Theflowersellingboy

Rabu, 1 Februari 2012

Winnable Candidate- Calun Boleh Menang Formula BN. PR bagaimana?

1. Winnable Candidate (wc) -Calun Boleh Menang sekarang ini kerap menjadi tajuk percakapan terutama dikalangan orang-orang politik. Siapakah gerangan yang patut menjadi calun bagi mewakili parti yang boleh menang dalam pilihanraya yang akan datang ini . Katanya sudah dekat, bukan bau bacang lagi tapi sudah bau durian meresap kebatang hidung. Cuma parti atau khusussnya kepimpinan parti yang sibuk memperkatakan wc ini adalah dari parti BN. Parti-parti di bawah PR tidak pula terdengar memperkatakan calun wc ini. Mungkin saya terlepas pandang atau tiada maklumat mengenai hal ini. Buat ketika ini saya mengatakan PR  tidak sibuk dengan hal wc ini.     

2. Selain dari PM dan beberapa orang kepimpinan tertinggi UMNO dan BN , baru-baru ini bekas TPM Tun Musa juga ada menyentuh tentang wc ini. Masing-masing yang memperkatakan wc ini tidak pula secara spesifik memberikan ciri-ciri yang macam mana dikatakan seseorang itu boleh menjadi wc. Hal itu pada saya tidak menghairankan kerana wc ini hanya terpakai dan berkuatkuasa jika ianya  ditentukan oleh mereka yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukannya. Itu saja. Kalau misalnya sekadar mengatakan calun itu mesti boleh memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat, mempunyai keperibadian terpuji, berakhlak baik dan sifat-sifat positif yang lain , saya rasa semua orang akan kata dia mempunyai kesemuanya itu. Bukan mereka saja, saya sendiri akan mengatakan sayalah yang terbaik dari orang lain dan boleh menjadi wc. Asalkan saya memang gila untuk bertanding.

3. Jadi apa alasan pihak yang menentukan seseorang itu wc apabila mereka yang tidak terpilih mengatakan mereka juga wc. Adakah akan dikeluarkan segala rekod buruk orang itu? Saya percaya jika itu dilakukan, orang itu juga ada maklumat tentang perkara-perkara buruk dari orang yang dikatakan wc itu. Itu perkara mudah saja kerana yang hendak menjadi calun dalam pilihanraya ini adalah mereka yang hendak mencari kekayaan secara mudah. Tidak benar? Tidak perlu buka mata, hidung kita boleh menghidunya. Ini termasuklah mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan wc itu. Tidak benar juga?  Semua orang ketawa terbahak-bahak.

4. Jadi penentuan wc berasaskan kepada keperibadian yang terpuji memang tidak mampu dipertahankan. Tetapi untuk mendapat calun yang mempunyai keperibadian terpuji memang boleh cuma sukar sedikit kerana bilangannya agak sedikit. Bukan saja bilangan sedikit malah golongan ini tidak tergila-gila untuk menjadi calun. 
5. Mungkin dalam keadaan sebegini ada suara-suara yang meminta supaya sesiapa saja yang dipilih untuk menjadi calun oleh kepimpinan maka calun itu hendaklah disokong. Tidak kisahlah orang itu ahli parti atau bukan ahli parti. Tapi adakah pilihan seperti ini akan menjadikan orang itu wc? Jika dari ahli parti dan mempunyai jawatan yang penting dan telah berada dalam parti begitu lama, saya rasa untuk mendapat sokongan mungkin tidak sukar. Tapi kalau yang bukan ahli walaupun dikatakan berkeperibadian terpuji, orang itu tidak mungkin akan jadi wc. Banyak halangan yang akan dihadapi. Itu tidak menghairankan dan sepatutnya timbul kerana mereka yang tealah lama berkhidmat dalam parti tidak semena-mena diketepikan dan berikan kepada orang yang tiada kaitan dengan parti.

6. Nampaknya BN khususnya UMNO akan memakai konsep wc dalam memilih calun bagi pilihanraya akan datang. Kalau begitu timbul soalan: Adakah bermakna piliharaya-pilihanraya yang telah berlalu hal wc ini tidak ada dalam batu jemala orang UMNO atau sekurang-kurangnya dipihak kepimpinan?

7. Saya ingin meneka jawapan kerana tidak mungkin saya membaca apa yang ada dalam batu jemala mereka. Ada dua kemungkinan. Pertama , dulu-dulu orang UMNO begitu yakin sekali. Siapa saja yang diletakkan jadi calun, tentu menang. Malah ada gurauan (bagi saya sendaan) yang dibuat bahawa hantar tali pinggang, batu atau apa saja sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa mewakili UMNO , kemenagan sudah pasti. Sekarang jangan buat begitu. Mesti cari yang bernyawa yang dikatakan wc. Ketakutan atau kerisauan itu membawa kepada kemungkinan kedua iaitu tidak ada keyakinan untuk menang atau keyakinan untuk menang telah merudum laju kedalam gaung. Sebab itu cari yang betul-betul boleh menang mengikut tafsiran kepimpinan. Jangan persoalkan. 

8. Kenapa kepimpinan tidak menyatakan bahawa sesiapa yang hendak menjadi calun mestilah mempunyai kriteria-kriteria berikut:
i) Ahli parti
ii) Telah memberi khidmat kepada parti dengan penuh setia dan baik.
iii) Mendapat penghormatan yang baik dikalangan masyarakat yang akan diwakili.
iv) Mempunyai ilmu dan pendidikan yang baik misalnya mempunyai sekurang-kurang diploma.
v) Tidak terlibat dalam jenayah
vi) Tidak mengamal rasuah
vii) Tidak terlibat dalam perlakuan fitnah memfitnah
viii) Tidak terlibat dalam pembikinan dan penyebaran video lucah.
xi) Sanggup mengistiharkan harta/aset kepada rakyat kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.
x) Berkata benar dan memihak kepada yang benar.

9. Saya percaya jika ini dilakukan maka semua pihak akan jelas kriteria pemilihan wc. Dan kriteria itu mesti juga menaklukki semua calun yang bertanding. Maka ianya memberi kepuasan kepada semua kerana ianya jelas lagi terang, dan semua adalah tertakluk kepada kriteria pemilihan yang sama. Tidak ada seorang calun dikecualikan. Macam mana? Saya percaya pusing kepala mereka yang hendak membuat pilihan calun yang wc. Pusing , disebabkan mereka adalah diantara yang pertama tidak termasuk dalam kriteria wc itu.

10. Yang menghairankan kenapa PR tidak heboh dengan wc. Terlalu yakin menang ke macam perasaan UMNO dulu-dulu? Berhati-hati dijalan raya, maksud saya dalam pilihanraya. Kalau dijalan raya kemalangan/musibah boleh berlaku terutama dihari-hari kebesaran seperti hari raya dan tahun baru China kerana mahu mengejar duit raya/angpau maka dalam pilihanraya pun boleh jadi begitu, boleh tergelincir kerana benda semacam duit raya/angpau memang bermaharaja lela. Cuma bezanya yang memberi itu terlalu pemurah, baik hatinya pada ketika itu dan yang menerima pula menjadi cair. Maka tergelincirlah PR dik pelincir itu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan