada soalan dari orang yang berpura-pura lupa, misalnya: Ali dah berapa term agaknya? Jadi ADUN berapa kali? Jadi Ketua Menteri dah berapa term? 

Soalannya amat rengkas dan mudah. Matlamatnya, banyak orang boleh teka dan boleh bau. Apa dia?

Ali lebih tahu. Harap-harap begitulah.

Oleh kerana itu angka 130,000 ini   amat lunak dinyanyikan oleh orang yang sama-sama ada di dalam. Nyanyiannya sangat merdu. Dinyanyikan selalu. Ada hempedu. 

Pembangkang tentunya begitu seronok jadi tukang sambut dan terus menyanyikan angka 130,000 itu.

Pembangkang mempunyai tafsiran yang berbeza tentang angka ini. Pembangkang suka menggunakan kalkulator. Maka didarab, dibahagi, di campur dan ditolak untuk mendapat jawapan. Biasalah, jawapan yang pembangkang hendak sudah tentu yang boleh memberi kepuasan di hati. Jawapan yang ketua menteri tidak mahu dengar.

Kira-kira pembangkang mudah saja.  Cuma angka itu dikalikan dengan belanja satu kepala. Dapatlah jawapannya.

Banyaknya! Begitulah kata pembangkang. Nadanya sudah tentu iri hati seperti kata ketua menteri.

Menurut formula pengurusan kewangan, jika ada belanja mesti ada sumber. Ada yang masuk dan ada yang keluar. Dari mana datangnya dan apa yang digunakannya. 

Yang ini juga akan dibuat kira-kira oleh pembangkang. Maklumat-maklumat sumber mudah saja diperolehi. Mungkin ramai yang bersuka rela memberi maklumat. Tidak tahulah ketepatannya. Tapi sumber dalam, rasa-rasanya tepat.

Pembangkang tidak akan berhenti bertanya. Bagaimana dengan perbelanjaan-perbelanjaan lain, misalnya hadiah dan buah tangan. Mereka mesti buat telekan bahawa tidak mungkin majlis anak ketua menteri tidak diserikan dengan pemberian buang tangan sebagai kenangan.

Jadi dari sudut ini saya bersetuju sangat bahawa pembangkang memang sakit hati. Iri hati sangat. Tapi kesannya tidaklah berisiko sangat kalau Putra Jaya percaya dan yakin bahawa yang datang ramai itu sebagai tanda sokongan kuat kepada ketua menteri. Oleh itu boleh menghilangkan kegusaran ketua menteri.

Yang perlu digusarkan atau yang boleh menggusarkan ialah persekitaran dalaman. Yang ini perlu atau mesti di beri perasaan cemburu. Wajar juga beriri hati kerana tanpa iri hati bagaimana mungkin dapat bertindak mengikut cara politik. Perlu diberi renungan bukan sejenak, tapi panjang-panjang. Ditimbangkira sebaik-baik. Jangan buang tenaga menyerang pembangkang, faedahnya terlalu minima, jika kedudukan jawatan dan politik hendak dipertahankan.




   






Tiada ulasan:

Catat Ulasan