Theflowersellingboy

Selasa, 1 Disember 2015

Pusat Zakat, Dimanakah Kamu?



Sudah tiga kali saya bertemu dengan muka ini, muka yang sama setiap kali saya singgah berhenti rehat dan menunaikan solat di R&R Seremban arah selatan. Dia , adalah serang muallaf atau saudara baru mengikut istilah yang diguna pakai di Malaysia ke atas seseorang yang menukar akidah kepada Islam.

Memang beliau ini saudara baru (keturunan Cina) kerana tertulis pada satu kertas yang dilekatkan/ditampal pada satu kotak bahawa beliau adalah saudara baru yang memohon bantuan dan belas ihsan bagi beliau menanggung kos perubatan penyakit yang dihidapinya.

Beliau duduk diatas bahu tembok berdepan dengan laluan masuk ke surau lelaki. Sebuah kotak disediakan bagi menerima bantuan. Di kotak itulah dilekatkan sedikit cacatan mengenai beliau.

Kali pertama saya menemui beliau, terdapat seorang lagi saudara baru dari keturunan Cina juga yang duduk di bahagian dalam surau berhampiran tempat letak kasut, duduk bersila bagi tujuan mendapat bantuan dan belas ihsan.

Oleh kerana saudara baru yang duduk bersila di dalam itu, pada pandangan saya usianya lebih tua dari yang di luar maka saya mendahulukan beliau untuk saya beri sedikit sedekah/bantuan.

Yang lebih baik , sepatutnya  saya beri kepada kedua-duanya. Tapi itulah yang telah saya lakukan.

Kali kedua, saudara baru yang lebih tua itu tidak kelihatan. Hanya yang muda. Beliau duduk di tempat yang sama. Maka saya beri sedikit bantuan (wang).

Terakhir, Ahad yang lepas, saudara baru yang muda itu masih ada ditempat yang sama.

Kali ini saya jadi pemerhati. Saya lihat ramai juga yang menghulurkan bantuan dengan memasukkan wang ke dalam kotak yang disediakan. Setiap kali bantuan diberi, saudara baru itu menghulurkan tangan untuk bersalam sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih.

Seorang dari penderma kelihatan sedang bercakap=cakap dengan saudara baru itu. Tapi saya tidak dapat dengar buti-butir yang dicakapkan. Mungkin tentang penyakit yang dihidapi dan kos bagi mengubatinya.

Melihatkan percakapan mereka itu maka terdetik dalam hati saya untuk juga bercakap dengan saudara baru itu termasuk tentang penyakitnya, kos perubatan dan jumlah wang yang telah terkumpul. Dan mengapa beliau tidak meminta bantuan dari pusat zakat.

Saya menunggu orang itu beredar. Tapi sebelum sempat orang itu beredar, isteri telah selesai solat dan mengajak ke kereta untuk pulang.

Apa yang saya hendak tekankan/gesakan kepada beliau adalah agar pergi ke pusat zakat untuk mendapat bantuan. 

Adalah amat kecil sekali bagi beliau untuk dapatkan jumlah kutipan yang banyak  melalui cara yang beliau lakukan itu iaitu meminta bantuan dari pengunjung R&R. Bermakna peluang mengubati penyakitnya terlalu kecil. Penyakitnya akan melarat lebih teruk lagi.

Dalam hal bantuan dari pusat zakat ini, saya juga mahu tanya pusat zakat dimana-mana negeri, apakah mereka hanya terlalu sibuk berkempen dan membuka banyak kaunter untuk orang membayar zakat. Di radio, dengan memetik ayat-ayat al-quran tentang kewajipan membayar zakat, kerap berkumandang. Di tepi jalan raya/lebuh raya terpampang iklan memberitahu masyarakat Islam tentang kewajipan membayar zakat.

Adakah papan iklan memberitahu bahawa pusat zakat mencari orang-orang yang layak diberi bantuan. Berapa kaunter yang disediakan bagi orang dapatkan bantuan. Berapa bilangan penerangan dan penjelasan atau kempen kepada mereka yang berhak dapat bantuan zakat sama ada diradio, tv dan papan iklan serta media siaran yang lain? Berapa kali atau adakah pernah pusat zakat turun ke padang dengan tujuan untuk mencari atau mengenalpasti mereka yang perlukan bantuan.

Saya tidak ada maklumat tentang perkara yang saya tanya itu. Maklumat yang saya tahu dan dengar melalui radio dan tv ialah tentang keperluan membayar zakat dan pengumuman dari pusat zakat tertentu tentang jumlah kutipan zakat yang meningkat dari tahun ke tahun disertakan dengan seruan agar umat Islam terus membayar zakat bagi mencapai sasaran kutipannya.

Berbalik kepada saudara baru tadi, adakah pihak berkuasa zakat tidak pernah melihat peminta bantuan seperti ini? Amat malang sekali,jika pusat zakat tidak dapat mengesan orang seperti saudara baru ini kerana orang ini meminta bantuan ditempat yang mudah dikesan iaitu di R&R.

Mungkin pusat zakat tidak pernah singgah di R&R.

Atau adakah pusat zakat menganggap orang seperti saudara baru itu menjalankan kerja penipuan atau terdiri dari sendikit bagi mendapat wang yang mudah? 

Jika demikian mengapa tidak disiasat dan diambil tindakan atas dasar menipu. Kita pun tidak mahu orang menipu terutama menipu mendapat bantuan/ menggunakan wang dari sumber zakat atau dari derma yang diberikan oleh orang ramai kepada yayasan tertentu seperti Yapeim.

Saya tidak mengatakan tiada penipuan dalam mendapat bantuan. Tetapi jika pusat zakat uruskan perkara seperti ini iaitu dengan menyiasat dan mendapat maklumat peminta bantuan itu, maka tidak akan terjadi atau berlaku penipuan dalam meminta bantuan sebaliknya pusat zakat akan dapat menentukan sama ada orang itu layak atau tidak layak menerima wang zakat. Bahkan boleh menghindarkan penipuan.

Namun tidak perlu kita  buat sangkaan buruk, sebelum buat kerja untuk mengetahui keadaan sebenar. 

Apa pun, bagi kali ketiga berjumpa saudara baru itu, isteri saya yang beri sedikit wang. Semoga saudara baru itu melakukan yang hak dan akan diberi bantuan bagi mengubati penyakitnya.
  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan