Theflowersellingboy

Ahad, 13 Disember 2015

Jangan Biarkan Budaya Yang Tercemar Menghancurkan Kelansungan Sebuah Negara Bangsa




Kos sara hidup yang meningkat dan macam-macam isu yang menjadi beban kepada rakyat dan negara seperti GST, penghapusan berbagai subsidi, kenaikan tol lebuhraya, 1MDB hutang negara yang terlalu besar (melebihi RM 700 billion) dan derma 2.6 billion yang masuk dalam akaun peribadi DS Najib, tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya DS Najib meletak jawatan secara sukarela mahupun atas tekanan yang sah dari segi undang-undang dari berbagai pihak. 
 
Kemelut yang menyelubungi rakyat dan negara ini , tidak semudah itu dapat durus dan diselesaikan. Air sudah berada pada paras hidung, begitulah perumpamaan yang sesuai dalam melihat kedudukan negara sekarang ini. Sedikit lagi paras air meningkat, ianya masuk ke lubang hidung yang akhirnya membuatkan kita susah bernafas, menjadi lemas dan mati.
 
Kalau penyingkiran Najib bukan cara terbaik untuk mengatasi masalah rakyat dan negara yang dihadapi sekarang ini, apa jalan keluar yang terbaik? Pendeknya,  apa masalah kita sebenarnya?
 
Masalah kita bukan sumber kekayaan sama ada sumber insannya mahupun sumber hasil mahsulnya. Mala petaka alam pun jarang menimpa. 
 
Alhamdulillah , bertuahnya negara kita.
 
Masalah kita adalah masalah budaya yang telah tercemar (corrupted and polluted culture). Budaya yang tercemar itu telah dan terus berkekalan menguasai setiap kehidupan diri mereka yang diberi tanggungjawab untuk mengurustadbir segala sumber kekayaan negara, dari segi orangnya dan hasil mahsulnya.  

Apa itu budaya yang tercemar?
 
Budaya adalah cara hidup, cara dalam menjalani kehidupan yang berasaskan kepada norma-norma dan peraturan yang diterima ramai bagi kelangsungan sebuah kehidupan bermasyarakat/suatu bangsa/negara.
 
Rosak budaya, rosaklah pengamalnya. Tercemar budaya tercemarlah pengamalnya. Pincanglah dan bantutlah kelansungan pengamalnya sehingga boleh jadi pupus pada masa jangka panjang.
 
Ertinya budaya adalah untuk kelangsungan bukan kepupusan. Mana-mana elemen yang boleh membawa kepupusan, elemen itulah yang mencemarkan sesuatu budaya. Dan jika elemen seperti itu kekal berakar umbi dan bercambah, ianya amat rumit untuk disekat. Keadaan menjadi kritikal apabila budaya yang tercemar itu dipertahankan oleh yang berkepentingan dengan apa saja cara.
 
Jadi masalah yang menyelubungi negara adalah berpunca dari amalan/perlakuan budaya yang tercemar ini dikalangan pihak penguasa, mereka yang diberi tanggungjawab mengurustadbir segala sumber negara yang ada.
 
Sumber kekayaan kita itu melimpah ruah. Kita negara kaya, rakyat miskin. Miskin dalam kemakmuran kerana telah disalahurus..
 
Bertambah malang lagi apabila budaya yang tercemar ini telah diterima oleh sebahagian rakyat, sama ada secara terpaksa disebabkan faktor kemiskinan, kurang maklumat dan pendidikan/pengetahuan, mahupun dipaksakan bagi tujuan atau atas kepentingan tertentu. 
 
Ya, terlalu banyak yang telah tercemar dalam budaya kita. Yang bercakap benar, boleh dihukum. Yang melakukan kerosakan, mencuri dan menyalahgunakan kekayaan negara, dipertahan dan diangkat. Pendek kata yang hak menjadi lemah dan yang batil berleluasa, bermaharaja lela, diamalkan dan dipertahankan.
 
Ianya sudah jadi budaya. Budaya tercemar ini amat subur dalam kepimpinan parti yang menerajui kerajaan yang ada sekarang ini dengan mendapat sokongan sebahagian besar ahli.
 
Jadi mendesak DS Najib meletak jawatan, tidak akan dapat menyelesaikan kemelut negara yang kita hadapi. Ibarat kanser, kanser yang ada dalam budaya kerajaan sekarang adalah kanser malignant, serangan tahap empat. 
 
Hanya dengan menghapuskan budaya tercemar ini, negara boleh diselamatkan.
 
Biarlah entity yang mengamalkan budaya tercemar itu pupus dari membiarkan kesinambungan sebuah negara bangsa hancur binasa.

 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan