Semalam bayar bil perubatan untuk rawatan isteri hampir mencecah seratus ringgit. Saya tidak pening lalat. Saya pening kepala. Berdenyut-denyut urat saraf di kepala apabila saya membuat bayaran di kaunter bayaran. 'Mahalnya'. Secara perlahan perkataan itu keluar semasa saya menghulurkan dua keping wang yang membawa nilai yang diminta. Saya rasa suara hati saya itu tidak mampu didengar oleh petugas kaunter itu.
Tapi kalau dia dengarpun apa yang boleh saya harapkan? Simpati? Belas kesian?
Jika beliau simpati atau jika beliau mempunyai rasa belas kesian kepada saya yang tua ini, paling baik yang dapat beliau lakukan ialah dengan berkata , "Ini baki tujuh ringgit lima puluh sen , pakcik".
Maknanya, bayar tetap kena bayar dalam jumlah yang telah ditetapkan oleh pihak hospital. 'Tiada diskaun bagi mu walaupun sudah tua'.
Setelah mengambil resit bayaran, anak yang turut sama menemani ke hospital menghampiri dan bertanya berapakah bil rawatan itu.
"Oklah tu.Murah"
Kali ini saya pening lalat.
Lalat yang pening yang tidak tahu cari ubat penawar untuk merawat kepeningannya itu. Begitulah diibaratkan pening saya apabila anak mengatakan bayaran rawatan itu murah. Kalau pening kepala, saya akan beli panadol dan menelan dua biji. Biasanya pening saya akan reda dan pulih. Tapi pening lalat tiada penawarnya.
Maknanya saya tidak dapat menerima kenyataan anak saya itu yang mengesahkan bahawa bil rawatan itu murah. Saya tidak percaya sama sekali. Hospital ini cekik darah.
Sepanjang perjalanan untuk pulang ke rumah, sambil memandu, otak saya bekerja keras untuk mempertahankan kepercayaan saya bahawa bayaran hospital itu mahal.
Isteri saya perlukan rawatan untuk menghilangkan pening kepala. Bila buka mata dan berdiri beliau rasa mabuk dan tidak dapat berdiri dengan stabil. Terpaksa duduk. Kalau tidak akan rebah.
Beliau telah mengambil panadol. Tapi peningnya berterusan. Apa yang dimakan dan diminum keluar semula. Muntah. Jadi saya buat keputusan untuk ke klinik atau hospital. Saya pilih hospital pakar untuk memberikan rawatan terbaik kepada isteri.
Bila sebut hospital pakar ertinya bukan hospital kerajaanlah.
Ini tidak bermakna saya tidak yakin dengan doktor-doktor di hospital kerajaan, termasuk doktor-doktor pakarnya. Malah hospital kerajaan menjadi pilihan utama jika saya yang sakit. Sebab bayaran yang dikenakan murah berbanding dengan bukan kerajaan. Cuma apa yang perlu ada pada saya ialah kesabaran menunggu. Itu saja.
Tapi saya mahukan isteri di beri rawatan yang terbaik. Terbaik, maknanya segera diberikan rawatan tanpa menunggu lama. Kalau ke hospital atau klinik kerajaan sudah tentu panjang que nya. Tunggu terlalu lama. Yang sakit bertambah sakit. Yang datang menghantar pesakit pun jadi sakit. Sakit hati.
Sebaik saja sampai di hospital yang dipilih, anak mendaftar nama di kaunter pendaftaran. Pesakit yang datang untuk mendapat rawatan tidaklah ramai. Hanya dua pesakit saja yang mendahului isteri. Waktu itu hanya ada seorang doktor bertugas berdasarkan setiap kali giliran dipanggil, pesakit diminta memasuki bilik no.2. Tiada panggilan untuk bilik no.1 dan bilik
yang lain.
Setelah menunggu hampir setengah jam, giliran isteri dipanggil. Bahasa Melayu doktor itu agak pelik juga. Ayatnya sudah tentu lintang pukang. Tak mengapa, dia guna bahasa pasar agaknya. Tapi sebutan patah-patah kata tidak langsung meyakinkan saya dianya anak tempatan. Bukan orang India tempatan. Mungkin dari India atau Bangladesh atau Myanmar.
Saya tidak pula bertanya dengan nurse tentang doktor itu.
Dari masa mendaftar sehinggalah saya membuat bayaran ianya memakan masa hampir 1 jam. Tempoh masa ini bagi saya, oklah.
"Oklah", terkeluar dari mulut saya yang terus memegang stering kereta untuk pulang ke rumah. Anak yang duduk disebelah menoleh ke kanan.
Saya tidak pening lalat lagi kerana sudah jumpa penawar.
"Saya hendak mendapat rawatan yang cepat". Itulah kos tambahan yang saya kena bayar.
Tapi kalau tempoh dapatkan rawatan sama seperti hospital kerajaan, macam mana?
Adakah kemungkinan begitu. Atau pernah ke terjadi begitu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan