Saya ingin mencoretkan sedikit kisah hidup pada masa negara kita belum bercita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Dan sedikit coretan kehidupan masa kini- semasa pimpinan negara bercita-cita menjadikan Malaysia negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pendapatan RM15,000.00 sebulan.
Sudah tentu saya mencoretkan cerita yang sebenarnya saya tahu.
Abah saya seorang pemanjat pokok kelapa untuk membuat gula melaka. Abah saya seorang SC (special constable). Abah saya seorang penorih getah kepunyaan orang putih.
Itulah sumber pendapatan abah saya dalam membesarkan kami semua, 12 orang kesemuanya.
Saya tidak pasti berapa pendapatan abah semasa bekerja sebagai pemanjat pokok kelapa untuk membuat gula melaka. Saya terlalu kecil untuk mengingatinya.
Semasa jadi sc, saya berkesempatan juga melihat slip gaji abah. Kalau tidak silap pendapatannya adalah sebanyak RM70.00. Ketika itu bilangan anak abah adalah seramai 6 orang. Pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk keperluan 8 orang. Keperluan asas saja.
Oleh itu bagi menambah pendapatan, saya dan abang bersama abah membuat kerja sambilan. Kami mengambil upah mengangkut air dari perigi ke rumah tok sarjan, bos abah. Jarak perigi ke rumah tok sarjan agak jauh juga lebih dari 200 meter.
Jika abah tiada bersama, saya dan abang selalu bergaduh semasa kami mengandar air ke rumah tok sarjan. Tin yang penuh berisi air itu akan kami kandar. Kedudukan tin itu mesti ditengah-tengah kayu kandar agar saya dan abang menanggong berat yang sama.
Tapi abang lebih tinggi. Ini membuatkan tin itu menggelunsur ke arah saya. Saya menanggung berat melebihi abang. Maka dengan pantas saya minta perjalanan di berhentikan. Setiap kali berlaku sedemikian saya minta berhenti dan meletakkan semula tin itu ditengah kayu kandar. Abang naik marah kerana selalu berhenti. Ini melambatkan tugas kami untuk memenuhkan tempayan besar rumah tok sarjan.
Maka kami bergaduh dan bertumbuk. Biasanya saya yang menangis. Tapi air diangkut juga ke rumah tok sarjan. Kalau tidak abah akan marah. Kena rotan sega. Adoiiii sakitnya.
Entah berapa yang dibayar oleh tok sarjan upah mengangkut air itu saya tidak tahu. Abah tidak pernah beritahu.
Apabila darurat diistiharkan berakhir pada tahun 1960 abah berhenti kerja sebagai sc. Balik kampong. Abah menjadi penorih getah di ladang kepunyaan orang putih. Sebagai sc abah dan kawan-kawan se perkhidmatan dengannya tiada pencen. Kerajaan tidak ambil kisah walaupun mereka juga menyabung nyawa melawan kominis.
Jadi pendapatan abah ialah dari upah menorih getah itu. Pendapatannya tidak banyak beza semasa jadi sc. Kadang-kadang lebih kurang dari itu, jika musim hujan. Ketika itu anak abah telah bertambah menjadi 12 orang. Semuanya bersekolah sama ada sekolah rendah atau menengah. Saya bersekolah di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Lumpur.
Wang pendapatan sebanyak itu selalunya tidak mencukupi. Nak bayar duit bas sekolah, duit buku dan belanja sekolah. Jangan cakap fasal hendak beli pakaian baru untuk hari raya. Mimpipun tak boleh, apatah lagi angan-angan.
Abah akan beli baju warna putih dan seluar pendek warna biru. Sepasang saja bagi satu tahun. Ini adalah sebagai tambahan kepada pakaian yang telah dibeli pada tahun-tahun lepas.
Pakaian itulah untuk dipakai menyambut hari raya. Pakaian itu juga untuk ke sekolah. 'Jangan mengada-ngada', kata-kata yang keluar dari emak, jika ada diantara kami yang gatal-gatal sangat meminta lebih dari itu. Tapi kami tidak berani 'mengada-ngada' dengan abah. Nak cari nahas. Maka senyap sunyilah kami, macam tikus takutkan kucing.
Dapat bayangkan tak bagaimana rupa baju dan seluar itu? Baunya?
Saya agak bernasib baik sedikit kerana mendapat biayaan biasiswa.
Jadi dengan pendapatan yang kecil tetapi menanggung keperluan ahli keluarga yang ramai, abah tidak malu meminjam dan berhutang. Waktu dapat gaji, tidak sempat panas di tangan, penagih hutang telah sedia menanti. Habis kesemuanya. Banyak kali tidak dapat bayar semua. Setiap bulan hutang berbaki akan bertambah dan terkumpul. Hutang yang paling banyak terkumpul ialah hutang kedai tempat abah mendapatkan keperluan harian.
Kesian abah. Tapi saya amat berterima kasih kepada pekedai yang membenarkan abah berhutang itu. Kalau tidak, sudah tentu ada masanya kami tidak dapat makan.
Apabila kesemua 9 orang anak lelaki abah bekerja, kami sepakat minta abah berhenti kerja. Wang pemberian kami mencukupi bagi menyara abah dan emak termasuk membayar hutang.
Sekarang abah sudah meninggalkan kami. Sudah lebih dari sepuluh tahun. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa abah dan memasukkan abah dikalangan orang-orang yang di redhai.
Sekarang ini ada juga orang hidup seperti kami dulu. Malah lebih mencabar kerana kos sara hidup yang tinggi. Apatah lagi duduk di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar yang sebahagian besar kos hidupnya tinggi. Kalau dulu abah bergaji RM70.00 terpaksa menyara 14 ahli keluarga termasuk dirinya, abah terpaksa berhutang. Maka pada masa ini mereka yang berpendapatan RM1,000.00 dan mempunyai tanggungan 7 orang ( 5 anak dan seorang isteri) , saya percaya mereka perlukan sumber tambahan.
Untuk itu ada yang bekerja menjual di pasar malam, menjadi ejen insurans dan berbagai pekerjaan lagi bagi tujuan mendapat sumber tambahan. Ada yang berhutang. Dan pinjaman yang paling mudah ialah dari along.
Dulu abah berhutang sebagai cara membantu kesusahannya. Abah dan kami semua selamat. Saya panggil hutang itu atas dasar kasih sayang untuk membantu yang susah dan memerlukan.
Sekarang berhutang boleh membuatkan keselamatan diri dan keluarga terancam. Saya panggil pemberi hutang pada masa ini sebagai mencekek darah untuk mencari keuntungan diatas kesusahan orang lain. Memberi pinjaman untuk dapat keuntungan yang keterlaluan. Langsung tiada belas ikhsan.
Bagaimana pula mereka yang mempunyai pendapatan kurang dari RM1,000.00 sebulan misalnya RM600.00. Saya dapat membayangkan kehidupan mereka. Tentu amat perit dan susah sekali.
Bagaimana pula mereka yang berpendapatan RM10,000.00, RM 20,000.00, RM30,000.00, RM50,000, dan lebih dari itu misalnya RM100,000.00 keatas bagi satu bulan. Saya dapat membayangkan bahawa mereka masih lagi mengatakan tidak cukup. Dan dalam masa yang sama sebahagian dari mereka sentiasa mengadakan majlis makan-makan yang berakhir dengan makanan yang berlebihan untuk di buang.
Lihat jurang pendapatan masa kini. Terlalu besar. Kos sara hidup juga semakin bertambah yang mengurangkan kemampuan daya beli mereka yang berpendapatan rendah. Namun begitu kita mengharapkan jurang ini dapat dan mampu diperkecilkan disamping usaha bagi mengurangkan kos sara hidup. Adalah tidak ada maknanya pendapatan bertambah tapi kos sara hidup bertambah sama. Apatah lagi jika kos yang bertambah itu melebihi tambahan pendapatan. Jika keadaan itu berterusan maka saya katakan bahawa kehidupan saya dulu lebih bermutu walaupun abah bergaji RM70.00 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan