Malam tadi, 261012, masuk tidur lebih awal dari biasa. Biasanya paling cepat ialah pada pukul 12 malam keatas. Tapi pada malam tadi adalah malam untuk mendapatkan semula waktu tidur yang telah terganggu empat malam. Ya, bermula pada malam 221012 sehingga 251012, saya berada di Hospital Pantai, Ampang, dibilik no.331 atau bilik 31 di tingkat 3.
Bukan saya yang dimasukkan ke wad untuk tujuan mendapat rawatan. Tapi saya menemani isteri yang dimasukkan wad untuk mendapat rawatan disebabkan jangkitan kuman yang mengakibatkan muntah-muntah yang tidak berhenti-henti , cerit beret dan batuk-batuk serta selesema.
Bilik no 31 ini mempunyai satu katil untuk pesakit, satu kerusi malas dan satu kerusi pelawat disamping almari pakaian, tempat letak hidangan makanan pesakit dan satu meja kecil berlaci serta bilik air.
Nampaknya bilik ini adalah selesa. Selesa, dalam ertikata keperluan yang ada atau standard sebuah hospital. Ini bukan hotel. Bukan rumah kita. Jangan ungkit fasal selesa.
Jadi pada setiap malam sepanjang menemani isteri, saya tidur diatas kerusi malas. Kerusi itu 'ngam-ngam' saja (cukup-cukup) menampong saiz anggota badan saya. Ertinya semasa berbaring , saya tidak boleh pusing kiri atau kanan seperti yang menjadi kebiasaan saya di rumah untuk melelapkan mata. Maka bermula berbaring pada pukul 9 malam sehingga pagi saya tidak dapat tidur. Tambah-tambah lagi, jururawat dalam selang beberapa jam, masuk ke dalam bilik untuk merawat dan mengambil bacaan tekanan darah isteri. Menambahkan gangguan untuk tidur.
Pada pemeriksaan awal doktor mengatakan isteri telah keracunan makanan. Saya tidak hairan walaupun kami jarang makan di luar. Maknanya keracunan makanan itu berpunca dari makanan di rumah. Bukanlah makanan atau persediaan makanan itu tidak bersih. Kami terutama isteri sentiasa menjaga kebersihan.
Tapi ada satu kegemarannya yang saya tidak mampu memberhentikannya walaupun ingatan demi ingatan diberikan. Dia suka makan makanan semalaman yang masih berbaki. Kadang-kadang makanan berbaki melebihi dua hari yang disimpan dalam peti sejuk.
Bagi isteri, peti sejuk adalah alat yang boleh mengawal makanan yang berbaki itu dari tercemar. Katanya amat sayang untuk membuang makanan yang berlebih itu, membazir rezeki. Jadi jalan yang terbaik untuk mengelakkan pembaziran ialah dengan memakan makanan yang berbaki yang disimpan dalam peti sejuk.
Hanya dia saja yang makan kerana yang lain termasuk saya tidak ada selera untuk makan terutama jika makanan yang berbaki itu tersimpan lebih dari dua hari.
Akibatnya keracunan makanan. Isteri menunjukkan rasa kesal kerana memakan makanan berbaki yang tersimpan lama itu. Dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya gembira tapi kurang yakin.
Setelah diperiksa lanjut melalui beberapa kali ujian darah maka didapati darah putih isteri melebihi dari had normal. Kata doktor ada jangkitan kuman. Laluan pernafasan menyempit. Isteri diserang penyakit bronchitis . Hati (lever) isteri banyak diselaputi oleh lemak. Ini adalah disebabkan faktor usia. Fungsi pankerias sedikit terjejas tapi tidak serious.
Antara faktor yang menyebabkan sakit isteri menjadi bertambah teruk ialah penyakit kencing manis dan tekanan darah yang sedia ada. Jadi rawatan mengambil masa yang lama.
Maka isteri terpaksa diberi 'dripping', memasukkan air dan ubat-ubatan seperti antibiotik melalui tangan sebelah kiri; diberikan sedutan gas untuk membuka ruang pernafasan yang sempit dan berbagai jenis ubatan seperti ubat kencing manis, darah tinggi, serbuk yang dibancuh dengan air untuk mengurangkan ceret beret dan ubat batuk. Melihat ubat yang bermacam-macam itu seleranya naik mual, meransang untuk muntah.
Makanan yang disediakan adalah melalui pesanan berdasarkan senarai menu yang disediakan. Pada hari pertama, isteri memilih lauk ikan masak asam pedas. Makanan kegemarannya. Hari-hari yang berikutnya menu itu tidak ada lagi. Maka hari seterusnya dia tidak ada selera.
Menu sarapan pagi ,isteri mempunyai pilihan untuk memesan roti, biskut atau pun oats yang dicampur susu, dengan kopi atau teh sebagai air minuman. Dia menolak oats kerana susu boleh meransangkan lagi ceret beret. Jadi sarapan paginya adalah sama ada biskut atau roti. Ini menambah jelak.
Menu itu tidak membuka selera makannya. Dia nak makan nasi lemak, mee atau meehun goring yang tidak termasuk dalam menu hospital.
Entah macam mana, mungkin terlalu muak dengan sarapan pagi yang biasa diambil, isteri telah menukar memesan oats yang bercampur dengan susu. Dia terlupa agaknya yang susu itu boleh membuatkan ceret berit. Ketika itu hari ketiga, hari yang diberitahu oleh doktor untuk keluar hospital kerana isteri telah pulih termasuk tidak lagi ceret berit. Maka oats bercampur susu itu dimakannya. Sedikit saja kerana oats itupun tidak menaikkan seleranya.
Apa yang terjadi selepas itu? Masuk ke tandaslah, jawabnya. Tiga kali masuk ke tandas kerana ceret berit berulang semula. Doktor kata kena tunggu satu hari lagi. Esok hari Jumaat, hari raya Aidil Adha.
Satu hari lagi bermakna saya kena tidur diatas kerusi malas semalam lagi. Tak dapat tidurlah satu malam lagi. Berayalah kami di hospital pantai ampang, di bilik 331.
Hari Jumaat, saya tidak dapat menunaikan solat sunat raya. Pakaian yang ada tidak berapa bersih. Pada pukul 10.30 anak bersama suami dan cucu datang dari rumahnya di One Ampang south view membawa makanan raya berupa soto. Maka kami semua makan santailah, beraya di bilik 331.
Disebelah petang kami keluar dari hospital menuju ke rumah anak di Putra Jaya. Kami menaikki kereta anak lelaki yang bekerja di Pasir Gudang, Johor. Beliau bercuti untuk melawat emaknya di hospital.
Selepas Maghrib kami makan malam. Anak lelaki minta emaknya menyediakan air nescafi. Katanya nescafi boleh elak dari mengantuk kerana dia nak memandu kereta balik ke pasir gudang.
Isteri menyediakan nescafi yang diminta. Dia menggunakan susu yang sudah lama. Tak tahu sudah berapa lama. Lukman (anak lelaki) menghirup nescafi itu dengan penuh selera.
Lukman telah berlepas ke pasir gudang pada pukul lapan malam. Tiba-tiba isteri teringat bahawa dia telah menggunakan susu yang telah lama (habis tempoh boleh pakai) semasa menyediakan nescafi anaknya tadi. Dia mula susah hati khuatir Lukman akan keracunan makanan seperti yang dia telah alami. Dia berdoa memanjang agar Lukman tidak keracunan makanan. Waktu masuk tidur semasa berbaring diatas katil , dia tetap berdoa.
Jam 2.42 pagi isteri mengejutkan saya yang terlalu lena tidur, menanyakan adakah Lukman telah hantar SMS memaklumkan telah sampai. Saya lihat handphone, tiada mesej. Isteri mengeluh susah hati.Khuatir Lukman keracunan makanan.
Akibatnya, saya tidak boleh tidur sehingga ke Subuh. Tak dapatlah untuk mendapat semula waktu tidur yang telah terganggu semasa dihospital.
Itulah saya katakan tadi bahawa apabila isteri menyatakan tidak mahu mengulangi tabiat yang suka makan atau menggunakan makanan yang telah lama saya gembira tapi meragui pengakuannya. Sebab, kalau sudah menjadi satu kebiasaan, habit, amat susah untuk meninggalkannya. Memang niat telah ada tapi kebiasaan membuatkan kita terlupa akan niat baik kita itu. Begitulah yang terjadi kepada isteri sehingga memberi tekanan kepada perasaannya. Dia tidak dapat tidur kerana khuatir anaknya Lukman juga akan menerima nasib yang sama, muntah dan ceret berit seperti yang telah dialaminya.
Pukul 7 pagi saya menalipon Lukman bertanyakan keadaannya sama ada cerit berit dan muntah. "Ok je" jawab Lukman . Isteri mula tersenyum gembira. Dan berjanji lagi bahawa dia tidak akan mengulangi habitnya itu. Saya gembira dan bertambah yakin dengan janjinya itu.
Malam ini saya akan dapat tidur dengan lena. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan