Theflowersellingboy

Jumaat, 19 Oktober 2012

Intussusception: Satu penyakit yang baru saya tahu.

Jam 8.00 pagi hari Rabu16 Oktober 2012,  waktu itu adalah waktu sarapan bagi dua orang cucu, Yousef  dan Naqib sebelum mereka dihantar ke i-play (rumah penjagaan anak) di Cyber Jaya. Yousef tidak ada selera. Naqib pada mulanya berselera makan fish finger yang digoreng dan roti. Setelah beberapa suapan, Naqib mengatakan 'na nak' , yang bererti tidak mahu lagi makan. 

Kemudian Naqib (berusia 18 bulan) duduk mencangkung. "Nak yak, sakit ott" (nak berak sakit perut) sambil jari tangan kanannya menunjuk ke arah perutnya. Saya dan isteri seperti biasa menggalakkan Naqib untuk terus mencangkung dan berak. Dan Naqib melakukannya.

Isteri menanggalkan pakaian Naqib untuk dibawa mandi dan membersihkan punggungnya. Naqib hanya mengeluarkan najis yang lembik (tidak cair tidak juga keras) sebesar wang siling 20 sen.

Badan Naqib ketika itu panas. Tapi bukan terlampau panas. Dia demam, mengikut hemat kami. Ini mungkin disebabkan kesan suntikan pada hari sebelumnya. Oleh kerana Naqib tidak sihat kami hanya hantar Yousef saja ke i-play.

Sekembali di rumah, kelihatan Naqib tidak ceria dan selalu menyatakan sakit perut dan meminta kami menyapukan minyak angin ke perutnya. Kami melakukannya beberapa kali. Tapi Naqib masih mengatakan sakit perut.

Masa berjalan. Naqib mula merengek dan mengadu sakit perut. Kami mendukungnya bergilir-gilir. Naqib tidak selesa jika di baringkan secara telentang. Dia akan menelangkup dan mengangkat punggungnya seperti orang menonggeng. Jika terlentang, dia akan menangis menyatakan 'sakit ottnya'. Dan kami terus menyapukan dengan minyak angin.

Kesakitan Naqib tidak reda. Malah tangisannya berterusan.

Kami buat keputusan menalipon mamanya. Kami mahu ke klinik tempat kerja mamanya untuk diperiksa dan diberikan ubat sakit perut.

Di rumah Naqib diberikan ubat sakit perut. Tapi tiada kesan postif. Naqib semakin sakit, lalu kami maklumkan kepada mamanya. Mama Naqib meminta kami membawa Naqib ke hospital pakar kanak-kanak. Tanpa berlengah kami menuju ke Bandar Baru Bangi ke pusat perubatan an nur. Waktu itu 12 tengah hari.

Doktor di hospital menanyakan beberapa soalan. Antaranya adakah Naqib muntah? Ceret beret?

Kami menjawab, 'tidak'

Menurut doktor, Naqib bukanlah sakit perut atau keracunan makanan. Beliau 'suspect' tentang keadaan usus Naqib. Ada kemungkinan usus besar masuk dalam usus kecil. Penyakit  ini adalah berbentuk 'surgical'. Kami hanya mengangguk. Tapi tidak faham. Yang kami boleh berimiginasi adalah tentang usus saja. 
Kami mengangguk tanpa meminta penjelasan yang lebih lanjut. Tapi kalau diberi penjelasan lanjut, rasanya kami tidak akan faham. Mungkin tambah keliru. 

Doktor menulis  sesuatu. Beliau meminta kami memberikan ubat sakit perut (lain dari ubat sakit perut yang pertama dari klinik mama Naqib). Jika ubat ini juga tidak berkesan doktor meminta kami membawa Naqib ke hospital yang berdekatan dan serahkan 'laporan' (apa yang di tulis tadi) kepada pihak hospital

Ubat diberikan kepada Naqib. Sakit Naqib semakin bertambah. Naqib muntah. Kami bersihkan muntah. Muntah lagi, kami bersihkan. Muntah, muntah dan muntah sehingga muntah berwarna kuning kehijauaan. Kami semakin bertambah risau. Lalu memberitahu mama Naqib untuk membawa Naqib ke hospital. Waktu itu sudah pukul empat petang.

Mama Naqib meminta kami ke kliniknya untuk bersama-sama menghantar Naqib ke hospital. 

Sebelum ke klinik mama Naqib, kami menjemput Yousef di i-play. 

Mama Naqib membuat keputusan untuk membawa anaknya ke hospital pakar kanak-kanak swata. Katanya kalau ke hospital kerajaan, ia mengambil masa yang lama untuk diberi rawatan kerana pesakit yang menunggu terlalu ramai. Mama Naqib mahu anaknya mendapat rawatan segera. Dan beliau yakin di hospital swasta, boleh melakukannya.

Mama Naqib membaca laporan doktor dari hospital an nur. Katanya, itulah yang dia 'suspect' tapi dia tidak mahu percaya apa yang ada dalam kepalanya. Dia mengharapkan Naqib hanya sakit perut biasa saja. 

Kami memutuskan untuk ke pusat perubatan sime darby di Subang Jaya.

Sampai saja di pusat berkenaan kami menuju ke kaunter 'reception' untuk bertanya dimana bahagian kecemasan. Malang sekali, petugas disitu, yang berbangsa India (kami tidak pasti sama ada orang tempatan atau orang asing) tidak dapat memahami perkataan kecemasan. Dia terpinga-pinga. Lalu kami gunakan perkataan 'emergency'. Itupun dia tidak faham. Berlaku 'communication break down'. Entah apa-apa yang beliau cakap, kami tidak faham.

Dalam keadaan begitu, dan disebabkan kami perlukan rawatan yang segera, lalu kami meninggalkan kaunter reception itu. Dalam perjalanan mencari itu, kami telah mendapat tunjuk arah dari seorang jururawat (Melayu) untuk ke bahagian kecemasan.

Naqib telah diperiksa doktor pada jam 7 malam. Doktor menyatakan ada kemungkinan usus Naqib tersumbat (block). Mama Naqib lebih faham akan penjelasan doktor itu. Dan Naqib akan menjalani imbasan ex-ray untuk diteliti oleh doktor bagi menentukan apakah sebenarnya yang diidapi oleh Naqib.

Gambar ex-ray menunjukkan ada yang tidak normal pada usus Naqib.

Naqib diserang oleh penyakit yang dipanggil 'intussusception'. Saya kurang faham. Tapi apa yang dapat saya faham ialah usus besar Naqib talah masuk kedalam usus kecil disebabkan 'infection'. Oleh itu Naqib terpaksa menjalani prosedur untuk menarik usus itu pada kedudukan normal, seperti biasa,

Prosedur itu telah dilakukan oleh seorang doktor perempuan Melayu, seorang radiologist pada pukul 10 malam. Ianya mengambil masa hampir satu jam. 

Kami yang menunggu masing-masing berdoa agar prosedur yang dilakukan doktor itu berjaya. Alhamdulillah, selepas satu jam doktor itu tersenyum memberi tahu kami, usus itu telah ditarik untuk berada pada kedudukan normal. Kami semua mengucap syukur ke hadrat Allah SWT. Isteri sempat juga masuk ke bilik prosedur (selepas doktor selesai melakukannya) dan dapat melihat tahi Naqib di atas katil yang digunakan semasa prosedur dijalankan. Rupa-rupanya, penyakit ini boleh menghalang/blok najis seseorang yang diserang dari keluar seperti biasa. 

Sebenarnya kami, melainkan mama Naqib, tidak pernah tahu penyakit ini, usus besar masuk dalam usus kecil yang boleh jadi halangan untuk najis (tahi) keluar melalui saluran dubur. Sebab itulah Naqib susah nak berak. Tapi jangan silap. Penyakit ini bukanlah penyakit sembelit. Penyakit ini dipanggil  'intussusception'.

Naqib dengan ditemani kedua ibubapanya terpaksa masuk ward untuk tujuan pemerhatian. Naqib masih lagi tidak dibenarkan untuk makan dan minum. Kesian Naqib. Dah lah tak dapat makan dan minum, hisap ibu jari kanan kegemarannya hari-hari itu pun tidak boleh dilakukannya kerana kedua-dus tapak tangannya masih lagi berbalut untuk tujuan prosedur tadi.

Kami balik meninggalkan Naqib bersama kedua ibu bapany pada jam 11 malam. Kami diberitahu pagi ini bahawa Naqib hanya boleh diberikan susu emaknya dua jam selepas kami meninggalkannya. Kesian Naqib.

Naqib telah keluar dari hospital. Masih lagi kelihatan kurang aktif. Tapi tidak mengadu sakit perut.

Kami difahamkan bahawa batuk dan selesema mungkin penyebab berlaku 'infection' yang menghasilkan ;intussusception'. 
Mengikut maklumat di internet penyakit ini jika tidak dirawat segera risikonya adalah tinggi sekali boleh bawa maut. Tapi soalnya bagaimana mereka yang tidak mampu mendapat rawatan segera? Maksud saya mereka yang hanya bergantung kepada rawatan hospital kerajaan yang terlalu sibuk itu. Hospital yang terlalu panjang senarai menunggu. Berapa lama terpaksa menunggu sedangkan penyakit ini amat berisiko tinggi kalau tidak dirawat segera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan