Theflowersellingboy

Selasa, 11 November 2014

Yang Memberi dan Yang Menerima




Yang suka memberi tidak semuanya pemurah dan yang suka menerima tidak semuanya miskin dan lemah.

Sewajarnya sifat suka memberi perlu dipuji dan digalakkan terutamanya pemberian itu bagi tujuan membantu orang yang sangat berkeperluan diatas sifat dan keadaan kekurangan dan kelemahan orang itu. Itu yang dinamakan kehidupan yang saling lengkap melengkapi. 

Mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih sudah sepatutnya sedikit dari lebihan itu dipanjangkan kepada mereka yang amat memerlukan.

Rezeki ini tidak terhad kepada pemilikan ataupun pemunyaan yang bersifat wang dan material saja. Tubuh badan yang sihat juga rezeki. Binaan fizikal yang sempurna yang tergambar dalam rupa paras yang cantik dan saiz badan yang tegap serta kekuatan tenaga bekerja/bertindak adalah juga sebahagian dari rezeki, nikmat dari Allah. Otak yang cerdas pun rezeki juga. 

Terlalu banyak rezeki yang dikurniakan Allah. Hanya yang berbeza, ada orang dikurniakan melebihi dari yang lain. Allah saja yang maha mengetahui sebab-sebanya.

Yang penting setiap rezeki yang dikurniakan itu dimenfaatkan kearah kebaikan diri sendiri , dan lebihannya dikongsi sama dengan orang lain yang memerlukan.

Yang penting juga adalah kita mesti yakin bahawa setiap dari kita ada rezeki agar kita tidak mudah putus asa dan kecewa  sebaliknya menggandakan usaha melebihi dari orang lain.

Jika kehidupan kita diatur menurut kaedah yang dinyatakan diatas, dimana yang berlebihan rezeki berkongsi sama lebihan itu dengan orang lain yang memerlukan,  dan orang yang menerima itu percaya bahawa dia juga ada rezeki maka pemberian itu akan diterima dengan baik. Ertinya yang memberi dan yang menerima tahu mensyukuri rezeki kurniaan Allah.

Orang yang suka memberi itu adalah seorang yang pemurah. Dan orang yang menerima pemberian itu adalah orang yang tahu menghargai rezeki dari Allah. Hubungan diantara orang yang pemurah dan orang yang tahu menghargai pemberian dari orang lain adalah satu perhubungan yang ikhlas dan murni, berpanjangan dan kekal abadi, walaupun berlaku misalnya yang pemurah itu jadi miskin dan yang miskin itu jadi kaya. 

Kematian saja yang dapat memisahkkan hubungan mereka

Tapi tidak semua orang yang suka memberi itu pemurah dan tidak semua orang yang suka menerima itu  miskin dan lemah.

Ada orang yang suka memberi kerana mengharapkan sesuatu dan bukan atas dasar percaya bahawa rezeki itu datangnya dari dan milik Allah.

Ada orang yang suka menerima, bukan kerana miskin dan memerlukan tapi sudah menjadi ketagih atas pengaruh hawa nafsu untuk mudah mendapatkan sesuatu.   

Hubungan mereka dijalin dan terjalin hanya setakat masing-masing dapat memenuhi hawa nafsu (kepentingan) dan akan secara otomatik terputus dan menjadi tidak mesra apabila tiadanya kepentingan yang hendak diraih.  

Maka tiada lagi temu janji, kunjung mengunjungi, khidmat pesanan ringkas atau panggilan talipon mengajak sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, bermain golf, dan jangan mimpi untuk berbual kosong seperti dahulu. 

Banyak contoh dapat diberikan. Tapi saya hanya memberi satu contoh saja. 

Mereka yang bersifat demikian adalah orang yang suka memberi rasuah, dan ada pula orang yang suka menerima rasuah.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan