Theflowersellingboy

Isnin, 17 November 2014

Menanggapi Cerita-cerita Takut dan Mengancam: Gunakan Otak, bukan Perasaan.




Semasa kecil dahulu, cerita hantu digunakan oleh emak bagi menyatupadukan kami adik beradik yang suka bergaduh. 

Sudah jadi perkara biasa kami bergaduh. Dalam sehari mungkin dua tiga kali bergaduh. Dalam beberapa saat selepas bergaduh berbaik semula.  Kemudian bergaduh lagi. Berbaik semula. Begitulah seterusnya, selagi kami belum masuk tidur.

Waktu masuk tidur inilah , emak ambil peluang untuk menyatupadukan kami. Maka emak bercerita fasal hantu, macam-macam nama hantu yang diberitahu -ada hantu dapur, hantu tetek, hantu air, hantu jerangkung dan macam-macam lagi. 

Emak berbaring ditengah-tengah. Kami berebut-rebut untuk mengambil tempat disebelah emak sama ada pada sisi kanan mahupun sisi kiri. Tapi adik-adik diberikan keutamaan tidur disebelah emak. Jadi abang yang lebih tua terpaksa jauh sedikit. 

Kami berpelukan. Tiada lagi pergaduhan atau permusuhan. Kami bersatu kerana takutkan hantu walaupun kami sendiri tidak pernah melihat hantu. Emak yang berceritapun begitu juga.

Kejayaan emak ialah dalam menggambarkan wajah dan perangai hantu  itu. Semua hantu tidak kira apa namanya digambarkan sebagai berwajah hodoh, berperangai bengis dan  berniat jahat.

Bila sebut saja hantu maka kami rasa seram dan takut. Dan kamipun berpelukkan seerat-eratnya.

Tapi ianya berlaku semasa mahu tidur di waktu malam. Sebab rasa terancam. Sebab takutkan hantu. Pagi esoknya belum tentu, bergaduh adalah satu kemungkinan yang besar. Kemudian berbaik semula. Akhirnya, kami semua membesar, beranak pinak, dan paling penting masih mengekalkan pertalian dan perasaan kasih sayang.

Itu cerita saya semasa kecil.

Masuk usia tua pula, masih lagi mendengar cerita-cerita yang menakutkan, yang mengancam kehidupan. Ianya bukan cerita hantu tapi mahu digunakan bagi menghantui fikiran agar percaya kewujudannya. 

Ada cerita takut jenis rekaan dan sengaja diada-adakan atau yang kecil diperbesarkan. Ada cerita  takut yang berfakta dan maklumat yang jelas.

Semua cerita itu, sama ada rekaan atau ada-adaan, atau yang kecil diperbesarkan atau yang berfakta dan bermaklumat, tujuannya adalah sama saja iaitu untuk membuatkan yang mendengar cerita merasa takut dan terancam lalu mengharapkan  'perlindungan', 'bantuan' atau 'pertolongan' seperti saya mahu peluk emak saya dulu, agar saya merasakan diri selamat dari ancaman hantu.

Dulu saya percaya apa yang emak ceritakan tanpa gunakan fikiran yang logik. Semuanya masuk akal.  Saya takut hantu. Walaupun saya tidak pernah tengok hantu itu, saya percaya hantu ada.

Sekarang cerita takut yang mengancam kehidupan itu terlalu banyak. Untuk itu saya gunakan otak dalam menilai cerita itu. Saya juga takut dengan cerita-cerita itu. Tapi takut saya itu mempunyai dimensi yang berbeza iaitu saya takut ramai orang yang menjadi keliru atau dikelirukan sehingga tidak lagi menggunakan otak tapi lebih cenderung dihasut oleh perasaan atas nama bangsa, agama , politik dan kepentingan puak.

Antaranya cerita-cerita yang menakutkan adalah:

i) Masa depan orang Melayu ,agama Islam dan institusi raja-raja terancam
ii) Orang Melayu  berpecah  belah
iii) Tanah rezab Melayu semakin mengecil
iv) Bilangan Melayu miskin masih ramai
v) Perpaduan antara kaum semakin longgar disebabkan perasaan perkauman yang menebal
vi) Kos sara hidup sentiasa meningkat
vii) Golongan ektremis (bangsa dan agama) semakin bertambah
viii) Hutang negara terlalu tinggi
ix)  Kekayaan negara dibolot oleh kumpulan kecil yang ada hubungan kepentingan dengan pemerintah.
x) Jenayah semakin meningkat terutamanya dengan kebanjiran warga asing (masuk secara sah atau tidak sah)
xi) Kemusnahan alam sekitar yang tidak terkawal.

Semua cerita-cerita diatas membawa mesej yang sama iaitu untuk menimbulkan rasa khuatir, risau, susah hati, bimbang, gelisah, takut dan terancam.

Ada mesej yang bersifat  buruk sangka dan ada yang berfakta dan maklumat yang jelas, bergantung kepada perawi.

Tujuan perawi hanyalah untuk mempengaruhi pendengar agar sentiasa bewaspada dan merasa takut akan ancaman yang diperkatakan , lalu mencari atau mendapatkan tempat berlindung atau berpayung. Dan pelindungnya ialah perawi itu sendiri.  Maka jika bersama dengan perawi orang itu akan selamat atau boleh diselamatkan.

Perawi-perawi yang paling aktif dan bersungguh-sungguh menyampaikan berbagai cerita yang menakutkan itu adalah terdiri dari parti-parti politik dan badan/persatuan yang sealiran.

Dalam menanggapi cerita-cerita takut itu, jangan jadi saya semasa kecil. Gunakan otak dari perasaan.

    
















 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan