'Tulislah apa saja yang anda hendak tulis. Cakaplah apa saja yang anda hendak cakap. Kedepankan idea anda walaupun anda merasakan idea anda itu terlalu kecil, terlalu murah dan picisan yang berdepan dengan risiko penilaian dan kritikan dari orang waemah ada yang memperkecilkan pemikiran anda'.
'Jika anda berjaya memulakan satu ayat ianya satu kejayaan'.
Itulah antara kata-kata yang saya boleh ingat, tidak sepenuhnya, tidak juga patah demi patah, yang telah dikeluarkan oleh seorang professor pada hari pertama saya dan kawan-kawan hadir kuliahnya.
Tajuk syarahannya: Pasaran Kewangan dan Pasaran Modal (Financial Markets and Capital Markets).
Habis saja kuliah atas tajuk diatas beliau memberikan tugasan (assignment) untuk disiapkan dalam tempoh seminggu bagi membincangkan kedua-dua pasaran diatas di negara masing-masing.
Sebahagian besar pelajar termasuk saya memberi reaksi seperti orang mengeluh merasakan agak berat untuk kami siapkan tugasan itu dalam bentuk yang sempurna. Pertama, saya perlu dapatkan data dan fakta dari Kuala Lumpur. Ini tidak mungkin dapat dilakukan dengan cepat dan sempurna. Kedua, mood sebagai pelajar belum lagi meresap dengan baik.
Maka seorang kawan dari India bangun menyatakan kesulitan yang sama seperti yang saya rasakan. Professor itu dengan selamba menyatakan bahawa fakta dan data dari negara sendiri tidak begitu kritikal. Yang penting ialah pemahaman tentang pasaran itu dengan berlatarbelakangkan sosio-politiko-ekonomi negara masing-masing dan kebergunaannya. Malah katanya dia tidak memberi berat tentang statistik dan data.
Jadi kami semua tiada alasan untuk terus mengeluh.
Memulakan satu ayat saya mengambil masa yang agak lama. Banyak kali diubah, ditukarganti sama ada seluruh ayat itu atau perkataan-perkataan yang digunakan. Apatah lagi untuk melengkapkan sebuah perenggan pengenalan tentang tajuk yang dibincang. Pening kepala.
Akhirnya berjaya juga perenggan pengenalan itu di siapkan. Dan saya tersenyum kerana dapat melakukannya. Ya, perenggan itu membuka jalan bagi saya meneruskan penulisan. Cukup seminggu tugasan dapat diserahkan. Bermutu? Tanyalah pada professor itu. Tapi ingat akan kata-katanya yang membawa maksud 'lontarkan saja idea kamu'.
Maka selepas itu, saya semakin bertambah yakin untuk melontarkan idea saya. Tapi syaratnya saya mesti memahami dengan baik akan tajuk atau perkara yang hendak dibincangkan dengan mengambil kira persekitaran yang menjadi kerangka kepada perkara tersebut. Sudah tentu soal kebergunaannya kepada persekitarannya tidak diketepikan.
Walaupun kelihatan kecil tapi kata-kata professor itu meninggalkan kesan kepada saya termasuk semasa menjalankan tugas dulu. Jangan mudah memperlekehkan pandangan , buah fikiran dan hasil usaha orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan