Theflowersellingboy

Rabu, 30 Julai 2014

Menggantikan MB Selangor: Kesepakatan PR Di uji.




Lebih seminggu saya tidak berblogging. Malas? Ya, mungkin ada unsur-unsur seperti itu, tapi bukan yang dominan. Entah mengapa saya lebih suka membaca berita dan cerita dari orang lain sehinggakan menulis ucapan Selamat Hari Raya tidak saya lakukan diblog kecil ini.

Namun begitu rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan:

 SELAMAT HARI RAYA DARI SAYA DAN KELUARGA, MAAF ZAHIR BATIN.

Baiklah. Ok, saya akhiri bulan Julai ini dengan sedikit coretan, menurut pandangan saya tentang isu penggantian Menteri Besar Selangor, dan reaksi dari parti/ahli parti dalam PR dan parti luar PR khususnya UMNO.

Ini bukanlah pandangan untuk mencari pihak yang bersalah kerana ianya tidak mungkin dilakukan dengan sebuah coretan tanpa mempunyai maklumat dan fakta yang tepat dan betul. Saya tidak berbekalkan hal-hal tersebut, dan tidak juga berada diakarumbi mana-mana parti politik. Saya hanya pembaca dan pemerhati yang duduk jauh dari persekitaran politik tetapi mempunyai rasa 'sayang' terhadap perkembangan politik tanah air. Apatah lagi perkembangan politik yang menguntung atau merugikan kehidupan rakyat .

Menteri Besar Selangor Tan Seri Khalid Ibrahim (TSKI) mahu digantikan dengan Dr. Wan Azizah, ADUN kajang yang juga Presiden PKR.

Saya tidak layak untuk menentukan patut atau tidak berlaku pertukaran MB selangor itu. Begitu juga saya tidak berhak untuk mengatakan ADUN Kajang itu seorang yang layak atau tidak layak untuk menggantikan TSKI.

Saya suka melihat dari segi prinsip dan kaedah berstruktur dan berorganisasi. Ertinya mengutamakan matlamat organisasi dari matlamat peribadi. Ertinya juga segala urusan adalah dilakukan berpandukan struktur organisasi yang telah dibentuk dan dipersetujui misalnya dari segi garisan tanggongjawab dan kepimpinan; saluran bagi pencetusan, pembentangan, penerimaan dan penyampaian/sebaran serta perlaksanaan sesuatu keputusan yang telah dimuafakati.

Tidak kira apa yang telah dipersetujui oleh organisasi melalui struktur organisasi yang telah dibentuk itu tidak sama atau tidak selari dengan pemikiran peribadi. Semua perlu akur melainkan peribadi itu tidak mahu lagi bersama dengan organisasi.

Soal peribadi itu mendakwa berada dipihak yang benar tidak timbul jika organisasi telah membuat sesuatu keputusan. Ianya perlu  diterima. Lagipun soal benar dan sebaliknya dalam sesebuah organisasi politik, ada ketikanya, dan ada setengah pihak mengatakan sebahagian besarnya , berasaskan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kerana yang penting ialah survival organisasi politik itu.

Dalam kes  menggantikan TKSI sebagai MB Selangor ini, PKR parti yang TKSI sebagai ahlinya, telah membuat keputusan untuk menggantikannya dengan ADUN Kajang yang juga presiden PKR.

Sebab, alasan dan motif serta logik atau tidak  logik banyak telah diperkatakan oleh berbagai pihak. Tapi bagi saya apapun yang mendasari keputusan itu, parti telah membuat keputusan untuk menggantikan MB itu. Setiap ahli PKR wajar akur termasuklah TKSI.

Namun begitu persetujuan PKR itu masih tertakluk kepada persetujuan dari PAS dan DAP.

Majlis Pimpinan PR diberitakan telah berbincang tentang penggantian MB Selangor itu. Secara dasar telah bersetuju dengan cadangan PKR untuk menggantikan TSKI dengan Wan Azizah. Bagaimanapun perkara tersebut perlu dibawa ke mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dan DAP untuk sesuatu keputusan.

Amat malang sekali sebelum mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dibuat, presiden PAS telah menyatakan beliau menyokong pengekalan TKSI sebagai MB Selangor. Kemudian dituruti dengan Timbalan presiden yang mengatakan kenyataan presiden itu bersifat peribadi kerana parti belum membuat keputusan.

Saya tidak bersetuju kenyataan presiden PAS dan timbalannya itu sebagai bersifat peribadi.

Apabila presiden mana-mana parti bercakap fasal parti, ianya tidak sama nilainya dengan seorang ahli biasa. Kesan dan pengaruhnya terlalu luas.

Apabila presiden mengatakan tidak bersetuju diluar dari saluran dan masa yang sepatutnya, maka kesan dan pengaruhnya tetap meresap kedalam perasaan dan minda ahli-ahli yang lain. Ada ahli yang bersetuju, dan ada ahli yang tidak bersetuju serta ada ahli yang mengatakan tidak sesuai dilakukan sebelum diputuskan dalam mesyuarat seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PR.
  
Ditambah sulitkan lagi, apabila terbongkarnya gerakan kumpulan ahli-ahli PAS yang juga berpengaruh, berbincang antara lain menyokong TKSI dan bekerjasama dengan UMNO parti lawan PR.

Perbincangan kumpulan yang berpengaruh itu juga bukanlah bersifat peribadi. Ianya satu kumpulan pendesak.

PR nampaknya menuju kepada kemungkinan berpecah. Itulah kemungkinan yang tidak menjadi masalah kepada kumpulan pendesak itu. Mereka lebih selesa untuk bekerjasama dengan UMNO.

Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz juga menambahkan lagi seriousnya kemungkinan berlaku perpecahan PR kerana beliau juga menyokong kenyataan presiden.

Persoalan yang penting untuk survival PKR, DAP dan PAS  (PR) bukan pengganti MB; bukan juga soal TKSI tiada melakukan rasuah dan telah berkhidmat dengan baik; tidak juga manipulasi dan sikap optunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak suka kepada kekuatan gabungan PKR, DAP dan DAP bagi mengantikan BN.

Survival parti adalah lebih penting. Ertinya TKSI dan Wan Azizah tidak boleh mengatasi kepentingan parti.

Memahami dan mengetahui manipulasi dan sikap oprtunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak sukakan kekuatan PR, bukan satu syarat yang cukup walaupun perlu, bagi survival sebuah parti atau pakatan beberapa buah parti.

Apa yang perlu ialah kesetiaan dan menepati janji yang telah disepakati, ketika senang, susah dan waktu yang mencabar.

Ada pihak yang berhujah bahawa masing-masing parti iaitu PAS, PKR dan DAP boleh hidup bersendirian. Itu adalah kenyatan yang benar.

Tapi ada satu kenyatan yang lebih benar ialah bahawa pengaruh PAS tidak akan berkembang; pengaruh PKR juga sama dan pengaruh DAP pun begitu juga. Jangan beragan-angan untuk mentadbir Malaysia. Jangan sibuk-sibuk bercakap fasal hendak menghapus rasuah dan segala penyelewengan kerajaan yang di hebuh-hebuhkan.

Dan jangan salahkan rakyat memilih BN yang PAS, PKR dan DAP mengatakan sebagai parti yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan saksama.

Itulah sebenarnya erti survival sebuah parti politik di Malaysia ini iaitu tidak mengkhianati kesepakatan dan perjanjian yang telah dibuat.

Sudah tentu PAS lebih faham tentang makna kesetiaan. Bukan saja Islam mengajar begitu bahkan PAS juga telah dikhianati dahulu.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan