Theflowersellingboy

Rabu, 9 Disember 2015

Sendiri Yang Lemah, Orang Lain Yang Disalahkan.




Sendiri yang lemah, orang lain yang disalahkannya. 

Begitulah lumrah yang berlaku terutamanya yang selalu menjadi pegangan orang-orang Melayu atau kumpulan orang Melayu.

Benar, orang lain, terutama mereka yang menjadi pesaing apatah lagi musuh, akan dengan segala usaha, helah dan tipu daya akan mencari jalan untuk melemahkan kita, mencari kesalahan kita atau sekurang-kurangnya memperlekehkan kita.  

Tapi apa perlu diambil kira sangat kerana ianya suatu yang biasa, yang mudah kita fahami.  Pesaing atu musuh sudah tentu tidak bersetuju dengan kita. Buang masa saja untuk kita layan.

Yang penting kita sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti  kita dari segala segi, dan jika apa yang dilekehkan itu adalah satu yang benar, kita wajar beri tumpuan untuk memperbaikki diri walaupun ianya pahit dan memalukan bagi kita untuk  mengakuinya.

Saya bercakap tentang orang Melayu atau Kumpulan Orang Melayu bersangkut paut dengan sifat suka menyalahkan orang lain atas kelemahan sendiri. Sudah tentu saya merujuk kepada orang Melayu atau kumpulan orang melayu yang berpengaruh dan penting.

Saya merujuk kepada orang Melayu dalam parti UMNO. UMNO dikhabarkan mempunyai keahlian 3 juta orang Melayu, iaitu sebuah parti terbesar orang Melayu.

Dari dahulu sehingga kini, ahli UMNO apabila menghadapi krisis, tidak pernah lupa menyalahkan orang luar parti, terutamanya pembangkang, sama ada ahli pembangkang Melayu atau bukan Melayu.

Semuanya kerja pembangkang untuk memecahbelahkan kesatuan UMNO dan orang Melayu.

Kenyataan diatas, bergema lagi dalam PAU 2015 (Persidangan Agung UMNO) yang sedang berjalan sekarang ini.
 
Isu 1MDB dan wang derma 2.6 billion yang masuk ke akaun peribadi PM, kata mereka, adalah kerja-kerja yang sengaja dimainkan oleh parti pembangkang untuk memecahkan perpaduan ahli UMNO. 

Bahkan mereka menyalahkan ada campur tangan dari kuasa asing yang mahu menjatuhkan kepimpinan UMNO yang telah berjaya memajukan negara dan mempertahankan Islam. Apa lagi, Yahudi dan Amerika menjadi sasaran UMNO.

Peliknya , PM adalah sahabat baik kepada Obama presiden USA (berdasarkan keakraban bersama-sama bermain golf) dan menggunakan perkhidmatan dari orang/syarikat Yahudi (APCO).

Memanglah kerja pembangkang untuk memberi tahu rakyat akan kepincangan kerajaan yang dipimpin UMNO. Tujuannya amat jelas untuk mengajak rakyat terbanyak menyingkirkan kerajaan sama ada pada pilihanraya , atau secepat mungkin yang boleh menurut cara-cara yang sah dari segi undang-undang negara.

Jadi mengapa perlu dihebuhkan.

Mengapa UMNO tidak melihat ke dalam. Siapakah atau pihak manakah sebenarnya yang mahu menjatuhkan pimpinan UMNO sekarang, dan mengapa.

Bukankah bekas PM, Timbalan Presiden UMNO dan ahli-ahli UMNO yang lain di peringkat akar umbi yang mahukan isu 1MDB dan derma 2.6 billion itu diberi jawapan yang sewajarnya oleh PM?

Setakat sekarang mereka tidak berpuas hati dengan apa yang PM katakan. Bahkan, Dr Mahathir mengatakan presiden UMNO tidak bercakap benar dalam kedua-dua isu tersebut. 

Jadi, kata-kata siapa yang lebih berkesan dan boleh mempengaruhi ahli UMNO/parti dan pihak luar. Kata-kata pembangkang atau kata-kata ahli UMNO khususnya dari bekas presiden yang paling lama dan timbalan presiden yang sedia ada.    

Sudah tentu kata-kata dari bekas presiden dan Timbalan presiden yang sedia ada, yang sedia mengetahui bagaimana caranya UMNO beroperasi. Maknanya jangan atau tidak boleh kelentong mereka. 

Tambahan lagi serangan dari mereka ini, tidak pernah berhenti bahkan sentiasa meningkat sehingga orang lebih yakin dan percaya kepada mereka berbanding dengan kenyataan dari PM dan kepimpinan UMNO yang lain berkaitan isu diatas.

Jadi jangan mengalihkan cerita kelemahan sendiri dengan menuding kepada pembangkang atau pihak luar.

Lihatlah ke dalam, dalam diri dan organisasi UMNO. Kata orang bermuhasabahlah. Dan UMNO mesti ingat, ahli UMNO sekarang bukan ahli UMNO zaman tok kaduk. Mereka boleh berfikir secara baik dan rasional. 

Kata-kata dari Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang tidak mahu kerajaan menyusahkan lagi rakyat dengan kenaikan berbagai kos hidup adalah satu ingatan kepada kepimpinan UMNO/kerajaan agar lihatlah dan fikirkanlah sebaik-baiknya dasar dan polisi yang hendak dilaksanakan. 

Dasar-dasar itu tidak lagi akan membebankan kehidupan rakyat yang telah sedia terbeban. Beliau tidak menuding kepada pembangkang atas kenaikan sara hidup, atau menuduh pembangkang yang menyebabkan rakyat marah kenaikan dalam sara hidup.
  








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan