Theflowersellingboy

Jumaat, 14 November 2014

Berhujahlah dengan menggunakan akal yang sihat, jika kita berbeza




Hormat saya kepada sdr Fahmi, presiden PMUM.

Walaupun masih muda, dan perlu banyak lagi mengumpul berbagai pengetahuan dan melalui banyak pengalaman, saya dapati beliau menunjukkan potensi sebagai pemimpin yang mampu berhujah dengan menggunakan akal dari perasaan.

Seorang bekas naib chancellor UiTM yang sekarang bergelar senator telah mengecam pemimpin PMUM itu kerana menyuarakan hak kebebasan bersuara. Antara komen bekas naib cancellor itu ialah bahawa tidak ada kebebasan yang mutlak seperti  perbuatan telanjang dikhalayak ramai.

Fahaman beliau hak kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh sdr Fahmi itu boleh melayakkan Fahmi melakukan apa saja tanpa batas macam beruk dihutan. 

Bukan begitu maksudnya wahai bekas naib cancellor. 

Bertelanjang dikhalayak ramai amat memalukan, tidak sopan. Tambah malu lagi jika semua orang bertempiaran lari sebelum melihat hasil dari ketelanjangan itu. Jadi jangan pula mahu melakukannya dikhalayak ramai. Beruk di hutanpun lari bertempiaran.

Sebagai seorang yang terpelajar, bekas naib cancellor sebuah univeristi, lambang pemilikan ilmu dan ketinggian akademik , asas hujahan tidak masuk akal. Bahkan bersifat menghina, termasuk menghina diri sendiri.

Usah memperkecil, memperlekeh dan merendahkan kemampuan kepimpinan dan daya intelek Fahmi sekaligus menghina pemimpin pelajar yang tidak sependapat dalam hal kebebasan bersuara.

Mengapa ambil contoh bertelanjang di khalayak ramai. Mengapa binatang beruk diambil sebagai perbandingan. Adakah itu saja contoh dan perbandingan yang  mampu difikirkan dalam menghujah tidak bersetuju dengan apa yang disuara dan dilakukan oleh Fahmi.

Paling malang jika itu dikatakan contoh dan perbandingan yang terbaik.

Berbeza pendapat adalah perkara biasa dalam sebuah kehidupan. Tapi berhujah untuk berbeza pendapat dengan mengambil contoh perlakuan telanjang dan beruk dihutan adalah satu perbuatan yang sifatnya menghina. Ianya sungguh memalukan bahkan menghina diri sendiri.
  
Tidak ada sesiapa pun percaya adanya kebebasan mutlak. Ianya mustahil dan tidak mungkin. 

Bolehkah kita bebas untuk tidak mati? Tiba masanya yang ditentukan Allah, kita akan mati.

Oleh itu kebebasan hak bersuara yang dimahukan oleh pemimpin pelajar dan yang lain adalah kebebasan untuk menyatakan hasrat dan melakukan tindakan bagi hal-hal yang pada pendapat mereka boleh menyekat potensi kemampuan mereka untuk berkhidmat dan menyumbang kearah kebaikan.

Memang maksud kearah kebaikan itu sesuatu yang subjektif bergantung kepada nilai yang diamalkan. Kebaikan pada Fahmi mungkin tidak sama dengan kebaikan kepada naib cancellor itu. Dan jika berbeza, jalan penyelesaiannya bukan hanya menyekat dan menindas. Tidak juga dengan cara memperlekehkan. Berilah ruang dan peluang untuk pihak itu menyatakan hasratnya, dan berhujah dengan menggunakan akal bukan emosi.

Sekali lagi tabik hormat saya pada anak muda yang bernama Fahmi, presiden PMUM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan