Theflowersellingboy

Jumaat, 11 Disember 2015

Bohong Bistari atau Bohong Bodoh.




Siakap senohong 
gelama ikan duri 
bercakap bohong
biarlah bohong bistari 
 
Seingatan saya, termasuk paparan kali ini sudah dua kali saya ulangpapar pantun dua kerat Melayu lama itu.  Tetapi kali ini ada sedikit kelainan. Kata orang, pantun lama dengan nafas baru.
 
Namun, cerita yang hendak disampaikan juga sama iaitu tentang orang yang suka bercakap bohong. Orang yang suka bercakap bohong ini, lambat laun akan tetap diketahui pembohongannya, tidak kira apa kedudukan atau status orang itu. 
 
Orang kecil, misikin papa kena, orang kaya, hartawan bertimbun harta, hamba sahaya, pengawal keselamatan, pegawai tinggi kerajaan, orang awam dan para pembesar negeri dan negara, hulubalang dan para menteri, kalau tabiatnya suka berbohong maka berbohonglah dia.
 
Dulu berbohong, sekarang berbohong , esok lusa dan akan datang berbohong lagi. Bukan saja buat bohong perkara yang baru, perkara yang sama dia tetap berbohong juga.
 
Bagi masyarakat Melayu lama, perbuatan suka berbohong ini sangat dibenci dan dimusuhi sehingga menjatuhkan hukuman bahawa orang suka berbohong itu akan menjadi pencuri.

Bercakap bohong
Lama-lama jadi pencuri.
 
Begitu marahnya masyarakat Melayu dulu keatas orang yang suka berbohong. Melayu sekarang  sudah berubah, sudah ada transformasi.. 
 
Walaupun Melayu sekarang sentiasa berbangga dengan Islamnya, tapi menurut perkembangan muktahir ini, sebahagian orang Melayu sudah tidak lagi ambil kisah tentang perbuatan bercakap bohong ini. Maksudnya,  mereka tahu seseorang itu bercakap bohong, tapi dibiarkannya saja orang itu bergelumang dengan pembohongan . 
 
Bahkan amat malang sekali, ada yang sanggup mempertahankan perbuatan orang yang bercakap bohong dengan dianya juga bercakap bohong.

Mereka tidak sedar bahawa pembohongan ini memerlukan pembohongan yang lain bagi menjustifikasikan pembohongan yang lepas. Ertinya sekali berbohong, tetap berbohong.
 
Lama-lama jadi pencuri.
 
Ertinya untuk menjadi pencuri dan perbuatan yang sejenis dengannya iaitu menjadi perompak, lanun, penyamun, penyangak, pemeras ugut, dan berbagai perlakuan tidak senonoh termasuk jenayah, seseorang itu bermula dengan bercakap bohong.
 
Dijadikan cakap bohong itu sebagai cara hidup sehingga jadilah dia seorang pencuri dan yang sejenis dengannya. 
 
Misalnya dia didapati memiliki wang terlalu banyak yang jika dikira dari segi pendapatan dan harta yang ada, tidak mungkin dia akan mempunyai sejumlah wang yang besar itu. 
 
Apabila  diketahui kedudukan seperti itu, lalu apabila ditanya dia akan menjawab perkara itu adalah fitnah sebagai jalan untuk mendiamkan orang yang bertanya. Apabila dikatakan sebagai fitnah, maka telah terkait dengan hukum dosa pahala kerana fitnah amat terlarang dalam Islam.

Namun begitu apabila telah dapat dibuktikan bahawa ianya perkara yang benar dan bukan fitnah maka segera orang itu mempertahankan bahawa dia mempunyai harta warisan yang banyak.

Alasan ini juga memerangkap  diri orang itu kerana ianya tidak benar.
 
Kerana terdesak dan mahu segera menafikan wang itu dari sumber yang tidak sah maka dikatakan ada seorang sahabat baik telah memberikan kepadanya. 
 
Tapi dia lupa jumlah wang yang dimilikkinya itu adalah terlalu besar, diluar dari kemampuan sahabatnya itu, diukur dari segi keakraban dan kasih sayang dalam sebuah persahabatan mahupun keikhlasan seseorang untuk memberikan wang sebanyak itu. 
 
Orang yang berfikiran rasional sudah tentu tidak mempercayainya.
 
Dia terperangkap lagi dengan bohong yang dibuatnya itu. 
 
Maka dikatakannya pula yang memberikan wang itu bukan calang-calang orang, pemimpin sebuah negara, misalnya. Kemudian, jika ada kesangsian maka dikatakan pula bahawa yang memberi wang itu bukan seorang, ramai, secara jemaah.
 
Renungkan. Anda boleh berbuat demikian? Saya yakin anda tidak mampu kerana anda takut melakukan dosa. Anda menyimpan rasa malu pada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan rasa bersalah pada agama. Dan muka anda tidak selamba. 
 
Orang yang suka berbohong itu, selamba saja mukanya.  Ada orang kata macam muka sadin. Ada yang kata muka orang itu terlalu tebal, tidak ada sedikitpun rasa malu walaupun sudah jelas lagi nyata, yang telah dilihat dan didengari oleh banyak orang bahawa dia telah banyak kali berbohong bagi perkara yang sama.

Gamaknya, orang yang suka berbohong ini, yang sudah tentu ada otak, tidak mahu berfikir atau tidak sedikitpun boleh berfikir bahawa orang lain juga ada otak. Dia mahu samakan otak suka berbohongnya dengan otak orang lain yang dianggap juga suka berbohong, pada hal mereka itu benci kepada perbuatan berbohong itu.
 
Adakah orang yang suka berbohong ini orang bodoh? Jika demikian untuk lain kali, pada masa depan, disarankan agar mereka yang suka berbohong itu melakukan pembohongan secara bistari seperti kata pantun diatas yang sekali lagi diturunkan dibawah ini:
 
Siakap senohong
Gelama ikan duri
bercakap bohong
biarlah bohong  bistari.
 
Apa itu bohong bistari?  Adakah bohong yang dilakukan oleh dewa dewi. Entahlah anda carilah sendiri maknanya atau reka definasi sendiri.

Apa pun jangan sekali-kali mulakan berbohong sama ada bohong bodoh mahupun bohong bistari kerana akhirnya yang berbohong itu sendiri akan memberitahu yang dia adalah seorang pembohong. 
 
Selamba saja muka dia. Maksudnya muka orang yang suka cakap bohong.

Anda tidak percaya? Tidak mengapa. Tapi jangan buat bohong.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan