Theflowersellingboy

Jumaat, 18 Julai 2014

MH 17: Sekali Lagi Peristiwa Malang Menimpa Negara.




Sahur jam lima pagi, isteri menalipon anak di Putra Jaya untuk bertanyakan sudah sahur atau belum. Waktu itu saya sedang membuka peti ais untuk mengambil sesuatu.

Tiba-tiba terdengar suara perbualan isteri semacam orang terperanjat, mukanya nampak berubah. Saya menjadi sedikit panik. Dalam otak telah memikirkan yang bukan-bukan, ada berita keluarga yang kurang baik. Tapi isteri masih dapat mengawal diri, tidak menangis dan masih meneruskan perbualan dengan anak kami di Putra Jaya itu.

"Tidak ada kena mengena dengan keluarga", itu yang mahu saya percaya,,kalau tidak mesti isteri tidak dapat meneruskan perbualan. Saya tidak mahu mengganggu perbualan mereka.

"MAS kena tembak bang, ada dalam berita. Kita tak tengok berita malam tadi",  isteri memberitahu sebaik saja meletakkan gagang talipon. Dia lantas membuka tv. Kelihatan PM sedang bercakap dalam satu sidang akhbar, siaran ulangan saya kira.

Maka sahlah pesawat MH17 terhempas yang dipercayai akibat dari tembakan peluru berpandu dari darat ke udara (SAM), dan jatuh berhampiran daerah bergolak puak pemisah Ukraine, disempadan Russia.

Pihak-pihak yang bertelagah iaitu pemerintah Ukraine dan puak pemisah serta Russia, masing-masing menuduh satu sama lain yang melakukan tembakan itu.

PM Malaysia telah meminta perkara ini disiasat segera dan membawa ke muka pengadilan pihak yang melakukan kekejaman itu.

Saya memanjangkan rasa simpati keatas syarikat penerbangan Malaysia yang ditimpa satu lagi peristiwa malang selepas kehilangan MH 370, yang masih lagi belum diketahui kemana hilangnya. Peristiwa ini menambahkan lagi beban dan tekanan kepada syarikat, yang sudah sedia ada dengan masalah perniagaan yang sentiasa rugi.

Takziah kepada mereka yang kehilangan orang yang disayangi. Semoga roh mereka dimasukkan dikalangan orang yang diberkati dan dirahmati, amin.

Itulah saja yang dapat saya lakukan.

Marilah kita semuannya mendoakan dunia aman, tiada perperangan. Pohon doa agar jika ada pergeseran dan perbalahan atas sesuatu isu atau tuntutan, agar pihak yang berbalah memilih jalan perundingan. Banyak nyawa dapat diselamatkan.

Saya memang tidak suka tengok cerita perang, atau filem-filem yang berkaitan dengannya walaupun ianya satu imiginasi pengarahnya. Bagi saya perang dilakukan oleh orang yang tamak. Tamak kuasa dan tamak segala-galanya.

Dan mereka yang mempunyai kekuatan senjata, yang  canggih manggih seperti Amerika, Russia dan Israel, perlu dipersalahkan. Merekalah yang menyediakan asas atau tapak yang kukuh bagi meransang dan melakukan perang. Sebab mereka adalah pembuat, pengeluar dan pembekal senjata. Mereka menjual senjata, dan pihak lain menggunakannya.

Peperangan tidak berlaku di Russia atau di Amerika. Negara mereka tidak musnah. Negara lain yang musnah, apa perlu mereka kisah!

Sebab itulah atas nama apa sekalipun , peperangan, pertelingkahan dan pergaduhan tidak ada faedah langsung.  Tapi malangnya, dari dulu sehingga kini, dunia,  tidak habis-habis dengan pergaduhan dan pertelingkahan, penuh dengan konflik yang sebahagian besarnya melibatkan pertempuran senjata dan bunuh membunuh.

Paling malang sekali, kita yang tidak ada kena mengena dengan pertelingkahan dan perebutan diantara mereka,  tidak semena-mana ditembak seperti menembak sasaran latihan atau burung yang terbang  yang mahu pulang kesarang.

Maka hancur berkecailah MH17 kita itu. Kejam sekali mereka yang melakukannya.

Jadi, apa pun yang dirumuskan dalam siasatan oleh pihak-pihak tertentu, peristiwa malang seperti ini akan berterusan jika dunia mempunyai negara-negara yang terlalu angkuh dalam pembuatan dan pengeluaran senjata, dan senjata itu pula diperdagangkan berselindung disebalik kata-kata yang penuh penipuan, untuk mempertahankan diri.

Semua itu adalah kata-kata angkuh dari orang yang tamak , yang tidak berperikemanusiaan. Israel dan Amerika serta Russia penganut kepada sifat tamak dan angkuh itu.

Sekali lagi takziah kepada keluarga yang malang, dan simpati saya kepada MAS dan Kerajaan Malaysia.

Ya Allah jauhilah negara kami dan rakyatnya dari peristiwa malang dan kejam seperti ini pada masa hadapan.

Saya bersahur dalam kesedihan, dan marah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan