Theflowersellingboy

Selasa, 5 Ogos 2014

Pencapaian Malaysia di Sukan Komenwel Terjejas di Sebabkan Iklim Scotland Yang Sejuk




Sukan Komenwel telah selesai. Malaysia di kedudukan ke 11 dalam pungutan pingat emas, setapak belakang Singapura, negara kecil pulau yang sentiasa menjadi bandingan dalam setiap bidang saingan -politik, ekonomi, keselamatan dan sebagainya.

Berbagai pihak telah menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing tentang pencapaian Malaysia dalam saingan di sukan komenwel ini.  Ada yang berpuas hati dan ada yang kecewa. Masing-masing memberikan alasan.

Dalam banyak-banyak alasan, saya tertarik dengan alasan yang diberikan oleh seorang daripada pelumba basikal. Beliau tewas. Malah pencapaian acara berbasikal menurun berbanding dengan pencapaian di New Delhi.

Lalu beliau berkata antara sebab yang memberi tekanan kepada beliau ialah tentang cuaca sejuk di Scotland.  Ini menjejaskan prestasi beliau.

Ya, semua orang tahu cuaca di Scotland adalah sejuk berbanding dengan cuaca di Malaysia yang terlalu panas.

Saya percaya setiap anggota sukan komenwel Malaysia sedar dan tahu bahawa cuaca di Scotland adalah sejuk berbanding dengan Malaysia. Begitu juga dengan kontingen dari negara-negara lain seperti Singapura, Trinidad dan Tobago, Kenya dan yang lain-lainnya bahawa cuaca di Scotland tidak sama dengan cuaca di negara mereka.

Maknanya persiapan yang dilakukan sebelum menghadapi saingan di Scotland sudah tentu mengambil kira tentang keadaan cuaca yang berbeza itu. Cara bagaimana untuk menghadapi kesejukan sudah tentu telah difikirkan dalam setiap persiapan dari segi kekuatan mental dan fizikal serta teknik, tektik dan alat kelengkapan yang digunakan.

Ertinya peserta Malaysia telah terlebih dulu didedahkan dengan hal-hal berkaitan dengan ketahanan dalam mengharungi kesejukan. Sama juga dengan yang dilakukan oleh negara-negara lain seperti Singapura.

Jika benar kesejukan itu yang menyebabkan beliau kalah maka beliau sewajarnya tidak dipilih untuk menyertai sukan di negara bercuaca sejuk. Biarlah beliau beraksi dan bersaing dalam negara bercuaca panas, atau hanya beraksi di Malaysia saja. Sudah tentua beliau akan menang!

Beliau akan menang?

Bagi saya belum tentu lagi. Buktinya jelas sekali. Dalam perlumbaan berbasikal  de tour Langkawi, tidak pernah peserta Malaysia menjadi johan mengalahkan peserta negara lain termasuklah peserta dari negara-negara beriklim sejuk.

Cuaca Malaysia panas, peserta negara sejuk juga yang menang. Yang kalah ialah peserta Malaysia. Cuma tidak ada alasan mengatakan kekalahan disebabkan cuaca panas. Dan tidak juga ada alasan dari peserta negara sejuk bahawa mereka menang kerana cuaca panas membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bersaing..

Jika mereka kata kepanasan memberikan mereka semangat untuk bersaing dan menang , sudah tentu kita malu tersipu-sipu kerana alasan kita kalah ialah kerana bersaing dinegara beriklim sejuk. Iklim sejuk langsung tidak menaikkan semangat kita untuk bersaing untuk menang malah melemahkan mental dan fizikal kita.

Begitulah cara kita dalam menjawab mengapa kita kalah. Macam mana dengan Singapura. Singapura beriklim sejuk ke?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan