Heboh satu cakerawala berita tentang hadiah yang telah diterima oleh Juzak dan seorang rakan kongsi junior sebanyak 2.2 bilion dirham. Hadiah yang dikongsi atas nisbah yang mereka saja yang tahu. Hadiah itu diberikan kerana jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh kedua-duanya dalam bidang yang sama tetapi pada kedudukan yang berbeza.
Raja Cekerawala (RC) berpendapat bahawa hadiah itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasa khidmat yang telah dicurahkan oleh Juzak dan rakan kongsinya itu. Tanpa mereka berdua sudah tentu RC itu gagal dalam tuntutannya keatas sebuah daerah, iaitu Daerah Purnama (DP) yang baru saja dikuasai oleh Raja Baru (RB) melalui penyelesaian timbangtara.
RC dan RB telah bersetuju untuk menggunakan khidmat Juzak sebagai pengerusi timbangtara bagi menyelesaikan hak penguasaan keatas DP apabila beberapa rakyat DP telah menyatakan keinginan bertaat setia semula kepada RC. Ini telah membuatkan bilangan rakyat yang bersetia kepada RC telah melebihi dari yang bersetia dengan RB sebanyak seorang saja.
Mengikut kanun yang di pakai di cekerawala itu mana-mana raja yang mendapat kesetiaan rakyat lebih dari raja yang lain walaupun cuma seorang saja, dengan syarat rakyat tersebut tidak diupah atau dirasuah, raja itu berhak menguasai sesuatu daerah dalam cekerawala itu. Namun menurut maklumat yang ada dalam pengkalan data RB, rakyat yang bertukar kesetiaan itu telah dirasuah. Atas dasar itu RB menyatakan perubahan taat setia itu tidak sah dan perlu dicabar.
Maka untuk menyelesaikan pertelingkahan diantara RC dan RB ini maka kedua-dua pihak telah bersetuju dibuat secara timbangtara. Cuma RB terpaksa menerima Juzak sebagai pengerusi kerana hanya dia sajalah yang ada. RC pula tidak ada masaalah kerana dia telah kenal lama dengan Juzak yang juga telah bekerja dengannya sebagai penyelia istana.
Dipendekkan cerita masing-masing pihak telah memilih wakil untuk membentangkan kes dihadapan Juzak pengerusi timbangtara itu. RC telah memilih penyelia istana yang menggantikan Juzak dulu manakala RB memilih seorang yang dianggap punya banyak pengalaman dalam kes hujah menghujah.
Kedua-dua pihak telah membentangkan kes masing-masing bagi menuntut hak penguasaan keatas DP. Bagi Juzak hujah dari wakil RB adalah susah untuk dinafikan kebenarannya bahawa ada bukti jelas rakyat yang bertukar taat setia itu telah mendapat habuan dari RC. Maka dia akan buat keputusan memberi hak penguasaan DP kepada RB. Sebelum mengumumkan keputusan itu Juzak mencadangkan supaya persidangan timbangtara berehat setengah jam.
Juzak memasuki kamarnya dengan begitu yakin sekali bahawa dia telah mendapat satu keputusan yang betul. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintunya yang mohon izin untuk masuk. Maka tercegat tersengeh-sengeh wakil RC dipintu masuk. Juzak mempersilakan wakil RC duduk diatas sofa bersebelahan dengannya.
"Tuan , Baginda tersangat berharap supaya DP dikuasainya. Ini maruahnya. Gagal menguasai DP, maruah baginda akan jatuh ke dalam longkang, tuan", wakil RC merayu setelah duduk terperosok diatas sofa yang lembut itu. "Tapi saya tidak boleh kata yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih", tegas Juzak.
"Boleh tuan sebab kata-kata tuan adalah muktamad. Tiada siapa boleh mencabarnya. Lagipun tuan, Baginda ada bisik-bisik ...", Juzak memberikan telinga kirinya kepada wakil RC untuk membisikkan sesuatu. "Ya ke? Kamu jangan main-main. Kempunan aku nanti". Juzak ketawa terkekeh-kekeh terlalu suka akan janji yang telah dibuat oleh RC melalui wakilnya.
"Ya tuan, tapi hadiah tertangguhlah macam deferred payment. Tapi besar tuan 2.2 bilion dirham. Kita kongsi tuan", wakil RC pun ketawa terkekeh-kekeh juga, sudah yakin dia akan menang.
Apabila timbangtara bersidang semula Juzak telah memeranjatkan semua yang hadir terutama wakil RB yang telah berusia itu dengan menyatakan bahawa tiada bukti rasuah yang telah mempengaruhi rakyat itu mengubah taat setia kepada RC. Maka dengan itu DP adalah menjadi sah hak penguasaan RC.
Tiba-tiba wakil RB berdiri menyatakan bahawa Juzak tidak boleh menyatakan hitam itu putih dan putih itu hitam. Kes ini ada bukti yang jelas. Juzak amat marah sekali dengan pernyataan itu seolah-olah dia seorang yang buta warna. Lalu dia memberitahu bahawa " Saya bukan colour blind. Baju yang awak pakai itu berwarna hijau bukan? Dan baju saya ini berwarna kuning. Baju wakil RC berwarna putih, betul tak?" Juzak begitu yakin dia tidak buta warna.
"Salah tuan. Baju saya kadang-kadang berwarna biru cair, hijau dan merah. Baju tuan berwarna biru pekat dan baju kawan saya tu memanglah berwarna putih dari dulu dan selama-lamanya", wakil RB sengaja menyakitkan hati Juzak walaupun apa yang dikatakan Juzak itu adalah benar.
Mereka bersurai. Juzak dan wakil RC dengan senyuman yang melebar, fikiran melamun jauh akan hadiah 2.2 bilion yang akan diterima dan dikongsi sama. Tapi ada sedikit kekhuatiran kerana ianya dalam bentuk hadiah tertangguh. Wakil RB pula bermuka masam dan merengus kerana katanya bukti jelas telah dapat ditunjukkan tapi Juzak boleh mengatakan yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih. Ya, mentang-mentang dia mempunyai kata-kata yang muktamad.
Setelah tiga purnama barulah terkeluar berita Juzak mendapat anugerah sebanyak 2.2 bilion dirham yang akan dikongsi bersama dengan wakil RC. Itulah yang telah diputuskan oleh Baginda Raja Cekerawala. Maka hebohlah satu cakerawala. Rakyat cakerawala pun terpinga-pinga walaupun telah sedia faham.
Wakil RB hanya dapat berkata "Patutlah... fahamlah saya sekarang". Untuk mempercepatkan perjalanan bagi tujuan menyampaikan berita yang mendukacitakan ini iaitu tentang anugerah 2.2 bilion dirham yang dianugerahkan kepada Juzak untuk pengetahuan RB, dia memikirkan lebuhraya yang mana satu yang hendak diikuti. Akhirnya dia berkata , "Lebuhraya yang telah siaplah, takkan yang itu".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan