Theflowersellingboy

Khamis, 10 Disember 2015

Engkaulah Yang Aku Cari




Sebagai seorang Islam apa yang perlu kita lakukan?
 
Soalan itu macam senang tapi susah juga hendak memberi jawapan.
 
Sebagai orang Islam apakah yang perlu dilakukan? Otak saya mengulangi soalan itu.

Maka saya menanyakan pada diri sendiri:
 
Adakah saya perlu berjihad, dalam pengertian yang tidak sempit.
 
Tapi saya tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Ianya terlalu umum. 
 
Lagi? Apa yang saya perlu lakukan?
 
Penat juga saya memikirkan apa sebenarnya jawapan yang terbaik dan betul kepada soalan yang mudah itu. Lalu saya mengambil kitab Tafsir Pimpinan Ar Rahman, cuba mencari mana-mana ayat yang dapat membantu saya bagi menjawab soalan itu.
 
Alhamdulillah, saya terjumpa satu ayat dari Surah Ali Imran, ayat 110 yang intipatinya :
 
i) Kita (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah manusia.
 
ii) Sebagai umat yang memberi faedah kepada manusia, kita bertanggungjawab untuk menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran
 
iii) Kita juga mesti menjadi manusia yang beriman kepada Allah.
 
Saya harap ayat 110 dari Surah Ali Imran ini boleh dan telah menjawab soalan diatas.

Dengan beriman kepada Allah, tugas kita sebagai umat terbaik yang dilahirkan untuk faedah manusia ialah menyeru kepada kebaikan dan melarang perkara yang mungkar.

Tapi bagaimana untuk melakukannya?

Setakat menyeru dan melarang orang lain, saya kira ianya tidak memerlukan kekuatan, dan kesabaran yang tinggi walaupun halangan dan rintangannya  banyak juga. 
 
Yang menjadi cabaran dan memerlukan ketahanan dan kesabaran yang tinggi adalah bukan saja menyeru pada diri sendiri untuk melakukan kebaikan, bahkan tunjuk contoh dan teladan dengan melakukannya sendiri.

Dan untuk diri sendiri menghindar diri dari perbuatan yang keji dan mungkar, bukan calang-calang kerja kerana kita berperang dengan nafsu yang bersama dengan iblis dan syaitan.
 
Lihat dalam kehidupan harian kita. Saya adalah diantara orang yang suka dan sentiasa menasihati dan mengajak anak-anak dibawah tanggungjawab saya, dan sesiapa saja yang lain untuk melakukan perkara baik dan memberi faedah kepada manusia. 
 
Adakah nasihat saya itu saya susuli dengan melakukan perkara yang berkaitan nasihat itu atau sebaliknya? Tidak dinafikan, ada masanya tergelincir juga. Kata orang cakap tidak serupa bikin.
 
Misalnya dalam menasihati dan mengajak anak menunaikan solat pada waktunya. Ada masanya saya terlalai, melewati begitu jauh masa yang sepatutnya. Ini adalah contoh yang tidak baik.
 
Satu lagi contoh, saya sebagai ketua sebuah jabatan. Setiap kali mesyuarat pengurusan diadakan, saya menyeru agar warga kerja saya menjaga disiplin kerja dengan baik sedangkan saya sendiri , ada masanya datang bekerja lebih lewat dari waktu yang sepatutnya.
 
Nasihat tidak sejajar dengan apa yang saya lakukan.
 
Maka akibatnya warga kerja jabatan saya itu akan tersenyum dalam hati. Dengan kuasa yang saya ada mereka tidak mampu tersenyum melalui  bibir. Kalau saya nampak, sudah tentu saya marah dan mengambil tindakan keatas sesiapa yang tersenyum dibibir itu kerana saya anggap mereka memperli saya.
 
Jadi seru dan lakukan sendiri perkara-perkara yang baik. Larang dan hindarkan diri sendiri dengan tidak melakukan perkara-perkara tidak baik dan keji.
 
Selain dari melakukan yang baik dan meninggalkan yang tidak baik, saya/anda juga perlu dan wajib menerima nasihat yang baik sekiranya saya/anda, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja telah melakukan perkara yang tidak baik dan merosakkan.
 
Ertinya, nasihat menasihati ini berlaku secara dua hala iaitu diantara saya/anda dengan orang lain dan orang lain terhadap saya/anda, tidak kira saya/anda berkedudukan sebagai ketua keluarga atau ketua sebuah jabatan.
 
Begitulah fahaman saya tentang ayat 110 Surah Ali Imran itu.
    
Soalan seterusnya: Dengan berpandukan ayat 110 ini, bagaimana sikap anda  tentang kedudukan urus tadbir negara. Adakah anda perlu menyeru kepimpinan negara melakukan kebaikan dan memberhentikan jika ada perbuatan yang mungkar.

Dan adakah anda mempunyai keberanian dan tahap kesabaran yang tinggi untuk melakukanya.
 
Bagi saya, belum lagi sampai satu tahap kesabaran dan keberanian untuk melakukannya. Sebab, berdasarkan pengalaman, saya hanya mampu tersenyum dalam hati jika ada kepimpinan yang menyeru kita untuk melakukan kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Saya takut masuk penjara.
 
Dengan yang demikian, saya sedang mencari dan menunggu siapakah gerangan dikalangan anda yang berani serta sabar untuk melakukannya. 
 
Andalah yang saya cari. 
 
Engkaulah Yang Aku Cari.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan