Theflowersellingboy

Selasa, 9 Oktober 2012

Kesiannya Ikan-ikan Ini

Kesiannya ikan-ikan ini. Ikan siakap, ikan senohong, ikan gelama dan ikan duri. Semenjak dulu, kini dan selama-lamanya menjadi mangsa. Ikan-ikan ini dijadikan bayangan bagi menggambarkan perlakuan yang tidak baik, tidak senonoh yang dilarang dan terlarang oleh mana-mana sistem etika dan moral. Perbuatan yang terkutuk dan dihukum berdosa, tentunya oleh agama Islam.

Manusia yang buat hal, ikan-ikan itu dijadikan mangsa. Sudahlah manusia santap dan sentap masuk dalam mulut, meluncur ke perut mengisi usus-usus kecil dan besar yang amat panjang itu, mengikut pelahap nafsu mereka, nama baik ikan-ikan itu pun dicemarkannya, hanya semata-mata bagi menggambarkan perlakuan dan perangai buruk manusia. Jahat sungguh manusia ini.

Ikan siakap, ikan gelama dan ikan duri memang saya kenal. Ikan senohong saya tidak kenal.

Tapi apa ada kena mengena ikan-ikan itu dengan perangai buruk manusia yang suka bercakap bohong?  

'Tak relevan langsung', meminjam kata-kata yang selalu diucapkan oleh mendiang Hakim Paul Augustine semasa menolak hujahan dari peguambela Anwar Ibrahim dalam perbicaraan di mahkamah.

Memang tak relevan. Cuba amati pantun Melayu lama ini:

Siakap, senohong, gelama, ikan duri 
(kesemuanya nama-nama ikan)
Bercakap bohong , lama-lama jadi pencuri
(kelakuan buruk manusia kalau sentiasa bercakap bohong)

Kenapa tidak digunakan pembayang yang terdiri dari watak manusia atau yang menyamai manusia, misalnya:

Si gagap, si polong, si karma, si kasturi
(ada manusia yang gagap, manusia jahat macam hantu polong, si karma ringkasan dari nama karmawijaya dan si kasturi dari hang kasturi)
Bercakap bohong lama-lama mencuri.
 
Bukankah cantik pembayang seperti itu. Barulah relevan.

Kalaulah ikan-ikan itu berotak seperti manusia sudah tentu mereka akan adakan demonstrasi, tunjuk perasaan besar-besaran. Sudah tentu dalam airlah. Bukan dalam air tempayan tapi air di sungai, tasik, laut, dan lautan. Tak larat FRU hendak mengejarnya. Sembur air bercampur kimia, tak jadi hal kepada ikan-ikan itu.

Itu pantun lama.

Sekarang ini telah digubah pantun yang baru dengan menggunakan bayangan yang sama. Telah digambarkan bahawa mereka yang suka bercakap bohong itu boleh menjadi berbagai watak. Ada yang digambarkan sebagai yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berkuasa hasil dari kerja-kerja dan perangai bercakap bohong yang berterusan (terlalu lama/banyak bercakap bohong). Ada juga yang digambarkan sebagai orang yang tidak sedarkan diri. 

Tidak sedarkan diri itu bukanlah bermaksud pengsan atau koma. Tidak.  Mereka itu masih lagi kenal orang, masih lagi boleh membuat pengecaman jika pihak polis memanggil mereka untuk membantu dalam kerja-kerja membuat pengecaman seseorang yang disyakki. Ertinya mereka ini masih hidup bernyawa dan ada yang panjang umur. Cuma mereka ini pembawa gejala lupa daratan, mudah lupa, kurang ingatan atau mungkin juga sengaja buat-buat lupa.

Amatilah dua pantun dibawah ini:

Siakap,senohong, gelama, ikan duri
Bercakap bohong lama-lama jadi menteri
(mungkin ada yang mahu tukar dari menteri kepada ketua segala menteri atau ketua menteri)

Satu lagi

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama tak sedar diri.

Kedua-dua pantun lama dan pantun yang baru menggunakan pembayang yang sama  iaitu empat jenis ikan tadi. Hasil bayangan pantun lama ialah jika bercakap bohong lama-lama menjadi pencuri. 

Hasil bayangan pantun yang pertama dari kategori terbaru pula ialah jika melakukan kelakuan yang sama (bercakap bohong) berterusan (lama-lama) sebagai satu cara hidup  (budaya) maka ianya boleh menarik keyakinan ramai orang sehingga memudahkan laluan untuk menjadi menteri atau berbagai jenama menteri.

Pantun yang kedua dalam kategori baru, jelas sekali menyatakan kesan buruk bercakap bohong yang berterusan ini. Seseorang itu  akan tidak sedar diri, lupa diri, lupa daratan, kabur atau hilang ingatan.

Kalau diamati betul-betul pantun-pantun itu, ada dua ciri atau sifat yang memberi kesan kepada pembentukan watak manusia. Pertama ialah sifat bercakap bohong. Kedua ialah sifat yang berterusan atau lama-lama. Cuma ada sedikit perbezaan dari segi tanggapan. 

Bercakap bohong yang berterusan adalah sifat yang buruk, tidak baik dan tidak beratika dan tidak bermoral. Dari sisi agama ianya satu dosa. Jadi tidak hairanlah mereka yang bercakap bohong itu dikatakan akan menjadi pencuri atau tidak sedar diri/lupa diri. 

Memang padan muka mereka dianggap begitu.

Tapi mengapa pula mereka yang bercakap bohong dikatakan sebagai laluan untuk menjadi menteri? Ertinya sesiapa saja yang hendak menjadi menteri mestilah secara  berterusan (lama-lama) bercakap bohong. 

Bukankah jawatan menteri itu satu kedudukan yang diamanahkan? Satu kedudukan yang mulia dan terhormat kerana kesediaan dan kesanggupan untuk memikul amanah dan tanggungjawab untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara. 

Mengapa tidak dikatakan bahawa bercakap bohong boleh menjadikan seseorang itu kuli? Mengapa dikatakan jadi menteri? Jadi pencuri? Boleh membuatkan seseorang itu lupa diri?

Gila sungguh pantun ini. Tidak masuk akal. Ini pantun irihati.

Kita amati lagi pantun ini khususnya perkataan 'lama-lama' yang digunakan dalam pantun ini.
 
Lama-lama sama juga makna dengan berterusan. Suatu tempoh yang tidak boleh dikatakan sekejap atau sehari dua, atau sebentar. Lama-lama dalam pantun ini juga bermaksud berulangkali, diulang-ulang perbuatan yang sama bagi tempoh yang lama, dilakukan berterusan. Ertinya bercakap bohong dalam tempoh yang lama, diulang berulangkali. Sudah tentu bercakap bohong dengan penuh keyakinan bahawa yang dipercakapkan itu adalah sesuatu yang dikatakan (kadang-kadang secara bersumpah. Ada yang panggil sumpah laknat, misalnya) tidak bersifat bohong walaupun sebenarnya bohong.

Bercakap bohong ini memang sifatnya berterusan. Sekali berbohong selama-lamanya akan berbohong kerana percakapan bohong yang lepas mesti ditutup dengan bohong seterusnya, untuk melepas diri.

Sama ada untuk mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat seperti menteri atau yang tiada kedudukan seperti kuli, bercakap bohong adalah perbuatan yang tidak baik. Sebab itu saya lebih bersetuju dengan maksud pantun lama iaitu mereka yang bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Soalnya apakah ruang lingkup perbuatan atau kelakuan yang dikatakan mencuri sehingga dipanggil sebagai pencuri. Mengambil sebiji epal tanpa pengetahuan tuan empunya dipasar malam? Mengambil wang khazanah negara sesuka hati seperti wang sendiri?

Apabila yang mencuri epal itu seorang kuli dan ditangkap, sudah tentu dia akan berbohong untuk melepaskan diri. Sebab dia tidak mahu digari sebagai pencuri. Kelakuan seperti itu adalah salah walaupun sebiji epal.

Yang mengambil khazanah negara ikut suka hati itu bagaimana pula? Apabila dikesan, tak mahu melepaskan diri? Maknanya tak mahu berbohong?  Sudah tentu tak mahu digari.

Walau apa pun yang mahu kita fahamkan dari pantun diatas, yang menjadi mangsa masih lagi ikan siakap, ikan senohong, ikan gelama dan ikan duri. Manusia punya hal yang buat jahat mereka dibawa bersama. 

Kesiannya ikan ikan itu diperbuat sebegitu rupa. 

Tapi makan tetap saya makan ikan-ikan itu jika dihidang. Cuma saya tidak pernah tengok apatah lagi makan ikan senohong. Kalau saya dihidangkan dengan ikan senohong, saya tiada selera untuk memakannya. Sebab kalau makan ikan itu, selalu pula, saya khuatir saya akan masuk dalam golongan manusia yang suka bercakap bohong. 

Senohong dibayangkan sebagai cakap bohong.

Sekali lagi, kesiannya ikan-ikan itu.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan