Theflowersellingboy

Rabu, 12 November 2014

Laporan Ketua Audit Negara dan Hukuman Kepada Penjawat Awam.



Setiap kali Laporan Ketua Audit dibincangkan dalam Parlimen, perasaan saya jadi tersentuh. Sebab saya tahu banyak perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan kekurangan dan kelemahan Kerajaan dalam urus tadbir negara,khususnya yang berkaitan dengan wang dan aset negara.

Bila perasaan tersentuh ia menzahirkan rasa sedih , kecewa dan hampa kerana kelemahan-kelemahan itu dilaporkan berulang kali, setiap tahun. Saya percaya sahabat-sahabat saya yang masih berkhidmat yang telah memberi perkhidmatan dengan gigih tanpa mengira masa akan lebih merasa sedih.

Disamping sedih saya juga amat bersimpati dengan kawan-kawan saya itu kerana terpalit dengan lumpur itu kerana ada beberapa kerbau yang membawa lumpur habis semua penjawat awam terpalit.

Saya juga amat marah kepada beberapa kerbau yang membawa lumpur itu.

Dan saya juga merasakan berlaku ketidakadilan jika kesalahan dan hukuman hanya diletakkan dan ditanggongkan keatas bahu penjawat awam saja. Orang politik khususnya perdana menteri/menteri-menteri lepas dari mengambil tanggongjawab dan hukuman.

Memang kita ada banyak masalah. Saya senaraikan 3 masalah besar kita sekarang ini iaitu i) pembaziran wang dan sumber negara, ii) pencemaran alam sekitar, dan iii) kebanjiran warga asing, secara sah dan tidak sah

Ketiga-tiga masalah ini mempunyai kesan dan implikasi kepada kewangan dan sumber negara secara negatif. Tapi saya hanya mahu menyentuh secara am tentang kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saja.

Dokumen Ketua Audit Negara setiap tahun membangkitkan tentang bazir belanja, kehilangan wang dan aset, salahguna kuasa dan kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan dalam pengurusan kewangan. Implikasi kerugian kepada kerajaan berbilion ringgit. Saya tidak berminat menunjukkan angkanya kerana senarai butiran kesnya terlalu banyak.

Tiap-tiap tahun salah aturan dan urus itu berbangkit dan terus berbangkit walaupun dijanjikan dengan tindakan memperbaikki dan mengatasinya termasuk mengambil tindakan kepada yang bertanggongjawab.

Siapa yang bertanggongjawab?

Struktur Organisasi Agensi Kerajaan iaitu kementerian dan jabatan adalah diketuai oleh Menteri (orang politik yang bertanding dalam pilihanraya dan menang atau lantikan politik). Mereka inilah yang bertanggongjawab di Parlimen, menjawab dan memberi penjelasan  serta membuat cadangan dan saranan berkaitan dengan kementerian dibawah jagaan.

Contoh: Terdapat laporan salah belanja atau lebih belanja. Jika dibangkitkan, menteri berkenaan akan memberi jawapan dan penjelasan, dan dalam banyak hal akan menafikannya dengan mengemukakan maklumat dan fakta bagi menyokong kenyataannya itu.

Satu lagi pilihan popular yang diambil dalam memberi jawapan ialah dengan menyatakan bahawa perkara yang dibangkitkan itu akan disiasat, dan jika didapati benar maka pegawai yang berkaitan akan diambil tindakan yang setimpal.

Siapa yang kena ambil tindakan? Pegawai atau penjawat awam.

Bagaimana dengan menteri sebagai ketua organisasi? Bebas dari tindakan.

Betul dan adilkah?

Mengambil tindakan keatas penjawat awam yang bertanggongjawab melakukan kesalahan itu adalah satu tindakan yang betul, menurut undang-undang dan peraturan yang ada sekarang.

Adilkah? Ianya tidak sepenuhnya adil.

Secara bertulis dan diperundangkan pihak yang bertanggongjawab dalam mengawal dan menguruskan kewangan (termasuk segala aset) adalah PEGAWAI PENGAWAL. Pegawai Pengawal ini adalah penjawat awam yang terdiri dari pegawai-pegawai tertinggi dan kanan kerajaan misalnya Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai kanan sesuatu jabatan/agensi.

Mereka inilah yang bertanggongjawab jika berlaku apa-apa luar aturan dalam menguruskan kewangan dibawah kawalan masing-masing. Dan mereka juga akan mewakilkan sebahagian dari kuasa kepada pegawai dibawahnya secara bertulis menentukan skop kerja tertentu dan had kewangan yang terlibat. Seterusnya pegawai dan kakitangan yang lain akan ditentukan tugas dalam skop-skop kerja tertentu.

Biasanya, jika secara pasti dapat dikesan pegawai tertentu yang membuat kesalahan maka pegawai itulah yang dikenakan tindakan.

Bagi saya, ianya tindakan yang betul.

Tapi belum pasti sepenuhnya adil.

Sudah menjadi satu rahsia umum bahawa yang berkuasa penuh (termasuk hal-hal berkaitan perbelanjaan dan kaedah menentukan cara urusan dibuat) dalam kementerian ialah menteri. Bukan pegawai pengawal, walaupun pegawai pengawal itu KSU. Apatah lagi pegawai yang lebih bawah.

Menteri boleh arah pegawai awam termasuk pegawai pengawal untuk melakukan sesuatu diluar aturan atau cara urusan yang merugikan kerajaan.

Contoh: Tender terbuka memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat pilihan yang terbaik pada kos yang bersaing berbanding dengan rundingan terus. Walaupun itu yang dicadangkan diperingkat pegawai, jika menteri hendakkan runding harga maka runding hargalah yang dilakukan.

Masalah akan timbul i) tiada pilihan harga, ii) kegagalan pihak yang telah dipilih dalam melaksanakan tanggongjawab.

Tiada pilihan harga bererti kerajaan hanya menerima harga yang dirundingkan saja.  Tidak ada perbandingan harga secara persaingan dengan petender-petender lain. Dan belum tentu petender yang dipilih itu dapat melaksanakan tanggongjawab dengan sempurna.

Apa jadi kalau projek itu gagal misalnya tidak siap dalam tempoh yang ditetapkan. Sudah tentu ia melibatkan tambahan kos. Malang sekali apabila lanjutan masa dipersetujui yang melepaskan kontraktor itu dari denda.

Bagaimana jika binaan yang dibuat tidak sempurna, menggunakan material bermutu rendah dibawah dari spesifikasi yang ditetapkan? Bukan itu saja pegawai diarah untuk melakukan bayaran sedangkan ada kecacatan dalam pembinaan. Kesan akhirnya bangunan itu runtuh.

Kearah mana jari ditudingkan? Kearah penjawat awam. Tindakan diambil dan jika didapati bersalah dijatuhkan hukuman.

Menteri? 

Di Parlimen menteri akan ditanya, dan menjawab pertanyaan itu. Biasanya jawapan cenderung untuk menafikan. Tapi jika terlalu jelas misalnya bangunan runtuh, jawapan yang diberi ialah akan melakukan siasatan dan jika didapati mana-mana pegawai yang gagal menjalankan tanggongjawab tindakan yang sewajarnya akan diambil.

Menteri menjawab dan lepas dari mengambil tanggongjawab. Sebab telah terkanun satu kepercayaan bahawa menteri hanya  bertanggongjawab kepada rakyat melalui pilihanraya. Jadi hukuman kepada menteri adalah semasa pilihanraya.

Tapi di Malaysia, hukuman itu jarang berlaku. Pilihanraya akan datang orang yang sama juga menjadi menteri.

Jadi jika menteri mahu mencampuri bidang kuasa pegawai pengawal, menteri sepatutnya jadi pengawal dan bertanggongjawab ke atas apa yang dikawal.

Maka jangan jadi satu kehairanan jika salah urus ini berterusan. Ketua Audit Negara teruskan tugas anda, dan penjawat awam bersedialah menerima hukuman.

Apa-apa pun saya mengucapkan syabas kepada kawan-kawan saya yang masih berkhidmat yang telah berkhidmat dengan begitu setia dan gigih tanpa mengira masa dan kepentingan diri. Doa dari saya agar segala kelemahan itu dapat diatasi. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan