Theflowersellingboy

Sabtu, 12 Disember 2015

Apa Yang Saya Mahu Dalam Sebuah Kehidupan




Apakah yang saya hendak dalam sebuah kehidupan?
 
Soalan seperti itu selalu juga saya tanya pada diri sendiri. 
 
Sudah tentu saya mahu hidup senang dan selesa. Antara jawapan yang pernah saya fikirkan.
 
Kemudian saya bertanya, apa itu hidup senang dan selesa? Tahap kehidupan yang macam mana dikatakan hidup senang dan selesa? Adakah diukur dari segi pendapatan, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan atau bagaimana? Diukur atau dibandingkan dengan siapa?
 
Tiada jawapan. Ada saja pertanyaan setiap kali saya memberi jawapan. Sampai matipun saya tidak akan berjumpa dengan jawapan kepada persoalan itu: Apa yang saya mahu dalam sebuah kehidupan.
 
Kerana apa yang saya mahu, tiada perhentian. Sudah dapat yang ini, saya hendak pula yang itu. Sudah dapat yang itu, saya lihat pula berapa banyak orang lain yang dapat lebih dari saya  misalnya saya ada kereta, orang lainpun ada kereta, kereta jenama mewah seperti porche sedangkan saya memiliki kancil.
 
Lalu saya teringat akan doa kepada Allah yang kerap dipohon dan diharapkan: Ya Allah kurniakan kepada aku kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.
 
Oh, inilah sepatutnya yang saya mahukan dalam sebuah kehidupan. Mendapat kebaikan semasa hidup di dunia dan semasa dihidupkan di akhirat. Sekecil mana atau sebesar mana kebaikan, tidak perlu dipersoalkan.
 
Lalu bagaimana pula untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat? 
 
Adakah saya perlu dan sentiasa mengharap dan memohon keampunan dari Allah, semasa hidup di dunia?
 
Dan menghajatkan/mengharapkan  kehidupan di syurga, di akhirat nanti?
 
Tapi bagaimana untuk mendapat belas ikhsan dan keampunan dari Allah di dunia ini? Bagaimana pula untuk  dapat syurga Allah di akhirat?
 
Bertalian soalan yang datang yang mahukan jawapan.
 
Saya yakin jawapan itu ada dinyatakan dalam al-Quran. 

Maka saya merujuk ayat-ayat al-Quran, khususnya ayat-ayat yang ada terjemahan dan tafsiran. Alhamdulillah, saya yakin saya telah menjumpai ayat-ayat yang demikian. Mohon keampunan Allah jika ada kesilapan dipihak saya.
 
Dalam Surah Ali Imran, ayat 133, 134, 135 dan 136 menjelaskan apakah sifat-sifat orang-orang yang mendapat keampuanan dari Allah dan disediakan syurga di akhirat. Orang-orang yang mendapat keampunan dari Allah adalah terdiri dari mereka yang:
 
i) membelanjakan dengan menderma harta diwaktu senang dan susah.
ii) menahan kemarahan
iii) memaafkan orang lain
iv) segera ingat kepada Allah setelah melakukan kesalahan/perbuatan keji dan mohon ampun
v) tidak meneruskan perbuatan keji/yang dilarang.
 
Maka balasan orang yang bersifat demikian ialah keampunan dari Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa buah sungai.
 
Alangkah bahagianya kehidupan di dunia dan di akhirat. Itulah yang saya mahu, yang kita semua mahu.
 
Sudah tentu kita melakukan perkara dari i) hingga v) diatas dengan sebab kita taat kepada Allah dan Rasulnya seperti yang diperintahkan dalam ayat 132 surah yang sama.`

Ok , saya telah ketemu apa yang saya mahu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat iaitu keampunan dan syurga Allah.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan