Theflowersellingboy

Ahad, 16 November 2014

Susah Hendak Tidur Sebab Angan-angan Nak Jadi PM dan MK




12 malam , mula mahu melelapkan mata.  Tapi tidak pernah segera lena. Kadang-kadang sampai pagi. Biasanya paling cepat setengah jam selepas itu. Tersedar pukul 12.30 pagi untuk ke bilik air. Begitulah tiap-tiap hari. 

Macam-macam cerita berlegar dalam kepala. Lepas satu, satu cerita. Cerita tiada hujungnya. 

Ada kawan beritau kalau susah tidur bacalah buku, dijamin cepat tidur. Betul kata kawan itu. Cuma, bacaan buku itu berakhir dengan buku yang membaca muka saya sehingga saya sedar untuk ke bilik air dengan lampu masih menyala.

Begitu juga kalau tengok tv melampaui 12 malam yang berakhir dengan tv melihat saya.

Baca buku , buku akan baca saya. Tengok tv, tv akan tengok saya. Begitu mudah untuk saya tidur.

Tapi kalau tidak baca buku atau tidak  tengok tv, saya tidak mudah tidur. Jadi apa saya perlu lakukan?

Berblogging?

Idea tidak selalunya datang semudah datangnya berbagai cerita dalam otak kepala semasa berbaring untuk melelapkan mata.

Kalau begitu jadikan cerita-cerita  dalam kepala itu sebagai modal cerita, cadang seorang kawan.

Saya menggelengkan kepala, tidak bersetuju kerana cerita-cerita itu banyak yang tidak masuk akal, tidak logik.

Adakah masuk akal saya nak jadi PM, nak jadi Menteri Kewangan. Mat Jeninpun takut nak berangan-angan seperti itu. 

Tak mahu glamour ke? Tanya kawan saya. Belum sempat nak jawab dia tanya lagi, tak mahu senang dan mewah ke?

Orang gilapun nak jadi glamour, hidup mewah dan senang, jawab saya.

Saya beritahu kawan saya itu bahawa saya adalah juga manusia biasa yang juga gilakan perkara-perkara tersebut walaupun saya tidak gila. Kalau saya gila, lagi bertambah gila saya mahu jadi glamour, hidup mewah dan  senang.

Jadi apa yang tidak masuk akal cerita dalam otak kau?

Dalam kepala saya itu saya hendak jadi PM. Saya juga nak jadi menteri kewangan pada masa yang sama seperti PM kita sekarang ini. Macam Paklah. Macam Dr. Mahathir.

Itu perkara biasa di Malaysia, kata kawan saya.  Ianya masuk akal.

Tapi cara saya buat keputusan tidak masuk akal.

Kawan saya menjadi pening. Apa cara buat keputusan yang tidak masuk akal itu. Dia begitu setia menunggu. Mulutnya ternganga, menunggu jawapan saya.

Adakah bermaksud buat keputusan ikut sedap sendiri. Tanya kawan saya yang berhenti melopong. Tambahnya lagi, bukan untuk kepentingan rakyat?

Sudah tentu  ikut sedap sendiri. Saya mesti mendahului rakyat.

Kawan saya tidak melopong lagi. Dia sangat marah kerana saya mementingkan diri dan tidak prihatin kepada rakyat.

Kalau begitu, janganlah jadi PM. Jangan jadi menteri kewangan. Menteri lainpun jangan mimpi. Buat abis boreh, kata kawan saya yang mula bersuara tinggi. 

Saya tersenyum sendirian. Kemudian bangkit dari kerusi meninggalkan komputer, menuju ke katil untuk tidur.
.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan