Theflowersellingboy

Khamis, 27 November 2014

Akta Hasutan dan 1MDB: Mungkir Janji dan Rugi





Saya masih risau tentang pinjaman yang telah diberikan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada 1MDB sebanyak 4 billion. Mampukah 1MDB membayar balik? Saya bertanya begitu kerana ada khabar berita menyatakan 1MDB ada masalah kewangan dan kemampuan untuk membayar hutang yang dipinjam.

Jika tidak mampu membayar balik pinjaman kepada KWAP, sudah tentu memberi kesan kepada kewangan KWAP, dan seterusnya kemampuan untuk membayar pencen bulanan kepada pesara seperti saya. 

Saya faham bahawa pinjaman itu adalah pinjaman yang dijamin oleh kerajaan. Sekiranya 1MDB tidak mampu membayar balik hutang, kerajaan akan masuk campur bagi membayar hutang 1MDB yang dijamin itu. Jadi bayaran pencen bulanan tidak terjejas.

Tapi daripada mana kerajaan dapatkan sumber untuk membayar hutang 1MDB itu? Sudah tentu dari hasil dan pendapatan yang diperolehi/dikutip. Sudah tentu juga sebahagian besarnya dari rakyat melalui berbagai cukai dan kenaan.

Ini bermakna rakyat juga yang akan membayar hutang 1MDB. 

1MDB buat pinjaman dan gagal bayar hutang, rakyat pula yang kena bayar. Kata orang Pulau Pinang: "Pi mai pi mai dok tang tu juga". Rakyat juga yang terbeban. Kita yang kena belasah.

Sebenarnya, kita, rakyatlah yang jadi kolateral, penjamin kepada hutang 1MDB itu.

Namun begitu saya masih lagi mahu menunggu penjelasan dari PM sendiri tentang kedudukan 1MDB terutamanya bagi menjawab perkara-perkara negatif yang dibangkitkan oleh setengah pihak .

Dan bagi saya pencerahan itu lebih bermakna di lakukan dalam ucapan dasar di persidangan tahunan UMNO semalam agar para hadirin dapat memberi penjelasan kepada ahli-ahli akar umbi dan rakyat akan duduk sebenar 1MDB ini, sekali gus menyanggah perkara-perkara negatif yang dibangkitkan oleh setengah pihak khususnya pembangkang.

Tapi malang sekali ianya tidak berlaku. 

Apabila dakwaan yang amat serious tentang 1MDB ini tidak diberi penjelasan terutama dikalangan ahli parti maka besar kemungkinan ahli-ahli parti juga akan percaya dengan apa yang dibangkitkan oleh pembangkang. Ini tidak sihat dari segi sokongan kepada PM sendiri.

Berbeza dengan Akta Hasutan, 1MDB tidak mendapat perhatian yang serious dari PM. 

Akta Hasutan adalah diantara beberapa isu yang hangat diperbincangkan selain dari 1MDB ketika ini. Difahamkan sebahagian besar ahli-ahli UMNO termasuk pemimpin yang lain seperti bekas PM tidak bersetuju Akta itu di hapuskan seperti yang telah dijanjikan oleh PM. Namun pada persidangan semalam PM telah menarik balik persetujuan itu dengan menyatakan Akta itu kekal, bahkan diperkukuhkan. Pengumuman PM ini membuatkan para hadirin merasa lega dan seterusnya memberi sokongan atas keputusan itu.

Oleh itu mengapa 1MDB dibiarkan dalam keadaan nama yang diburukkan tanpa diberi penjelasan. Jika perhatian yang sama diberikan kepada 1MDB, sudah tentu para hadirin akan merasa lega.

Sesungguhnya cara PM ini menyebabkan rakyat :
i) percaya dengan dakwaan 1MDB menghadapi masalah
ii) PM seorang pemimpin yang tidak ada daya ketahanan apabila diasak sehingga sanggup mungkir janji, bertentangan dengan slogan popular beliau 'janji ditepati'.

Oleh kerana tiada pencerahan dari PM tentang 1MDB, saya terpaksa bersandarkan maklumat dan fakta yang diterima dari pihak yang membuat dakwaan bahawa 1MDB menghadapi  masalah. Melainkan ada penjelasan dari PM, saya percaya dengan dakwaan itu.

Kesan dari masalah hutang 1MDB ini akan akhirnya terbeban kepada rakyat. Rakyat juga yang rugi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan