Setiap detik, wang berligar dalam fikirannya. Tidak putus-putus otaknya memikirkan fasal wang. Wang adalah segala-galanya. Tiada wang hidupnya tiada punya makna. Lebih baik mati.
Wang tidak mesti ada secara fizikal dalam poket seluar atau poket baju atau pada beg kecil yang terlekat pada tali pinggang yang menjadi lilitan bagi memegang kain atau seluarnya dari terlondeh melungsur ke bawah, tidak juga perlu ada dalam genggaman tangannya atau disimpan dalam tabung buluh, tabung anak gajah, tabung replika bangunan Tabung Haji atau dibawah bantal. Yang penting dia tidak melupakan wang dalam apa keadaan sekali pun. Itu sudah ada kepuasan. Nikmat sebuah kehidupan.
Oleh itu untuk bernafas dan hidup dia mesti aktifkan fikirannya memberi kekhusyukan kepada wang. Inilah setiap detik dilakukan yang telah menggerakkan bukan saja fizikalnya yang diluar seperti tangan, kaki , telinga , mata, hidung malah alat fizikal yang tersorok dalam seluar dalam, itupun kalau dia berpakaian, bahkan organ-organ dalamannya seperti jantung , hati, buah pinggang, usus besar dan usus kecil dan segala-galanya sehingga berupaya merangsangkan nafsu mengatasi fikiran otak yang rasional. Dia tetap percaya wang adalah segala-galanya. Rukun yang membimbing akidahnya ialah wang. Itu saja.
Tapi fokus terhadap wang yang mengatasi segala-galanya itu tidak pula memberi kecerdikan kepadanya untuk meraih wang atau memperolehi wang sekurang-kurangnya untuk dapat di pegang. Mengapa? Kadang-kadang dia menyoal dirinya sendiri. Soalan mengapa yang kadang-kadang keluar itu telah berterusan dalam tempoh yang agak lama.
Dia juga manusia biasa yang mempunyai sifat kebosanan. Soalan yang bersifat kadang-kadang itu sudah memualkan nafsunya kerana soalan itu tiada jawapan. Dia tidak tahu apa jawapan sebenarnya. Dia perlu seseorang yang mahir dan pakar dalam bidang wang-mengewang untuk memimpin dan memberi tunjuk ajar supaya dia menjadi cerdik tentang wang, dapat mengajar bagaimana boleh dapat wang. Dia perlukan sifu wang.
Dia tersenyum sendirian apabila menyebut perkataan sifu wang kerana perkataan itu dia sendiri yang beri, tidak ada istilah sifu wang dalam mata pelajaran tentang wang. Yang dia tahu ialah sapu wang. Senyumannya makin melebar kerana walaupun tidak cerdik dalam bidang wang-mengewang, tapi dia telah berjaya memperkenalkan satu istilah yang mempunyai keberangkalian yang besar melebihi 100 persen akan diceduk-guna. Dan dia juga mempunyai tahap keyakinan melebihi 100 persen istilah itu akan diceduk-guna oleh pakar/professor yang mengajar mata pelajaran wang. Paling tidak DBP akan menerap-pakai dalam penyusunan istilah subjek wang.
Cuma dia amat berharap supaya pihak yang mengambil pakai istilah itu jangan tersalah eja atau tersalah sebut menjadi sapu wang. Tapi buat kesilapan itu bukankan fitrah manusia? "Maafkanlah mereka", dia begitu pemaaf sekali tentang hal ini.
Maka dalam pencarian sifu wang itu dia bernasib baik telah ketemu dengan seseorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam wang-mengewang ini. Orang ini tidaklah mahir dan pakar dalam ilmu tiori wang. Tapi mempunyai pengalaman praktikal dan terlibat sama dalam operasi wang-mengewang secara berterusan yang begitu lama. Khabar cerita melebihi 20 tahun. Pernah marah dan memperlekehkan pakar-pakar wang dunia yang dikatakan penyangak yang bodoh.
Dia yakin sifu wang ini boleh memberi tunjuk ajar tentang wang.
Dalam kelas wang yang pertama, sifu wang mengajar atau lebih tepat membimbing dia tentang kaedah untuk mendapat dan melupuskan wang. Sifu wang memulakan dengan menerapkan Rukun Wang yang perlu di patuhi yang katanya sebagai satu Bible.
Sifu Wang hanya memberi satu Rukun Wang saja dari lima yang ada atas alasan meminta dia berusaha untuk memikirkannya, tidak boleh disuap saja, mesti berusaha. Kata Sifu Wang, 'Usaha Tangga Kejayaan'.
Rukun yang satu itu ialah 'mesti ada daya tahan dan daya maju untuk menangis di khalayak ramai'.
Dia memberi reaksi yang spontan dalam otaknya apabila rukun ini dimaklumkan. 'Apa kena mengena tangisan dengan ilmu wang-mengewang? Untuk meraih simpati, kasihan, belas ihsan atau sokongan? Bagi tujuan mendapat, mengambil dan menggunakan wang? Bagi tujuan melupuskan wang secara mudah? Bagi tujuan 'bail-out?' Dia tiba-tiba tersenyum kerana entah macam mana perkataan 'bail-out' itu terkeluar dari mulutnya sedangkan dia sendiri tidak faham. Dia hanya selalu mendengar cakap-cakap dikedai kopi oleh pakar-pakar ketagih warung. Bukan dari pakar wang-mengewang seperti sifunya ini.
Sifunya hanya memberi satu contoh saja tentang kaedah mendapat wang dan melupuskannya.
Sifunya mengambil contoh dalam perniagaan MAS. Berniaga mas memang mendapat untung yang banyak kerana nilai emas adalah mantap dan tidak mudah di lakukan aktiviti spekulatif yang melampau seperti mata wang. Apabila perniagaan mas mendapat keuntungan, perniagaan itu bolehlah kita serahkan secara penjualan yang dibawah nilai pasaran kepada orang kita yang susah. Kita tolong pinjamkan wang. Tujuannya untuk membantu orang kita yang susah. Tapi letakkan syarat, tidak perlu bertulis sebab kita mesti percaya dengan orang kita, bahawa perniagaan yang dijual itu kita yang punya. Keuntungan dibahagi dua, dia dapat satu jari , kita dapat empat jari.
''Kalau rugi macam mana? Teringat dia akan persoalan beraninya itu. Sifu Wang beritahu, itu adalah tanggongjawab orang yang mengurus perniagaan mas itulah. Sebab dia beli pada harga yang murah.
"Kalau dia tidak mahu?"
"Masuk mahkamahlah".
"Tapi kalau dia dapat buktikan kita juga ada bahagian?"
"Kita lupuskanlah hutang itu"
"Tidak semudah itu"
"Itulah kamu ni tidak cerdik dalam hal wang-mengewang. Ingat tak rukun wang yang saya beri tahu tadi. Menangislah, lama teresak-esak lagi baik. Ramai yang menerjah kearah kita menyatakan sokongan dan simpati. Ada yang bertanya bertalu-talu 'mengapa, mengapa jadi begini, usah menangis sayang".
"Oooooo begitu".
"Ya lah, kita mesti ada daya tahan dan daya maju untuk menangis".
Dia akan berbuat begitu. Dia yakin Rukun Wang itu akan membuka peluang baginya untuk kali pertama memegang wang. Tidak hanya wang itu berligar-ligar dalam otak kepalanya atas rangsangan nafsunya saja.
Cerdik menangis, boleh dapat wang. Cerdik menangis boleh lupus wang.
Ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha menangislah aku. Hidup Aku. Sapu Wang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan