Theflowersellingboy

Sabtu, 1 November 2014

Lakukan Sendiri Kerja-kerja Memperbaikki Kerosakan Kecil

 


Sebatang pokok yang mati, tumbang menimpa pagar sebelah sisi kanan rumah. Berlaku sedikit kerosakan pada pagar.

Pokok itu adalah dari kawasan tanah jiran yang masih belum dibina rumah walaupun telah melanggar syarat nyata kelulusan tanah yang . menghendaki rumah dibina dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan. 

Begitu juga disisi kanan dan belakang rumah, tuan punya tanah masih lagi belum membina rumah. Oleh itu, kawasan tanah terbiar itu ditumbuhi pokok-pokok liar yang tinggi membesar serta tumbuhan kecil yang merata dan menjalar menjadi semak, yang menyemakkan mata memandang. 

Ular, biawak dan binatang kecil yang lain seperti tikus dan nyamuk menjadikan kawasan itu tempat tinggal mewah bagi mereka untuk membiak. 

Beruk, monyet, kera, lotong, ungka dan yang sejenis dengannya menjadikan kawasan tanah terbiar itu sebagai tempat cari makan sambil bermain bergayutan, mematahkan dahan-dahan kecil yang sebahagiannya jatuh diatas jalan dihadapan rumah., yang terpaksa dibersihkan pada setiap pagi oleh pekerja syarikat yang mendapat kontrak pembersihan dari pihak bandaraya.

Saya sedikit kecewa dengan sikap jiran-jiran saya ini.

Sebenarnya sudah dua hari pokok itu tumbang. Kerja mengemas dan membaikki pagar tidak dilakukan segera. Ada tugas lain lebih utama.

Tapi malam tadi isteri mencadangkan untuk memanggil dan mengupah pekerja Indonesia untuk mengemas dan membaikki pagar itu. 

Saya dengan segera  menyatakan akan melakukannya sendiri. Jika pekerja Indonesia itu boleh buat, saya juga boleh buat, kerana ianya tidak perlu kemahiran apatah lagi kepakaran yang tinggi. Cuma, pekerja Indonesia itu mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal yang tinggi berbanding dengan saya.

Memang begitulah yang selalu dilakukan jika hendak memperbaikki kerosakan kecil dan melakukan pemasangan di rumah. Misalnya menukar mentol lampu yang terbakar,  memasang langsir, saluran air tersumbat, pintu pagar yang tidak boleh dibuka, aliran air paip yang perlahan kerana tersumbat dan macam-macam lagi. Rujukan pertama ialah panggil orang lain melakukannya. Sudah tentu tidak percuma.

Selepas sarapan dan menelan 4 biji ubat yang berkaitan jantung dan darah tinggi, saya memulakan kerja. Beberapa dahan yang menimpa pagar dipotong menggunakan parang. Lama juga satu-satu dahan itu berjaya dipotong. Sebab parangnya tumpul. Sebab selalu  berhenti untuk mengambil nafas baru memulihkan stamina.

Batang pokok dan dahan yang menimpa pagar berjaya dipotong dan dikumpul di kawasan tanah jiran itu. Kemudian saya memperbaikki dawai pagar, menariknya untuk berkeadaan seperti asal. Walaupun tidak berjaya membentuk seperti keadaan asal, saya berjaya mengukuh pagar itu menjadi tegak dengan mengikat pada tiang-tiangnya dengan menggunakan paku dawai. 

Saya merasa puas melakukannya walaupun memakan masa yang panjang sehingga masuk waktu zohor.

Penat? Sudah tentu penat pada usia lebih enam puluhan ini. Tambah-tambah lagi sudah buat pembedahan jantung terbuka. Tapi, ini juga adalah satu cara untuk menguatkan jantung dan menghancurkan lemak-lemak dalam anggota badan.

Rupa-rupanya ada menfaat pokok itu tumbang dan  menimpa pagar saya.  Menfaat yang saya nampak adalah 
i) saya dapat buktikan bahawa kerja-kerja kecil seperti itu saya boleh lakukan sendiri. Mungkin pada masa depan isteri akan meminta saya melakukan terlebih dahulu sebelum berhasrat memanggil orang luar. Kerja percuma saja. 
ii) menyihatkan anggota badan, walaupun sedikit penat.  Kalau tidak penat, bukan kerja namanya.

Yang penting sekali ialah bahawa setelah siap kerja saya merasa puas. Dan saya tidak lagi merasa kecewa dengan sikap jiran-jiran yang masih belum membina rumah. Mungkin mereka ada keutamaan lain yang perlu didahulukan. 
 






 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan