Theflowersellingboy

Rabu, 16 Disember 2015

Salahkah Mencuri Bagi Maksud Yang Baik?




Jika tujuan kita baik, suci murni, salahkan kita mencuri atau mengambil hak orang lain misalnya?

Saya menjangkakan jawapan dari mereka yang mengatakan 'ya' mengatasi yang mengatakan 'tidak'. Atau mungkin semua orang dengan tegas mengatakan 'ya' dan kosong mengatakan 'tidak'.

Ertinya mencuri atau mengambil hak  orang lain adalah salah walaupun bagi sesuatu tujuan yang baik, suci lagi murni. Setakat yang saya tahu, dalam mana-mana budaya dan agama , mencuri adalah dilarang. Islam meghukumnya sebagai berdosa.

Dan saya percaya sebahagian besar atau kesemua orang tidak bersetuju dengan Robin Hood yang diceritakan mengambil harta orang kaya untuk diagih-agihkan kepada orang miskin, kerana perbuatan itu adalah salah walaupun niatnya kelihatan baik.  

Begitulah reaksi kita dalam menjawab soalan diatas. Bahawa kita hendakkan yang baik, bahawa kita menentang mereka yang mencuri atau mengambil hak orang lain.

Tapi bagaimana keadaan memaksa kita untuk melakukan pencurian demi satu tujuan yang baik setelah tidak ada langsung ruang dan peluang bagi mencapai maksud/tujuan yang baik itu.

Salahkah kita mencuri? Jika anda terus mengatakan salah, cuba anda jadi seperti cerita dibawah ini.

Katakan anda seorang pelajar yang bercita-cita untuk maju dan meningkat tahap pelajaran anda. Anda dari keluarga yang miskin. Tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak. Dan saudara mara anda juga miskin dan ada yang lebih teruk dari anda.

Anda perlu menduduki satu peperiksaan bagi membolehkan anda meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi. Dan anda perlu membayar wang bagi menduduki peperiksaan itu. Tapi anda tiada wang.

Macam mana? Perlukah anda meminta sedekah? Ya, anda boleh lakukannya tapi persekitaran anda terdiri dari sebahagian besar orang miskin juga. Jangan cakap bantuan biasiswa atau pertolongan dari pihak tertentu seperti kerajaan atau orang kaya. Tiada siapa yang mahu tolong anda. Tiada siapa dan mana-mana pihak yang prihatin terhadap keperluan anda.

Yang ada ialah ladang getah tauke-tauke besar , yang mana anda fikir boleh memberi sumber bagi mendapatkan wang. 

Bukan bermakna anda pekerja ladang getah itu. Tapi anda tahu bagaimana cara untuk mendapat wang dari ladang getah itu.

Anda boleh mencuri sekerap dan menorih curi pokok getah itu untuk mengumpul susu getah dan dibekukan. Kerja ini anda lakukan sehingga anda mendapat wang yang cukup hasil dari jualan hasil getah yang dicuri itu.

Dengan wang itu anda bayar wang masuk peperiksaan itu. Ditakdirkan anda berjaya dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik.

Anda berjaya dengan bantuan kerja mencuri walaupun tujuan anda adalah baik. Salahkah anda mencuri?

Saya mengatakan bahawa kerja mencuri adalah salah. 

Saya juga mengatakan bahawa mereka yang kaya raya, yang berkemampuan dan yang telah diberikan amanah untuk melahirkan satu kehidupan sosial yang adil lebih bersalah dan wajar dihukum dengan hukuman yang berat.

Antara mereka yang patut dihukum ialah:

i) Orang kaya yang lari dari bayaran cukai pendapatan
ii) Orang Islam yang tidak membayar zakat sedangkan pendapatan/harta mereka telah mewajibkan mereka untuk membayar zakat.
iii) Kerajaan/pihak berkuasa yang tidak memberikan bantuan atau tidak melaksanakan apa-apa skim bantuan atau tidak mengadakan dasar pelajaran percuma dan dalam masa yang sama melakukan pembaziran dan menyalahgunakan wang dan rasuah.
iv) Mereka yang terus menyokong kerajaan atau pihak berkuasa yang mengabaikan/tidak memberikan keutamaan kepada keadilan sosial. 

Jadi, jangan saja menghukum sipencuri, apatah lagi dia mencuri bagi tujuan yang baik seperti cerita diatas.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan