Theflowersellingboy

Khamis, 17 Disember 2015

Terlalu Banyak Masalah Negara Yang Saya Fikirkan Melainkan Bagaimana Nak Jadi PM.




Badan saya cukup letih selepas melakukan rutin harian. Tapi keletihan itu bukan ubat yang mujarrab untuk memudahkan saya tidur walaupun berbaring diatas katil bertilam empok dalam bilik berhawa dingin. Banyak perkara yang difikirkan.

Woii fikir masalah negara ker? Saya tanya. 
 
Sudah tentu, macam-macam masalah yang melanda negara! Saya jawab.
 
Kemudian saya tersenyum kerana dapat menjawab soalan  yang berat. Saya bangga kerana saya mampu menjawab soalan yang ditanya walaupun sendiri tanya sendiri jawab.
 
Tidak seperti seorang kawan saya.
 
Saya teringat, seorang kawan baik , ada kedudukan, yang apabila ditanya berapa usianya lalu dengan cepat dia menjawab dia masih muda lagi, belum tua.
 
Teruk betul kawan saya itu, lain yang ditanya , lain pula yang dia jawab.
 
Saya bukan begitu.
 
Apa masalah negara yang saya fikirkan?
 
Macam-macam. Saya percaya semua orang fikir masalah yang dihadapi negara ketika ini. 
 
Cuma mungkin berbeza dari segi bilangan, kesan pada diri secara emosional, mental dan fizikal.
 
Kesan yang dihadapi itu menzahirkan berbagai reaksi. Ada yang memberitahu kepada kerajaan atau penguasa untuk segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah. 
 
Ada yang memilih untuk berdiam diri, ada pula yang merajuk rasa kesal dan kecewa kerana budi dibalas duri. Mereka ini golongan yang pasif, lebih banyak menyimpan dalam hati. Mungkin dalam hati berkata, 'nantilah, bila sampai masanya....'.

Kelompok berdiam diri ini memberi risiko kepada kesinambungan kerajaan yang ada.  Fikir saya.
 
Ada juga golongan yang redha, senang susah berserah saja kepada Allah. Mereka tidak memberi risiko yang besar kepada kesimbungan kerajaan. Fikir saya lagi.

Dua kelompok paling jelas duduk berdiri mereka. Bersifat agresif, taksub dan kadang-kadang membabi buta, emosi mengatasi rasional, kebencian mengatasi kasih sayang, saling menuding jari buat fitnah mencari kesalahan. Mereka ini totok dan pekat.
 
Dua golongan yang bertentangan ini menganut falsafah membujur lalu, melintang patah.
 
Mereka ini penyokong tegar kerajaan disatu pihak, dan penentang kerajaan yang sebahagian besarnya menyebelahi pembangkang. 

Kedua-dua kelompok ini bersifat dan bertindak agresisf dalam mempertahankan pihak yang disokong. Itu kata saya, setelah berfikir agak lama.
 
Jadi apa masalah negara yang saya fikirkan? 
 
i) Adakah kos sara hidup yang tinggi
ii) GST yang membebankan
iii) Penghapusan berbagai subsidi
iv) Hutang negara yang terlalu tinggi yang mencapai RM 700 billion
v) Salah urus 1MDB seperti yang didakwa banyak pihak dan derma kepada akaun peribadi PM 2.6 billion
vi) Kenaikan bayaran lebuhraya bertol 
vii) Kenaikan tambang pengangkutan

Ya , semua itu saya fikirkan kerana saya juga terkesan secara negatif dan terbeban.

Namun saya juga fikirkan mengapa ada pihak yang juga terkesan dan tahu kedudukan sebenar  yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran tidak mahu bersama-sama mengatasi masalah yang dihadapi. Bahkan mereka mengatakan masalah-masalah itu sengaja diada-adakan sebagai satu pembohongan dan fitnah.
 
Ohh mereka ini adalah pimpinan kerajaan dan penyokong kerajaan. Mereka ada kepentingan iaitu kepentingan untuk kelangsungan. Itu kata hati saya yang disokong oleh fikiran yang rasional.
 
Cara macam itu untuk kelangsungan? Tanya saya. Kelangsungan peribadi atau kerajaan? Saya tanya selepas berfikir.
 
Bukankah dikalangan penyokong ada juga yang mengeluh dan marah?
 
Betul, tapi pimpinan kerajaan melihatnya sebagai golongan yang kecil, kes terpencil.  Fikir saya menelah fikiran kerajaan.
 
Adakah yang menyokong lebih ramai? Tanya saya, setelah berfikir sejenak.
 
Dari apa yang dipertontonkan, kelihatan yang menyokong lebih ramai. Mata saya tidak silap melihatnya. Cuma ada juga sampai ke telinga bahawa tidak kurang juga yang takut untuk bergambar, tunjuk diri.

Lantaklah! 
 
Saya menyerah kalah buat seketika, malas hendak berfikir mengapa jadi sedemikian rupa. Sebab dikalangan pimpinan kerajaan itu bukan calang-calang orang dari segi ilmu, kepakaran dan agamanya. Takkan mereka tidak boleh berfikir, salah benar dan dosa pahala. Untung rugi kepada rakyat dan negara, termasuk diri sendiri. Takkan untung rugi itu diukur dari segi mengumpul harta dan wang tanpa ambil kira bagaimana dan cara mana wang dan harta itu dikumpulkan.
 
Lantaklah!
 
Fikiran saya menjenguk pembangkang pula. Pembangkang dan mereka yang sealiran , bertindak secara agresif termasuk cabar mencabar dalam mahkamah. Ada yang mencabar  untuk berdebat. Berdemonstrasi dan mengadakan berbagai perhimpunan lain dalam bentuk ceramah dan majlis penerangan adalah juga pilihan pembangkang.
 
Saya fikir apa yang dilakukan dan yang diusahakan oleh pembangkang tidak mampu untuk mengambil kerajaan yang ada pada PRU 14. Sebab mereka juga bercakaran dan tidak tahu pendekatan terbaik cara mana untuk memilih satu pakatan yang bersatu. Nampak gaya ada 2 pakatan pembangkang. Atau boleh saya panggil  2 dalam 1 atau 1 dalam 2. Pelik , pening kepala saya fikirkan.  
 
Jadi masalah-masalah yang dihadapi negara ketika ini akan berterusan kerana kerajaan yang sama tidak mudah disingkirkan bahkan akan kekal berterusan. PRU 14 akan datang, kerajaan yang ada tetap menang kerana:
 
i) Pembangkang berangan-angan mahu menang tapi tidak bersatu
 
ii) Kerajaan yang ada tidak menjawab soalan atas isu yang berbangkit. Ertinya kerajaan tidak fokus dan beri keutamaan dalam hal yang dibangkitkan. Lain yang ditanya , lain yang dijawab.
 
Banyak contoh seperti, 
 
a) Mengapa tol lebuh raya naik? 
Kerajaan jawab: Anda semua mesti bangun awal , ikut jalan tiada tol. 
 
b) Mengapa harga ayam naik? 
Jangan makan ayam , makan ikan, dan 
 
c)  Saya tidak guna wang itu untuk kepentingan diri - jawapan kepada soalan benarkah wang itu masuk dalam akaun peribadi anda.
 
Sakit kepala saya dibuatnya. Tidak berbaloi fikirkan jawapan-jawapan seperti itu.
 
Akhirnya setelah berfikir sakan, saya dapat jawapan bagaimana cara untuk berdepan dengan masalah yang dihadapi negara sekarang ini.
 
Bagaimana?
 
Caranya ialah dengan saya jadi Perdana Menteri. Sebab saya akan menjawab apa yang ditanya, tidak seperti kerajaan sekarang. Juga sebab saya tidak buat musuh dengan kerajaan dan juga pembangkang.
 
Hahahaha saya sudah ada jawapan cara untuk menyelesaikan masalah negara, setelah jenuh berfikir.
 
Tapi macam mana boleh jadi PM? Saya tanya.
 
Oh tidak, saya tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan.
 
 
 
 
   
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan