Theflowersellingboy

Rabu, 19 November 2014

Dasar Pendidikan Populist?




Dr. Mahathir kata dasar pendidikan negara adalah dasar populist. Ertinya dasar yang bertitik tolak kepada mendapat undi, dan bukan kepentingan memberikan pendidikan yang terbaik kepada rakyat. 

Dr. Mahathir memberi contoh bahawa sekolah vernakular dibenarkan adalah atas desakan masyarakat Cina. Ini adalah keputusan atas pertimbangan politik.

Akibatnya, tambah Dr. Mahathir, orang miskin dapat pelajaran bermutu rendah, sedangkan orang kaya mempunyai pilihan untuk mendapat mutu pendidikan yang lebih baik dengan menghantar anak-anak ke sekolah swasta dan sekolah luar negara, termasuk cucu-cucu beliau. 

Jadi yang kaya terus dan kekal jadi kaya dan yang miskin terus dan kekal jadi miskin kerana anak orang miskin tidak mempunyai daya saing dalam pasaran tenaga kerja. Macam mana mahu bersaing jika penguasaan bahasa antarabangsa (bahasa Inggeris) terlalu lemah.

Bagi saya pula, keputusan secara populist (mengambilkira sokongan undi) tidak mudah diketepikan oleh mana-mana kerajaan. Misalnya penukaran aliran Inggeris ke aliran Bahasa Melayu adalah atas kehendak rakyat majoriti terutamanya orang Melayu. Begitu juga, desakan orang Cina bagi mengekalkan sekolah vernakular adalah disebabkan untuk mendapat sokongan undi orang Cina.

Ertinya apa pun asas yang digunakan, populist atau pragmatik, tiada sebab kerajaan yang memerintah menyediakan pendidikan bertaraf rendah kepada rakyatnya.

Dari komen Dr. Mahathir itu, apa yang saya nampak ialah lebih kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dikalangan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah di Malaysia, khususnya sekolah kebangsaan , dan bukan sangat dasar populist. 

Memang benar penguasaan bahasa Inggeris terjejas semenjak aliran pembelajaran ke Bahasa Melayu. Walaupun bahasa Inggeris telah diajar bermula dari sekolah rendah sehingga peringkat universiti, sebahagian besar pelajar masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris (lisan dan tulisan) sebaik ketika aliran Inggeris digunakan. 

Sebelum aliran Melayu diperkenalkan, semua mata pelajaran adalah dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu kenapa perlu dibuat perbandingan. Jangan banding durian dengan buah epal -rupa bentuk , saiz dan rasa sudah tentu lain.

Maka tidak perlu timbulkan soal populist atau pragmatik.

Apa yang perlu ditanya ialah mengapa setelah mendapat pendidikan bahasa Inggeris sehingga ke peringkat universiti, pelajar yang dikeluarkan tidak mampu menguasai bahasa Inggeris. Adakah misalnya i) berlaku kelemahan dalam sukatan pelajaran bahasa Inggeris dari segi masa yang diperuntukkan, ii) guru-guru tidak terlatih mengajar bahasa itu khususnya di luar bandar , iii) teknik dan cara mengajar serta pembelajaran yang membosankan misalnya terlalu memberi penekanan kepada grammar dan bukan keutamaan expressi idea.

Saya ada satu pengalaman tentang idea expression berbanding dengan nahu ) grammar. Sewaktu saya ditunjukkan hasil tulisan (karangan) anak saya oleh guru, saya dengan segera menunjukkan kepada guru kesalahan tenses yang digunakan oleh anak saya, tapi guru itu tidak pula menandakan sebagai salah . Sebaliknya karangan anak saya itu diberi tahap cemerlang.

Kata guru itu, yang penting anak saya telah berjaya melahirkan idea walaupun dalam tense yang salah. Dengan cara ini ianya memberi keyakinan kepada anak saya untuk mengeluarkan idea tanpa takut membuat kesilapan dari segi tense. Ini yang berlaku di England.

Soal penekanan kepada nahu ini berbanding dengan idea expression , membuatkan sebahagian besar pelajar yang belajar bahasa Inggeris, menjadi pasif, tidak mahu berkomunikasi takut salah nahunya.
 
Selain dari kompetensi guru-guru dalam bahasa Inggeris, falsafah pendidikan juga perlu diubah. Maksud saya ialah bahawa ketika ini penekanan diberikan kepada pelajar yang cemerlang dari segi bantuan dan penyediaan berbagai kemudahan.

Pelajar yang cemerlang, yang mendapat keputausan yang terbaik, khususnya pelajar Melayu/Bumiputera akan ditempatkan di sekolah-sekolah asrama penuh dan MRSM. Mereka ini mendapat biasiswa dan bantuan kewangan yang lain disamping kelengakapan sekolah dan guru-guru yang baik.

Sedangkan mereka yang tidak cemerlang yang sangat-sangat memerlukan berbagai bentuk bantuan, dibiarkan begitu saja, bersekolah disekolah yang serba tidak lengkap malah ada yang daif termasuk kekurangan guru dan pengawasan dari pihak berkuasa.

Mengapa tidak kita bina sekolah berasrama penuh bagi mereka dari golongan ini. Berikan mereka kemudahan, kalau tidak lebih, sama dengan sekolah berasrama penuh bagi pelajar yang cemerlang.

Cara ini tidaklah menjamin pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Tapi ianya memberi keadilan kepada pelajar yang tidak cemerlang yang sebahagian besarnya terdiri dari orang miskin. Dan ianya boleh memperbaikki tahap penguasaan pelajaran termasuk bahasa Inggeris.

Tapi jika penguasaan bahasa Inggeris menjadi matlamat kerajaan maka tukarlah aliran bahasa pengajaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Saya berat merasakan inilah yang dikehendaki oleh Dr. Mahathir. Sudah tentu jika ini yang diputuskan maka keputusan itu adalah satu keputusan yang tidak populist. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan