Theflowersellingboy

Khamis, 3 Disember 2015

Aku Bermimpi: Nama Aku Jebon Ibni Bon.




R: Siapa namu kamu?
P: Nama Aku Jebon Ibni Bon.
R: Hei, hormat sikitlah, gunakan perkataan saya .
P: Aku punya fasallah.
R: Kamu tahu dengan siapa kamu berhadapan sekarang ini?
P: Aku berdepan dengan kaulah, siapa lagi. Kita saja ada disini. Aku dan kau.
R: Kamu tahu dengan siapa kamu bercakap?
P: Aku bercakap dengan kau lah.
R: Kamu ini memang bingal betul. Sekali ...

Aku terjatuh dari atas katil bersama dengan bantal peluk. Sakit sedikit saja. Tapi seluruh anggota badanku rasa panas. Aku naik semula berbaring diatas katil. Isteri di sebelah kanan lena tidurnya, tidak tahu apa yang telah berlaku. Aku pun tidak mahu mengejutkannya kerana aku tahu dia akan berkata, "Itulah bang, suka tidur tepi sangat". 

Memang setiap  kali aku tidur, aku suka tidur di bahagian tepi katil.

Boleh dikatakan setiap kali aku tidur, aku akan bermimpi, sama ada tidur siang atau tidur malam. Namun cerita dalam mimpi itu jarang yang aku ingat. Kali ini, aku ingat dengan jelas.

Seseorang tiba-tiba muncul menanyakan namaku. Lantas aku menjawab nama aku  Jebon Ibni Bon. Orang itu marah kerana aku tidak menggunakan ganti nama 'saya' yang diterima sebagai  lebih beradab dan sopan terutama dengan seseorang yang belum kita kenali. 

Jawapan itu menaikkan kemarahan orang itu seolah-olah aku tidak menghormatinya. Aku pula tidak takut dengan orang itu berbeza dengan sifatku di luar mimpi, misalnya jika aku ditanya oleh polis atau mereka yang  ada kuasa dan berkedudukan, aku akan jawab dengan tertib dan sopan.

Oleh kerana dia terlampau marah, maka diangkatkan tangannya untuk menampar mukaku. Aku dengan segera menghalang dengan kedua-dua tangan agar penamparnya tidak naik ke mukaku. Lepas itu berdebub akau jatuh. Nasib baik jatuh bersama bantal peluk.

Mataku masih lagi belum boleh tidur sebab otakku masih berlegar-legar dengan cerita dalam mimpi itu. 

Mengapa orang itu nak tahu namaku. Dia seorang penyiasat kah? Apa yang hendak dia siasat? Apa salahku?

Sepanjang ingatanku , aku tidak pernah buat kesalahan besar seperti mencuri harta orang, membunuh atau mencedera sesiapun pun. Malah kalau ditahan polis trafikpun aku sudah menggigil dan mengelabah sedangkan lesen kereta masih hidup, cukai jalan raya sentiasa diperbaharui dan tali pinggang keledar sentiasa dipakai. 

Tetapi kesalahan kecil ada juga aku buat misalnya potong que.

Aku sedikit tersenyum bila mengingatkan aku dengan pantas menjawab nama aku Jebon Ibni Bon. Itu bukan namaku yang sebenar. Maksudnya nama aku diluar mimpi. Ertinya aku tidak menipu, dan memang benarpun bahawa aku ini tidak ada sifat-sifat suka menipu.

Tapi aku yang bermimpi. Jasadku yang bermimpi. Ertinya akulah yang bernama Jebon Ibni Bon itu. Lantaklah. Ini semua mimpi. Bukan realiti. Hakikatnya ialah bahawa aku telah jatuh dari atas katil kerana bermimpi.

Jebon Ibni Bon hendak disiasat? Sepatutnya Jebon ni jadi penyiasat macam cerita James Bond. Barulah betul dan kena jalan ceritanya. 

Tiba-tiba aku teringat gelaran yang selalu digunakan oleh sebahagian ahli PAS keatas sebahagian dari ahlinya. Mereka panggil Jebon. Aku tidak tahu apa maksud Jebon itu. Cuma yang aku tahu, Jebon ini adalah ahli yang tidak sepandangan dengan presiden PAS.

Mungkinkah mimpiku itu berilhamkan kaedah yang digunakan oleh sebahagian ahli PAS terhadap ahli lain yang tidak serasi dengan presiden. Mungkin juga kerana selalu juga aku mengikuti perkembangan parti Islam itu.

Tapi aku tidak mahu jadi Jebon Ibni Bon. Aku tidak mahu bermusuh dengan presiden PAS dan ahli-ahli yang bersekutu dengannya. Tapi dalam mimpi, aku tiada kuasa. Jebon , Jebonlah.

Nama Aku Jebon Ibni Bon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan