Theflowersellingboy

Isnin, 7 Disember 2015

Siapa Kata Saya Pengecut?



"Saya seorang yang berani,sebab saya percaya saya dipihak yang benar. Berani Kerana Benar. Saya bukan pengecut seperti ramai orang menyangkakan begitu. Mereka itulah yang pengecut. Mereka silap.

Banyak bukti saya boleh ketengahkan , dan orang boleh lihat bukti keberanian saya. Saya bercakap dengan fakta, pembangkang cakap dengan auta".

Mungkin itu yang diperkatakan oleh PM dalam menghadapi kritikan pembangkang tentang ketidakhadiran beliau menjawab sendiri isu-isu yang dibangkitan. 

Namun saya terbaca satu berita, PM menyatakan bahawa pembangkang bercakap auta, sebaliknya dipihak beliau berdasarkan fakta.

Mereka yang suka bercakap auta (bohong, suka kelentong) berbanding dengan yang berfakta adalah orang yang tidak berani. Orang pengecut memang suka kelentong.

Jadi benarkah pembangkang bercakap auta, sekali gus tergolong sebagai pihak yang tidak berani atau pengecut? Dan begitu juga benarkah PM bercakap atas fakta yang benar dan dengan itu menjadikan beliau seorang yang berani kerana orang yang bercakap benar saja yang berani.

Untuk tujuan itu kita ambil satu dua bukti yang dapat menyokong kenyataan PM ini. 

Bukti pertama ialah dalam bentuk berhadapan dengan rakyat dalam sesuatu isu yang dibangkitkan.

Sudah tentu isu yang paling popular  pada masa ini ialah 1MDB dan derma 2.6 billion.

Adakah PM berani berhadapan dengan rakyat?

Pihak pembangkang sudah tentu mengatakan PM tidak berani berhadapan dengan rakyat. 

Keengganan PM untuk menjawab sendiri hal-hal tersebut di parlimen membuatkan pembangkang mengatakan  beliau tiada kekuatan untuk sendiri menjelas serta mempertahankan kritikan pembangkang dan rakyat tentang dua isu itu, 1MDB dan derma 2.6 billion. 

Beliau, sebaliknya mengarahkan Timbalannya untuk menjawab bagi pihaknya.

Tambahan lagi penjelasan yang dibuat oleh TPM di Parlimen bagi pihak PM itu dilakukan dibawah satu peraturan Dewan yang tidak membenarkan penjelasan itu dibahas dan tidak juga perlu dibangkitkan sebarang soalan untuk dijawab.

Keengganan menjelas sendiri isu-isu itu dan menggunakan peratuarn parlimen seperti yang dinyatakan diatas membuatkan pembangkang menjadikan ianya satu fakta yang jelas bahawa PM adalah seorang yang tidak berani berhadapan dengan rakyat. 

Itu kata pembangkang.

Pembangkang dengan segera membandingkan PM dengan Nurul Izzah, ahli Parlimen Bangsar, anak kepada anak Anwar Ibrahim, musuh politik ketat PM, UMNO dan BN dalam hal berani berhadapan dengan rakyat.

Kebetulan ahli parlimen Bangsar ini ada usul dibawa oleh BN untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen berkaitan dengan tindakan beliau bergambar dengan anak perempuan pemimpin Sulu yang menuntut Sabah, dan yang juga terlibat dalam serangan di Lahad Datu. Setengah dari pemimpin kerajaan mengatakan beliau derhaka kepada negara.

Kepada pembangkang dan mereka yang menyokong ahli parlimen itu, tuduhan seperti diatas itu amat berat, dan tidak perlu diheret untuk berhadapan dengan Jawatankuasa Parlimen itu.

Namun begitu, Nurul Izzah, bersedia untuk memberikan penjelasan di Parlimen tentang sessi bergambar itu. Lalu berucaplah Nurul Izzah sendiri di Parlimen.

Nurul Izzah di tuduh. Dan beliau sendiri memberi penjelasan. Dia tidak pula meminta Ketua Pembangkang , secara kebetulan ibunya atau ahli parlimen pembangkang yang lain untuk menjelaskan peristiwa bergambar itu. 

Itu adalah satu tindakan yang sewajarnya kerana beliau sendiri yang terlibat.

Bagaimana dengan PM kita?

Dalam kes 'derma' 2.6 billion yang masuk dalam akaun peribadi PM, ianya berbeza seperti yang dilakukan oleh Nurul Izzah. Orang lain pula yang berdiri dan menjawab kes itu. Itupun dalam tempoh lebih kurang 3 minit atas alasan subjudis.
Adakah bererti jika perkara itu tidak subjudis, PM sendiri akan menjawab? 

Banyak orang  percaya subjudis bukan alasannya mengapa PM sendiri tidak berani berhadapan dengan rakyat. Sebab, alasan itu tidak betul kerana tiada apa yang subjudisnya, kerana belum menjadi perbicaraan mahkamah.

Tapi adakah itu bermakna PM takut? Belum tentu lagi. Cuba lihat kes-kes yang lain.

Sebelum PRU 13, bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan PR pernah mengajak DS Najib mengadakan sessi berbahas untuk masing-masing menerangkan kepada rakyat dasar-dasar dan apa saja yang baik untuk rakyat untuk memberi peluang kepada rakyat parti mana yang perlu disokong bagi meneraju kerajaan selepas PRU 13.

Apa jawab DS Najib yang dipersetujui oleh UMNO/BN?

Jawapan yang diberi: Berbahas bukan budaya Malaysia.
Macam mana? Sendiri boleh fikir.

Berdasarkan apa yang dinayatakan diatas bolehkah kita buat kesimpulan bahawa PM kita ini iaitu DS Najib tidak berani berhadapan dengan rakyat? 

Bagi saya tidak semua kes, PM takut berhadapan dengan rakyat. Banyak contoh boleh dikemukakan antaranya:

i) mengenakan GST yang sangat tidak disukai oleh rakyat.
ii) menghapus/mengurang berbagai subsidi seperti minyak, gula , beras murah, dan beberapa barang/perkhidmatan yang amat  perlu seperti bil letrik yang juga menyusahkan rakyat.
iii) bersetuju menaikkan tol bagi lebuh raya bertol yang mana telah dijanjikan tidak akan dinaikkan  semasa meraih undi PRU 13. Rakyat amat tertindas tapi beliau berani lakukan.
iv) peruntukan biasiswa ditiadakan/dikurangkan.
v) membenarkan kenaikan tambang pengangkutan.
vi) dan lain-lain......yang menyusahkan rakyat

Dengan kos sara hidup yang meningkat, membebankan kehidupan rakyat, kelihatan PM tidak ada sedikitpun ketakutan untuk melakukan perkara-perkara yang menyusahkan rakyat. Sesungguhnya PM adalah seorang yang berani.

Walaupun berbagai pihak , ahli UMNO/BN dan pembangkang serta rakyat biasa mendesak PM meletak jawatan atas sebab-sebab yang menyusahkan pihak-pihak berkenaan dan negara, tapi PM nampaknya boleh menampilkan wajah 'tenang' (meminjam kata-kata Hishamuddin, menteri pertahanan) dalam menghadapi desakan itu. Kerana apa? 

Mungkin PM dan penyokongnya menjawab: Tenang kerana Benar.

Oleh itu tidak tepat untuk mengatakan PM seorang yang penakut. Jika beliau penakut beliau tidak akan melakukan perkara-perkara yang dimenyusahkan rakyat seperti GST. 

Beliau berani mengambil risiko politik yang tinggi dalam berhadapan dengan rakyat bagi PRU 14 yang akan datang. Sewajarnya kita mengucapkan syabas kepada beliau atas sifat berani PM itu jika kita bersetuju apa yang PM lakukan itu selaras dengan kata-kata 'Berani Kerana Benar'. 

Jika beliau seorang penakut, beliau tidak akan berani untuk menyuruh menteri yang lain atau sesiapa saja untuk bercakap/mewakili bagi pihaknya. Hanya orang yang berani mampu memerintah orang lain melakukan apa yang disuruh.

Jadi bolehkan PM bertanya: Siapa Kata Saya Pengecut?

Hanya Allah saja yang maha mengetahui.


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan