Theflowersellingboy

Ahad, 9 November 2014

You are right there....but rights do not always rule





Saya ada sedikit kepayahan untuk menterjemahkan tajuk diatas.

Sebenarnya tajuk diatas adalah balasan komen saya dalam face book menyokong pendirian seorang kawan yang telah bosan, muak, jelak dan meluat dengan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim yang bersiri itu.

"Enough is enough:, kata kawan saya itu dengan menyambung, "let's move to something productive".

Bagi saya pendirian kawan itu adalah betul. Banyak hal dan isu lain tentang kehidupan rakyat yang perlu  diutamakan berbanding dengan pertuduhan liwat Anwar Ibrahim ini. Semenjak 1998 sehingga sekarang, isu liwat ini telah mengambil masa dan wang yang banyak. Bukan itu saja ianya telah dan sedang memecah belahkan rakyat, dan saya yakin ianya akan berterusan, jika ada isu lain yang dibawa untuk dibuat pertuduhan seperti pertuduhan menghina mahkamah.

Tak habis-habis fasal Anwar Ibrahim sedangkan pihak yang tidak menyukainya berulangkali mengatakan Anwar Ibrahim tidak relevan lagi. 

Adakah Anwar Ibrahim manusia yang jahat sejahatnya, hina sehina hinanya, manusia yang terlalu rendah moralnya? Saya tidak yakin Anwar Ibrahim begitu orangnya. Dia adalah juga manusia biasa yang tidak terlepas membuat silap dan salah dan banyak kelemahan, disamping kelebihan tertentu yang dikurniakan Allah. Tapi Anawa Ibrahim tidaklah seperti yang sentiasa dan mahu digambarkan oleh setengah pihak, manusia yang hina sehina hinanya.

Bukankah dia seorang bekas pemimpin pelajar, pemimpin beberapa organisasi dakwah seperti Abim dan pernah jadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan sekarang ini sebagai ahli parlimen dan Ketua Pembangkang.

Layakkah dia dikatakan manusia yang amat menjijikkan?

Kalau ada yang masih kekal dengan keyakinan itu iaitu Anwar Ibrahim manusia yang terlalu rendah moralnya maka saya katakan bahawa ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita termasuk penerapan nialai-nilai Islam; ada yang tidak kena dengan nilai-nilai yang digunakan semasa memilih beliau bagi menjadi ketua dan pemimpin.

Ertinya sebahagian besar dari kita juga adalah orang yang jijik dan hina kerana mengangkat orang yang rendah moral.

Jangan pula ada yang memberi alasan bahawa perilaku hinanya baru saja diketahui, dan dengan itu dia perlu segera dinyahkan. Jangan cuba menipu diri dan menipu banyak orang hanya kerana kuasa ada pada kita.

Cukuplah dengan bab Anwar Ibrahim ini. Kerana kosnya melampaui sangat dari faedah kepada negara. Berapa juta kos agaknya yang telah dikeluarkan dalam menguruskan bab Anwar Ibrahim ini. Dan saya tidak nampak apa-apa faedah. Ramai lagi rakyat yang perlu diberi perhatian.

Marilah bergerak ke hadapan dengan memberi fokus utama kepada perkara yang memberi faedah kepada rakyat dan negara. Soal kos sara hidup rakyat yang meningkat, harga komiditi kelapa sawit dan getah yang menurun yang memberi kesan langsung kepada mereka yang berpendapatan rendah, kebocoran dan kehilangan hasil negara, keselamatan negara dan isu jenayah , isu pendidikan , kesihatan dan isu-isu sosial yang lain memerlukan tumpuan dan tindakan segera.

Sebab itulah kawan saya itu merasa meluat kerana perkara yang sepatutnya diberi perhatian seperti yang dinyatakan diatas telah tidak ada kesungguhan untuk diatasi.

Ambil satu contoh kecil, tentang kebanjiran pekerja asing yang telah menyebabkan rakyat tempatan kalah dalam persaingan di pasaran buruh kerana pekerja asing sanggup menerima upah yang rendah dan hidup di gerobok-gerobok kongsi yang sempit, kotor dan menjijikkan tanpa kemudahan asas yang sempurna seperti air, tandas dan letrik.

Kesannya buruk sekali. Pertama, menyebabkan pekerja tempatan menganggur. Maka bertambahlah kes-kes jenayah. Kedua, pekerja asing menjadi agen pembawa berbagai penyakit kerana tinggal dalam persekitaran yang kotor. Ketiga, Malaysia kehilangan hasil akibat dari pemindahan wang pekerja asing itu ke negara masing-masing. Maka bertambah kuranglah kecairan di Malaysia yang sangat diperlukan bagi merancak permintaan dalam negara dan seterusnya membolehkan ekonomi berkembang.

Bukankah ini anatara yang perlu diberi tumpuan berbanding dengan tuduhan liwat bersiri Anwar Ibrahim yang mengambil masa yang begitu panjang?

Betullah pendirian kawan saya itu yang amat prihatin keatas apa yang telah dan sedang berlaku di negara ini. Saya percaya ramai lagi yang berfikiran seperti beliau. Bagi saya mereka itu mengambil sikap dan pendirian yang betul. Cara berfikir dan pendirian seperti inilah yang sepatutnya menjadi garis panduan atau peraturan atau undang-undang yang patut kita terima dan amalkan, khususnya di pihak pemerintah.

Tapi apa yang betul itu tidak selalunya diterima dan mahu dijadikan sebagai peraturan untuk dipatuhi...."but rights do not always rule".



  








.
  

 

 
 




  



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan