Tahniah kepada penganjur debat diantara Khairi Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR) yang mengambil tempat di luar negara iaitu di England. Debat dua anak muda atau dua kepimpinan muda negara berkaitan dengan isu negara. Syabas.
Tidak perlu kita mengulas pihak mana yang menang atau kalah. Masing-masing kita mempunyai daya kemampuan untuk menilai dan menganalisis buah fikiran dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh dua pemimpin muda yang berani itu.
Perdebatan ini adalah merupakan satu mesej yang jelas lagi terang bahawa perbahasan mengenai isu negara dari dua pihak yang bertentangan boleh dilakukan dengan penuh beradab, saling hormat menghormati dan boleh diterima oleh rakyat Malysia. Ianya bukan satu budaya yang asing seperti disebutkan oleh seorang pemimpin kerajaan dalam hujahnya menolak perdebatan antara PM dengan Ketua Pembangkang.
Dengan demikian perdebatan seperti ini diantara PM dan Ketua Pembangkang dalam isu-isu berkaitan dengan negara wajar diadakan. Masing-masing mengatakan bahawa dasar dan cara mereka mengurus negara adalah lebih baik. Kalau begitu berhujahlah secara beradab dan tertib untuk didengar dan disaksikan oleh semua orang. Kaedah ini bukankah lebih baik daripada menghentam dan memperkecilkan pihak lawan diatas pentas yang berlainan. Berdiri diatas pentas yang sama, berhujahlah kamu berdua, biar kami dengar dan saksi. Biar kami nilai dan analisis hujah-hujah kamu berdua dalam hal berkaitan pengurusan negara. Kemudian kami boleh buat ketetapan yang mana satu lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Apakah tidak percaya akan kemampuan rakyat untuk berfikir? Jangan risau . Sebenarnya rakyat telah lama menunggu akan debat ini. Pihak yang ingin menganjurkannya pun telah ada. Apa lagi, ayuh Najib dan Anwar berdebat. Pilihanraya sudah dekat, berilah kami peluang untuk melihat dan mendengar dua pemimpin yang mahu duduk dipuncak menerajui negara. Kita mahukan yang terbaik demi rakyat dan negara.
Contoh teladan sudah ada walaupun dari orang muda. Tidak mengapa terlambat dan tidak ada salah mengambil teladan dari yang muda. Malah ianya amat memalukan jika yang tua merasa kurang yakin untuk naik keatas pentas untuk berdebat. Macam mana nak menawarkan diri jadi pemimpin kerana berdebat pun kurang yakin. Kita perlukan pemimpin yang penuh yakin untuk memimpin. Sekali lagi saya katakan rakyat Malaysia telah bersedia menerima budaya berdebat ini. Jangan risau tentang hal itu. Yang penting berani berdebat.
Tentang berani dan tidak berani ini, saya teringat semasa kecil-kecil dulu apabila berlaku perbezaan pandangan dengan kawan yang lain. Atau semasa hendak betumbuk. Ketika ini sebagai anak-anak , kami bertengkar mempertahankan sesuatu hal. Macam-macam kata yang kurang enak disebut bagi mempertahankan pendirian masing-masing. Jika pertengkaran itu tidak dapat dikawal maka berlaku cabar mencabar untuk bertumbuk. Caranya ialah pihak yang mencabar akan mengambil dua biji batu. Masing-masing batu itu mewakili kepala bapa yang hendak bergaduh. Cabarannya berbunyi begini " Kalau berani pijaklah kepala bapa aku ni". Jika cabaran disambut dengan memijak batu itu , maka berlaku tumbuk menumbuk sehingga bengkak-bengkak.
Cerita diatas ialah cabar mencabar dikalangan anak-anak kecil. Mereka bertengkar dan bertumbuk. Ini tahap perlakuan dan pemikiran budak-budak kecil yang tidak pandai mengawal kata-kata. Apa saja yang mahu dikeluarkan dari mulut dikeluarkan. Dan kebanyakannya yang tidak senonoh. Sebab itu mereka bertengkar dan bukan berdebat. Bila bertengkar hasilnya berlaku cabaran bertumbuk. Namun anak-anak itu boleh di puji kerana mereka ada 'maruah', yang tidak akan berundur apabila dicabar.
Jadi kita yang tua ini, terutama yang jadi pemimpin atau hendak menjadi pemimpin negara, usah bertengkar seperti budak-budak itu. Jangan bertumbuk. Untuk kita memperjuangkan pendirian mestilah melalui debat. Tertib dan beradab. Cuma tiru mereka dari segi keberanian menyambut cabaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan