Theflowersellingboy

Isnin, 30 November 2015

Tunggakan Kerja



Perkara yang tidak disukai oleh banyak orang ialah tunggakan kerja terutama jika tunggakan kerja itu memberi kesan kepada mereka yang mahukan sesuatu keputusan diberitahu pada masa yang diharapkan, misalnya keputusan dalam sesuatu tender atau kelulusan projek.

Saya berani mengatakan bahawa tunggakan kerja adalah satu hal yang tidak dapat dielakkan walaupun dengan penggunaan peralatan dan teknologi canggih , dan diuruskan oleh mereka yang mahir dan berkepakaran dalam apa bidang sekalipun. 

Kita tidak mampu untuk menghasilkan tunggakan sifar khususnya bagi jabatan-jabatan kerajaan dan organisasi yang lain. Kita terpaksa melalui dan menghadapi berbagai celahan (saya suka menggunakan perkataan celahan berbanding dengan gangguan kerana perkataan gangguan itu bersifat negatif sebaliknya celahan ada negatif dan positifnya).

Matlamat sesuatu jabatan dan organisasi tidak boleh dicapai tanpa dikaitkan dengan dinamik organisasi atau elemen-elemen luar organisasi itu. Bahkan elemen-elemen dalaman juga boleh menjadi celahan sehingga ada masanya boleh memberi kesan kepada pencapaian matlamat organisasi dari segi tempoh dan mutu hasilannya.

Jadi tunggakan kerja itu wajar diambil kira dalam merancang dan menjadualkan kerja, termasuk dalam mengadakan bilangan tenaga kerja yang diperlukan. Walaupun nampaknya seolah-olah kita mengizinkan penangguhan kerja, sebenarnya itulah cara yang praktikal dalam menghadapi dan melaksanakan sesuatu tugas. 

Jika kita berterusan tidak mengambil kira faktor tunggakan, selamanya kita akan memberi ruang kepada longgokan tunggakan kerja dari masa ke semasa.

Jabatan-jabatan kerajaan secara am akan menggunakan kaedah kerja lebih masa bagi melakukan kerja yang tertunggak itu, yang mana ianya tergelincir dari segi matlamat kerja lebih masa. 

Kerja lebih masa adalah diperlukan untuk melakukan kerja semasa yang tidak dapat disempurnakan pada tempoh biasa, yang tempohnya terpaksa dipanjangkan.
 
Kerja tertunggak pula adalah kerja yang tidak dapat disempurnakan disebabkan celahan-celahan kerja misalnya kerja yang ada kaitan dengan jabatan-jabatan lain atau kegagalan mana-mana pihak yang bersangkutan dalam memberikan input-input tertentu bagi membolehkan kerja itu dapat disempurnakan. Atau ada perubahan dari segi prosedur, cara kerja, undang-undang dan berbagai dianmik sesebuah organisasi.

Ertinya kerja tertunggak tidak dapat dielakkan. Elemen kerja tertunggak ini wajar diambil kira dalam perancangan bagi tenaga kerja. 

Tunggakan kerja adalah satu realiti dan mesti berani dihadapi. Tidak ada gunanya kita menghebuhkan tunggakan kerja yang berlaku sekarang ini jika elemen itu tidak diambil kira dalam merancang dan mendapatkan tenaga kerja.

Tapi ianya tidak bemakna kita mengalakkan kerja bertunggak.

 

 

 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan