Theflowersellingboy

Rabu, 2 Disember 2015

Rasa Rinduku.




Sudah berapa lama Anwar dalam penjara? 
 
Rasanya sudah lama juga jika menurut ukuran rasa rindukan seseorang yang bersedia melepaskan hidup bebas dan mewah demi sebuah pengorbanan. Itulah ukuran yang saya gunakan. 
 
Perasaan saya ini pelik juga. Mengapa saya rindukannya sedangkan saya mengenali beliau sama seperti saya mengenali pemimpin-pemimpin yang lain seperti DS Najib. Kenal dari jarak jauh atas dasar mereka itu pemimpin. Itu saja.
 
Anwar juga langsung tidak pernah mengenali saya. Berjabat tangan, jauh sekali. Cuma, saya berpeluang pandang wajahnya dalam sebuah perasmian projek rumah kos rendah semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Itulah jarak paling dekat saya dapat melihat wajahnya. Dan saya juga bukan ahli gerakan/partinya dan tidak pernah hadir bersama, berhimpun dalam gerakan reformasinya.
 
Dan saya tidak pernah turut serta hadir dalam kempen politiknya seperti juga dengan kempen politik parti-parti yang lain. 
 
Adakah saya tidak percaya kepada perlunya parti politik dalam pembentukan sebuah kerajaan? Meleset sekali jika itu yang disangkakan terhadap saya. Parti politik adalah penting dan perlu. Matlamat sesebuah parti politik untuk meneraju sesebuah kerajaan dan seterusnya memberi khidmat kepada rakyat sudah cukup untuk menjadi alasan bahawa parti politik itu amat diperlukan.
 
Tapi, untuk berpolitik saya mesti berkorban dan  sanggup dikorbankan. Berkorban dalam pengertian berkhidmat dengan sebaik mungkin, saya sanggup melakukannya. Sebaliknya saya tidak ada keberanian dan kekuatan untuk dikorbankan atau menjadi mangsa politik. Bukan bermakna saya tidak berani menerima kekalahan dalam persaingan. Kalah dan menang adalah perkara biasa. Tak ada hal.
 
Saya tidak berani untuk terkorban seperti Anwar Ibrahim. Jika saya ditakdirkan dalam kedudukan Anwar dulu, ketika mana diugut meletak jawatan, saya tanpa berfikir panjang akan meletakkan jawatan walaupun saya dipihak yang benar. 
 
Mengapa saya perlu melawan sedangkan saya tahu politik itu adalah kuasa. Sesiapa yang berkuasa, dialah yang boleh memakna atau memberi definasi  atas  sesuatu tindakan, dan yang lain perlu akur dan menerimanya, bahkan ramai yang menyokong apa yang telah dimaknakan.
 
Tidak penting soal yang benar dan yang batil. Dengan kuasa politik yang ada, apatah lagi sebagai ketua tertinggi kerajaan, kuasa yang dimilikkinya boleh buat menurut apa yang dia mahu, asalkan kedudukan kuasa politiknya kekal, bahkan bertambah, sehingga menjadi gerun kepada sesiapa yang mahu menentangnya.
 
Jadi tindakan Anwar melawan orang berkuasa itu adalah satu tindakan yang tidak kena, menurut perkiraan saya. 
 
Kesudahan dari tindakan melawannya, Anwar menjadi penghuni penjara dengan disabitkan kesalahan berasaskan kepada apa yang telah dimaknakan oleh yang berkuasa demi kekal berkuasa. 
 
Yang berkuasa itu melihat bahawa moral yang tinggi adalah sesuatu yang amat penting untuk menjadi pemimpin negara. 
 
Maka dengan kuasa yang ada, yang putih itu dikatakan hitam. 
 
Dan mengangguklah sekalian orang yang berkepentingan walaupun dalam hati mereka tidak percaya tetapi dizahirkan melalui anggukan membenarkan apa yang dimakanakan oleh yang berkuasa itu, demi kepentingan hidup selesa dan mewah.
 
Pegangan yang berkuasa itu adalah satu asas yang betul dan perlu dipertahankan. Menjadi pemimpin mesti ada moral yang tinggi.
 
Tapi, sebenarnya bukan asas itu dijadikan latar belakang pegangannya. Latar belakang pegangannya ialah untuk mahu terus berkuasa, dan tidak sesekali mahu dianya dicabar yang boleh memungkinkan beliau terlucut kuasa.
 
Bila tiada kuasa, orang yang dulu berkuasa itu, sekarang ini menjadi tidak ada benda, bahkan dihina.
 
Jika sebenarnya orang itu (yang berkuasa) menjadikan moral sebagai asas, dia mestilah dilaksanakan secara konsisten, iaitu terpakai untuk dirinya dan orang lain  selain Anwar.
 
Maklumat yang diketahui, secara jelas mengiyakan bahawa moral mereka selain Anwar lebih teruk lagi.
 
Saya tidak bermaksud bersetuju apa yang dikatakan oleh orang yang berkuasa itu terhadap  Anwar. Dan saya juga langsung tidak percaya bahawa Anwar diberi pengadilan yang sewajarnya.

Tapi, bagi saya yang tidak mahu hidup terdera dalam penjara, yang memilih bebas hidup diluar menyatakan bahawa Anwar adalah seorang pemimpin yang 'degil', tidak tahu serik, demi sebuah perjuangan bagi mendapat keadilan sosial.

Buktinya, selepas bebas dari penjara, beliau terus bergerak aktif meneruskan perjuangan keadilan sosial itu sedangkan beliau boleh hidup mewah, bebas dan terkenal disamping memberi sumbangan dalam bidang akademik. Berpolitik lagi beliau.

Akibatnya, sekali lagi, orang  baru yang ada kuasa, dengan menggunakan cara yang sama telah mencampak beliau dalam penjara. Sekarang merengkoklah Anwar dalam penjara yang sama. Dengar berita keadaannya amat menyedihkan sekali.

Itulah sebabnya saya rindukan Anwar walaupun tidak ada apa-apa sumbangan/pemberian/bantuan dari saya. Saya hanya mendoakan agar beliau sihat dan segera dibebaskan. Bagi saya Anwar adalah mangsa kerakusan politik yang diwarisi semenjak merdeka.
 
Dalam hal ini, saya cenderung untuk berpandangan bahawa mereka yang melakukan kezaliman itu, akhirnya mendapat penghinaan. Buktinya jelas sekali dihadapan mata kita sekarang ini.  

Benarkah begitu? Allah saja yang maha mengetahui.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan