Theflowersellingboy

Jumaat, 7 November 2014

SELANGOR:PM Najib Telah Letih dan Malu. Bekas PM Dr. Mahathir Minta UMNO Selangor Dirombak. Ketua UMNO Selangor Noh Omar Tanya Semenjak Bila UMNO di COP Parti Rasuah




Semalam saya telah perkenalkan 3 watak manusia yang berbeza status , pengaruh dan kuasa, X, Y dan Z yang mana X adalah manusia berstatus rendah  yang bekerja sebagai pemandu kereta kuda kepada tuannya Y. Z adalah manusia yang paling berkuasa dan kaya serta berpengaruh, tuan kepada X dan Y.

Z yang kentut sangat itu busuk secara selamba bertanya bau apa yang busuk ini.  Y pula memandang X seolah-olah memnita X mengaku bahawa bau yang sangat busuk itu adalah bau kentut X. Kemudian memberi amaran kepada X agar lain kali jangan kentut depan tuan besar.

Ada 3 inti pati cerita ini:

i) Ada tuan besar yang buat salah (kentut) tapi selamba dan berpura-pura tidak tahu.

ii) Ada kaki bodek dan pengampu yang dengan segera membersihkan perbuatan salah ketuanya dengan meletakkan kesalahan kepada orang yang bawahannya yang tiada kuasa.

iii) Ada orang bawahan yang tiada kuasa yang sanggup memikul kesalahan orang lain yang lebih berkuasa kerana percaya bahawa sumber rezekinya dari orang yang berkuasa.

Cerita ini memperihalkan status, kedudukan dan kuasa yang membentuk pola perhubungan.

Najib adalah PM Malaysia ketika ini. Manusia yang paling berkuasa di Malaysia ketika ini. Dr. Mahathir adalah mantan PM yang telah menjadi PM selama lebih 22 tahun dan orang yang paling berkuasa selama tempoh tersebut. Noh Omar, pernah satu masa dulu jadi menteri , dan manusia yang paling berkuasa di kementeriannya dulu.

Ketiga-tiga mereka adalah ahli UMNO, dan kelihatan tersangat sayang akan UMNO. UMNO Selangor pula dikatakan amat lemah sekali diukur dari kegagalan menguasai Selangor dalam 2 PRU. Kedudukan seperti ini (kalah kepada PR) membuatkan PM Najib mengeluh merasa letih dan malu. Perasaan PM Najib ini disambut oleh bekas PM Dr. Mahathir yang menyatakan UMNO Selangor penuh dengan rasuah dan oleh itu menyarankan agar UMNO Selangor dirombak dengan kepimpinan yang baru.

Kata-kata bekas PM Dr. Mahathir ini amat menusuk dada dan hati Ketua UMNO Selangor Noh Omar yang antara lain bertanya bekas PM itu semenjak bila parti UMNO di cop sebagai parti rasuah. Ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar itu.

Hubungan diantara PM Najib dan Noh Omar adalah sama seperti pola hubungan diantara X dan Y, atau diantara Y dan Z atau diantara X dan Y dengan Z. Ertinya diantara orang bawah dengan ketua (bos) yang ada kuasa.

Apabila PM Najib mengeluh merasa letih dan malu, keluhan itu sudah tentu keluhan bersasar. Noh Omar sebagai ketua UMNO Selangor sudah tentu dengan mudah tahu siapa yang disasarkan oleh PM Najib itu. Tapi beliau tidak pula memberi reaksi atau respons secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan rasa letih dan malu PM Najib itu.

Sebaliknya apabila bekas PM Dr. Mahathir mengatakan UMNO Selangor perlu dirombak kerana rasuah, Noh Omar secara terang dan segera menanya semula bekas PM itu dengan soalan semenjak bila UMNO dikatakan/ di cop sebagai parti rasuah. Pada Noh Omar bekas PM itu ada jawapan kerana telah berkuasa selama tempoh lenih 22 tahun.

Lihat, Noh Omar tidak berani memberi reaksi kepada  PM yang ada ketika ini , Najib, sebaliknya menunjukkan keberaniannya yang luar biasa kepada bekas PM.  Apa sebabnya?

Saya katakan keberaniaan yang luar biasa ialah kerana ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar kepada bekas PM yang tiada kuasa lagi itu.

Beranikah Noh Omar melakukan sedemikian rupa pada Dr. Mahathir semasa Dr. Mahathir jadi PM? Sudah tentu tidak. 

Dalam hikayat lama mengenai cerita raja dan rakyat jelata terdapat dialog  seperti berikut:

"Apa saja kata tuanku itulah kata hamba pacal yang hina", sembah mamak bendahara.

Ertinya kalau raja kentut , raja itu boleh saja mengatakan rakyat yang kentut.

Dalam UMNO pun begitu juga, "Kita serahkan saja kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan", kata ahli-ahli UMNO.

Ertinya kalau pemimpin mengatakan ambil  wang hasil dari pengaruh kedudukan seseorang dalam jawatan sebagai bukan rasuah maka ianya bukan rasuah.

Sebab itu X yang tidak kentut pun mengaku kentut. Kalau tidak kena buang kerja, habislah sumber rezeki.

Sebab itu lebih selamat diserahkan kepada pucuk pimpinan, kalau tidak jawatan yang diidamkan tidak menjadi kenyataan.

Jadi kalau ada kuasa orang akan ikut dan tidak berani bantah, macam Noh Omar dan PM Najib.. Kalau tiada kuasa, macam bekas PM Dr. Mahathir, orang seperti Noh Omar berani menyindir pula.. 

Ertinya dalam politik, dan juga dalam sebahagian besar kehidupan seseorang, BERANI itu bukanlah kerana BENAR. 

Yang BENAR sekarang ini ialah jika seseorang itu berdiam diri , bersama dan bersubahat dalam hal-hal yang buruk dan keji seperti salah guna kuasa, rasuah, fitnah memfitnah dan lain-lain yang buruk kerana dengan berbuat demikian kedudukan dalam bentuk jawatan dan sumber rezeki akan terjamin.

Siapa berani menyanggah Dr. Mahathir semasa beliau jadi PM dulu? Tiada seorang yang berani.

Jawapan itu salah. Hanya ada seorang manusia saja yang berani menyanggah Mahathir semasa beliau berkuasa. Siapakah orang itu?

Yang saya tahu ialah orang yang menyanggah Dr. Mahathir semasa Mahathir tiada kuasa ialah Noh Omar.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan