Theflowersellingboy

Selasa, 29 Disember 2015

KOS SARA HIDUP YANG MEMBEBANKAN: Jangan Marah Kepada Mereka, Sebab Kita Juga Bersubahat Dengan Mereka.




Sudah hampir seminggu tidak berkomunikasi melalui blog ini. Laptop buat hal. Semalam ke kedai komputer , hendak tahu apa problem laptop tua ni.

"Abang , dia punya adapter rosaklah", beritahu peniaga Cina kedai komputer itu.

Jadi terpaksa beli adapter yang baru. Kena RM120.00. 

Sebelum buat keputusan beli adapter baru, ada juga angan-angan nak beli laptop yang baru. Setelah diberitahu oleh peniaga tadi bahawa harga paling murah kurang lebih RM1,200.00, matilah angan-angan itu secara otomatik. Lalu bersetuju beli adapter. Laptop tua masih lagi terpaksa menyambung khidmatnya.

"Nak mampus. Nak makan batu dan pasir",jerit hati yang tidak bersuara yang memberhentikan angan-angan nak beli laptop baru.

Begitulah keluhan saya. Begitulah juga keluhan ramai orang. Tapi keluhan kita berbeza. 

Keluhan saya dan keluhan mereka yang tiada kerja, atau yang telah diberhentikan kerja, atau yang pendapatan hanya mampu makan seadanya, yang miskin dan papa kedana adalah amat berbeza sekali.

Saya mengeluh kerana tidak mampu membeli laptop baru tapi mampu membeli adapter. Bagaimana orang-orang yang disebutkan tadi?

Mereka diatas tu, nak makan pun susah. Nak beli adapter atau komputer? 

Mereka tidak pernah bermimpi atau berangan-angan bagi item mewah tapi perlu dalam zaman serba mencabar ini. Mereka perlu isu perut terlebih dahulu termasuk perut dibawah tanggungan mereka, ala kadar saja.

Namun begitu antara saya dan mereka ada satu persamaan. Mereka mengeluh dan saya mengeluh atas bebanan kos sara hidup yang tinggi. Harga barang dan perkhidmatan yang meningkat semacam tidak tahu untuk berhenti.

Sebab itu saya mengeluh. Sebab itu mereka mengeluh. Cuma saya mempunyai pilihan lebih baik dari mereka. 

Saya buat penyesuaian dengan mengubah cara hidup iaitu dari membeli laptop baru kepada hanya tukar adapter dan gunakan laptop yang terlalu tua usianya. Tak mengapa.

Mereka tiada pilihan. Tiada langsung ruang pilihan untuk menghadapi beban kos sara hidup yang tinggi.

Jadi keluhan mereka amat mengharukan hati. Keluhan saya pula adalah terbit dari pertanyaan 'mengapa dalam sebuah negara yang kaya, kita terpaksa menghadapi kehidupan yang amat menyempitkan'?

Saya faham tidak semua orang yang mengeluh dengan kos sara hidup yang tinggi ini. Tidak ada keluh kesah bagi mereka. 

Dan dengan sebab itu ada diantara mereka yang memberi nasihat dan saranan kepada yang keluh kesah ini agar berusaha lebih bagi menambah pendapatan dan menjimatkan kos belanja hidup dengan cara: 

i) tanam sayur/bela ternakan sendiri

ii) tukar selera makan dari ayam ke ikan/daging jika harga ayam mahal atau sebaliknya. 

iii) bangun awal bagi mengelak kesesakan lalulintas ke tempat bekerja dan ikut jalan tidak bertol.

iv) tinggalkan bandar yang kos hidupnya tinggi dan balik kampong tanam jagung.

Dan dua tiga hari yang lepas ini telah dimasyurkan dan menjadi viral saranan agar orang yang keliuh kesah kenaikan kos sara hidup itu bekerja lebih dari satu kerja, dan jangka masa kerja ditambah dari sebelumnya.

Siapa mereka yang buat saranan-saranan diatas?

Sebelum menjawab siapa mereka itu, biarlah kita mengambil sikap bahawa saranan mereka atas niat yang baik. Mencadangkan menambah pendapatan dan menjimatkan perbelanjaan tidak wajar dimasukkan ke dalam kategori berniat jahat. Apatah lagi yang buat cadangan itu bukan calang-calang orang dan kedudukan mereka. Mereka adalah pemegang amanah untuk memberi perkhidmatan bagi kemakmuran negara dan kesenangan hidup rakyat.

Mereka itu adalah menteri. Paling rendah kedudukan mereka adalah sebagai timbalan menteri.

Sebab itu perlu apa mereka mengeluh dengan kenaikan kos sara hidup. 

Subsidi minyak hapus, tidak memberi kesan kepada mereka. Harga kereta naik, tak ada hal. Khidmat penyelenggaraan kereta naik dan harga alat ganti naik, tambah-tambah dengan GST, mereka tidak ambil 'pot'. Harga makanan dan pakaian naik, tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Sebab, sebahagian besar kehidupan mereka termasuk berhibur dan bercuti adalah ditanggung oleh kekayaan negara. 

Jangan tanya mengapa? Sebab itu upah mereka sebagai menteri dan timbalan menteri.

Yang kita mesti dan wajib tanya, 'mengapa hidup sebahagian besar rakyat terlalu terbeban dan jurang agihan sumber negara kita yang kaya ini terlalu amat besar diantara kita dan mereka'?

Ertinya kita telah meragui keikhlasan mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang telah kita amanahkan kepada mereka.

Sebab itulah jalan mudah yang mereka ambil sebagai tanda kononnya mereka ikhlas memberi khidmat ialah dengan membuat cadangan-cadangan seperti diatas yang semua orang mudah faham, tapi tidak menyelesaikan masalah. Dan bukan juga saranan yang kita mahu sesuai dengan tanggungjawab sebagai menteri/timbalan menteri.

Cadangan-cadangan yang mereka buat itu, ada kemungkinan berasaskan kepercayaan mereka bahawa itulah yang kita mampu faham sebab kita tidak punya kemampuan untuk berfikir selain dari itu. Mereka anggap kita 'bodoh'.

Jangan marah jika itu yang ada dalam otak kepala menteri/timbalan menteri itu terhadap kemampuan berfikir kita. Sebab, mereka ada terlalu banyak bukti tentang kebodohan kita dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya.

Semenjak merdeka, iaitu dari dulu sehingga sekarang, kita menjadikan mereka sebagai kerajaan memerintah negara ini. Pada hal berbagai kerosakan yang telah dan sedang dilakukan terpampang dimata kita, dan kita sendiri telah merasakan perit derita yang menimpa kita.

Akan datang saya khuatir pada PRU 14, kita akan melakukan perkara yang sama. Kemudian kita maki hamun, marah tak tentu arah. Jika itu berlaku, sahlah bahawa kita ini BODOH. 
Jangan marah kerosakan yang mereka lakukan kerana kita juga bersubahat dengan mereka.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan