Tajuk paparan mahu bercerita fasal perang. Apa yang berlaku di medan peperangan.
Cetusan bunga api perang telah lama meletus. Kadang-kadang letusannya besar dan tinggi. Ada masanya kecil-kecil saja dan rendah. Tapi yang pasti cetusan lahar bunga api perang itu sentiasa keluar memanaskan persekitaran. Hanya pada Jumaat, 28 September 2012 telah diistiharkan secara rasmi peperangan itu. Perang merebut sebuah kerajaan.
Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri berdiri dengan gah sekali membuat peristiharan perang dengan menggunakan bajet sebagai senjata untuk menawan hati rakyat. Beliau ketika itu adalah panglima perang.
Walaupun beliau seorang saja yang berdiri menyanyikan gendang perang selama 2 jam, namun bersama beliau yang kesemuanya duduk, tanda akur dan patuh taat setia adalah timbalan panglima perang, panglima-panglima perang dari berbagai ketumbukan dan parajurit-parajurit yang tunduk penuh setia. Ini menambahkan lagi kesungguhan beliau melantangkan suara, menggerak-gerakkan tangan beserta jari jemari untuk menyampaikan maksud dihati.
Sesungguhnya pada hari itu beliau amat berani sekali, sepadan dengan kata-kata 'membujur lalu, melintang patah'. Perang habis-habisan.
Berdepan dengan beliau adalah musuh-musuh yang perlu ditewaskan. Bukan saja perlu bahkan MESTI ditamatkan riwayat. Sasaran utama yang menjadi idaman nafsu hati, yang pasukan perangnya telah sama-sama sepakati adalah panglima perang yang duduk bertentangan dengan pasukannya yang kelihatan begitu tenang dan tekun mendengar lagu yang didendangkannya.
'Hentam, lanyak, lenyek, telanjangkan, malukan dan apa saja yang boleh mencederakan , fizikal dan moral, lakukan', begitulah antara pesan berpesan yang telah disepakati bagi menamatkan riwayat politik panglima perang diseberang sana.
Lagu Menteri Kewangan sungguh mengasyik dan mengkhayalkan. Kalau yang mendengar itu diibaratkan seperti burung pungguk maka berkhayallah sipungguk itu merindukan bulan.
Tapi panglima perang disebelah sana beserta dengan wira-wira perangnya masih lagi celek mata tidak terlena dik irama yang mendayu dan merayu tapi penuh ancaman yang dibawa oleh Menteri Kewangan itu.
Keberanian Menteri Kewangan mengistiharkan perang pada hari Jumaat itu tidak siapa pun dapat menafikan. Ada video, ada tv. Semua boleh lihat boleh tonton secara langsung tidak ada suntingan. Dan kalau mahu dibuat 'rating', kita boleh beri 10/10 akan keberanian beliau. Maknanya sebagai panglima perang beliau tidak kenal erti takut. Beliau tetap bersama dengan pasukan sehidup semati. Lari atau tidak bersama dengan pasukan , beliau bukanlah orangnya.
Itu cerita di medan perang pada hari Jumaat.
Hari Isnin 2 Oktober 2012 kita mengharapkan keberanian yang sama dari menteri kewangan masih terus membara, semarak menyala kerana perang yang diistiharkan mendapat sambutan dari panglima perang disebelah sana. Sayang seribu sekali sayang, Menteri Kewangan sebagai panglima perang bersama dengan timbalan panglima perang dan panglima-panglima perang dari berbagai ketumbukan telah tidak kelihatan di medan perang. Yang tinggal adalah beberapa orang parajurit-parajurit yang terkapai-kapai menerima tembakan dari pihak lawan. Kesian parajurit-parajurit itu, kelihatan semput susah bernafas.
Takkanlah baru saja mengistiharkan perang, sudah lari. Belum lagi berlawan sudah cabut lari. Malulah pada anak-anak buah. Malulah pada burung pungguk yang telah dijanjikan bulan terang benderang. Cukup malu bila meninggalkan orang-orang bawah terkapai-kapai. Lagi bertambah malu bila di medan lain, bersuara begitu lantang memperkecilkan keberanian pihak lawan.
Kalau panglima, timbalan dan panglima-panglima ketumbukan sudah meninggalkan medan perang, medan perang itu sudah jatuh ke pihak lawan.
Dan pada hari Isnin ianya jelas sekali menunjukkan penguasaan PR dalam dewan Parlimen, seolah-olah PR yang menjadi kerajaan. Inilah kali pertama yang saya lihat dalam sejarah perbahasan bajet, ucapan Ketua Pembangkang semasa membahas ucapan bajet menteri kewangan tidak dikacau ganggu . Begitu jelas dan tenang sekali ucapan ketua pembangkang. Speaker pun nampaknya memudahkan ucapan itu disampaikan. Ada juga celahan dari wakil kerajaan yang sedikit itu. Dan dapat diberi penjelasan dengan baik oleh ketua pembangkang.
Jadi yang saya nampak ialah keberanian beberapa ahli parlimen BN dalam menghadapi ucapan bahas ketua pembangkang. Saya menghormati mereka. Sayang sekali mereka adalah parajurit yang tiada panglima. Maknanya walaupun mereka berani, dalam medan perang, sebenarnya, mereka telah tewas dan kena menyerah diri.
Adakah ini petanda buruk kepada BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan