Theflowersellingboy

Rabu, 30 Disember 2015

Waduh, mana bisa begitu.




Saya lihat semacam berlaku perubahan nilai dalam masyarakat kita malaysia yang lebih cenderung kepada perlakuan ( perkataan dan perbuatan sama ada secara langsung atau melalui berbagai media siaran) yang bersifat negatif, kurang utama dan yang remeh-temeh. 
 
Dan , peliknya dalam masa yang sama, beriya-iya mahu memperjuang dan mempertahankan perlakuan bersifat positif. 

Adakah masyarakat kita hipokrit?

Saya tidak mahu gunakan label itu.

Mengapa jadi begini? Saya bertanya untuk mencari jawapan.

Jawapan yang mudah dan segera yang boleh saya fikirkan ialah kerana kita semua adalah manusia. Manusia adalah lemah dan tidak sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tapi saya tidak setuju jawapan seperti itu. 
 
Itu jawapan bertujuan untuk melarikan diri dari pertanggungjawaban sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah. Jika jawapan itu diterima oleh masyarakat, masyarakat akan hancur. Negara akan hancur. Peradaban akan hancur.

Kiamat sudah hampir?

Saya tidak mahu bicara dari sudut itu, kerana ilmu dalam bidang itu tiada langsung.

Jadi apa jawapan yang boleh diyakini?

Sebelum menjawab, adalah lebih baik diberikan contoh apakah perbuatan yang bersifat negatif yang sudah semacam diterima atau sekurang-kurangya dibiarkan begitu saja.

Terlalu banyak contoh. Tapi dalam bicara yang pendek ini saya hanya beri dua contoh:

i) mereka yang bercakap benar yang melakukan perintah Allah agar menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran/kebatilan akan mendapat tentangan dari sebilangan besar masyarakat.

ii) membesar-besarkan kesalahan yang kecil berbanding kesalahan yang besar.
 
Contoh (i) diatas, saya kira sekarang ini mudah saja diketengahkan. Ia sudah ramai yang maklum. Saya tidak perlu ulangsebut kerana saya juga telah banyak kali berbicara tentang hal itu.
 
Saya mahu berbicara sedikit lebih tentang (ii).
 
Jangan silap, saya tidak mempertahankan mereka yang buat salah, sama ada salah kecil mahupun salah besar. Tindakan mesti diambil. 
 
Tetapi saya agak terkilan apabila salah kecil itu sudah menjadi fokus dan keutamaan bagi mana-mana agensi penguatkuasa untuk mengambil tindakan. Maka dihebuh-hebuhkan di media massa akan kesalahan kecil itu, dan tindakan yang akan diambil serta menyatakan hukuman yang akan ditanggung jika pelaku yang didakwa itu sabit kesalahannya, misalnya hukuman penjara 20 tahun.
 
Bagi saya, tindakan mesti diambil, sama ada kesalahan kecil mahu pun besar. Dan dalam memilih untuk memaklumkan kepada orang ramai , sudah tentu kesalahan yang besar itu didahulukan dan disebar luas berbanding dengan kesalahan kecil. Dan seterusnya tindakan segera diambil dengan hukuman yang berat berbanding kesalahan kecil.
 
Dalam mengkategorikan kesalahan, besar atau kecil, saya tidak berpandu kepada mana-mana tafsiran undang-undang. Saya hanya melihat dari sudut kesan dan akibat kemudaratannya kepada pelaku, masyarakat, negara dan peradaban manusia.
 
Saya beri contoh. Seorang anggota penguatkuasa berpangkat rendah mengambil suapan (rasuah) sebanyak RM 5; dan seorang menteri mengambil suapan (rasuah) sebanyak RM 26 juta.
 
Kedua-dua yang terlibat perlu diambil tindakan, tidak kira kecil atau besarnya nilai suapan.  Dan jika mahu dimaklumkan kepada orang ramai untuk dijadikan iktibar, fokus hebahan sewajarnya diberikan kepada kes menteri yang didakwa mengambil rasuah 26 juta itu berbanding dengan kes suapan RM5 penguatkuasa berpangkat rendah.

Fokus hebahan itu termasuk kekerapan memberitahu/memaklumkan dan liputan oleh berbagai media siaran. Dan dalam menilai prestasi jabatan/pegawai, kes yang bernilai tinggi itu perlu diberikan kewajaran yang tinggi (weightage) jika ianya dapat segera diselesaikan. 
 
Begitu juga dalam penggunaan data/statistik kes. Kemudaratan kes bukan dinilai dari segi kuantitinya.  Sudah tentu bilangan kes kesalahan yang kecil mempunyai pelakunya melebihi kes kesalahan yang besar.
 
Logiknya, orang susah dan berpendapatan rendah lebih ramai berbanding dengan orang kaya. Apatah lagi dalam himpitan kos sara hidup yang tinggi. 
 
Apa yang berlaku di negara kita?
 
Semua orang boleh lihat dan maklum apa yang berlaku di negara kita.
 
Kes kesalahan kecil dan statistik kes sentiasa dihebuh-hebuhkan sebagai satu petanda aras bahawa agensi berkaitan telah memberi fokus yang serious dalam membenteras perbuatan keji itu, seolah-olah satu kejayaan dalam menjalankan tanggungjawab. 
 
Maka dibentangkanlah jumlah penjawat awam, yang sebahagian besarnya berpangkat rendah, yang telah diambil tindakan. Kes yang besar, jarang sekali diberikan perhatian. Amat kecewa sekali.

Satu lagi contoh ialah berkaitan dengan sijil cuti sakit yang di berikan dan diperolehi bukan kerana sakit. Ertinya perbuatan menipu dipihak penerima dan yang mengeluarkan sijil.
 
Perbuatan ini salah. Tindakan wajar diambil.
 
Namun begitu, kesan mudarat kes ini tidaklah seteruk penipuan dan penyalahgunaan wang berjuta-juta ringgit oleh pihak yang ada kuasa tetapi menyalahgunakan kuasa.
 
Tetapi dalam kes sijil sakit tadi, ada juga keadaan yang menyebabkan sijil itu diperlukan bagi mereka yang dalam kesempitan dan terdesak.
 
Contoh. Seseorang yang telah habis cuti tahunannya. Kemudian orang itu menghadapi masalah apabila nursery tempat dia menghantar anaknya tiba-tiba tutup. Tutup, kerana Selangor menang bola.

Siapa yang akan menjaga anak kecilnya? Dia ada pilihan iaitu dia sendiri jaga di rumah atau bawa anak kecil itu ke tempat bertugas. Sudah tentu dia memilih untuk menjaga anak di rumah. Dia hanya boleh berbuat demikian hanya dengan sokongan sijil cuti sakit untuk diberikan kepada majikan, sedangkan dia tidak sakit.
 
Salahkah dia buat begitu sedangkan dia dalam keadaan terpaksa? 
 
Jawab saya , salah. Dia ada satu cara lagi iaitu dengan meminta cuti tanpa gaji.
 
Tapi, tidakkah itu membebankan dia? Sudah tentu menyiksakan hidup orang itu.
 
Besar kah kesalahan kes seperti ini berbanding penipuan berjuta dan ada yang berbilion ringgit?
 
Oleh itu kes sijil cuti sakit ini tidak perlu di hebuh dan disiarkan seolah-olah ianya terlalu memudaratkan berbanding dengan kes penipuan dan rasuah berjuta, bilion ringgit.
 
Sebahagian besar dari kita bersetuju bahawa kes penipuan yang besar itu adalah lebih memudarat dan merosakkan diri, masyarakat dan negara.
 
Tapi, peliknya ada pihak dan orang yang mempertahankan kes penipuan dan salah gunakuasa yang melibatkan juta bilion ringgit. 
 
Mengapa? 
 
Ada yang menjawab:
 
Saya manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesalahan. Berilah peluang kedua kepada saya.
 
Ada juga yang menjawab:
 
Maafkanlah dia kerana dia orang kita, sebangsa dan seagama, dan banyak jasa dan tolong kita. Lagipun apa buktinya jika kita tidak berjaya membawa 4 orang saksi.
 
"Waduh, mana bisa begitu", kata budak Indon.

Jadi jawapan kepada persoalan perubahan nilai masyarakat Malaysia yang cenderung kepada perlakuan bersifat negatif adalah disebabkan 'demi perut' dan 'kemewahan'. Kuasa adalah penting dan mempertahankan orang yang berkuasa juga adalah penting.

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan