Theflowersellingboy

Ahad, 6 Julai 2014

Menyediakan senarai jemputan kahwin.




Menyediakan senarai jemputan majlis kahwin bukan satu perkara yang mudah. Ada  dua perkara penting yang perlu diambil kira iaitu i) berapa ramai jemputan ,ii) siapa yang hendak dijemput.

Berapa ramai jemputan pula ada kaitan dengan kemampuan membiayai majlis.

Berapa had yang dikatakan mampu? Faktor apa yang menentukan kemampuan?

Dua soalan diatas saling berkaitan.

Dalam keadaan  kos hidup yang tinggi ketika ini, sudah tentu faktor berjimat cermat diambil pertimbangan. Sudah tentu kita melihat poket kita terlebih dahulu, misalnya berapa gaji atau pencen bulanan, simpanan yang ada, dan pendapatan tambahan dari sumber-sumber lain jika ada.

Setelah mengambil kira sumber itu , katakan bajet paling maksima kita ialah RM 10,000.

Kita pun berbincang dengan penyedia makanan (caterer) yang menetapkan harga satu kepala RM15.00. Harga itu dicapai setelah berkali-kali berlaku tawar-menawar antara kita dengan caterer itu, yang antara lain melibatkan jenis-jenis makanan dan minuman serta perkhidmatan yang disediakan.

Caterer tidak mahu kurang daripada itu kecuali kita menambahkan bilangan jemputan menjadi 1,000 atau mengurangkan bilangan jenis makanan. Alasan yang diberikan adalah sama dengan alasan yang kita berikan iaitu harga barang sekarang ini mahal.

Makanan dan perkhidmatan yang disediakan adalah biasa saja , sama dengan kebanyakan majlis yang diadakan ditempat kita. Tidak mewah.  Dan harga itupun sama saja dengan lain-lain caterer yang pernah kita bincang. Maknanya harga itu harga pasaran semasa.

Selain dari kos sedia makanan, kos lain yang terlibat ialah sewa kemah (buat majlis dirumah kerana sewa dewan juga mahal), pelamin, sewa pakaian pengantin, kompang dan berbagai perbelanjaan runcit lain. Katakan jumlah kos lain itu ialah tiga ribu.

Ini bermakna bajet sepuluh ribu kita itu hanya tinggal tujuh ribu saja untuk tujuan kos membayar penyediaan makanan. Ia juga bermakna bilangan jemputan kita hanya seramai 466 saja.

Jika kita tidak punya sahabat handai dan kawan kenalan yang ramai, rasanya kurang pening kepala. Tapi jika sebaliknya, sudah tentu akan memeningkan kepala. Siapakah diantara saudara mara dan sahabat kenalan yang perlu keluar dari senarai.

Misalnya setelah diperincikan berdasarkan kategori saudara mara, jiran , kenalan sekolah/universiti/tempat kerja jumlah jemputan melebihi 466 orang. Saudara mara dan jiran terdekat pun sudah mencapai angka melebihi 466 orang.

Siapakah yang wajaar digugurkan?

Bukan mudah untuk menggugurkan jemputan itu. Ianya boleh menimbulkan rasa kecil hati dan merajuk, yang seterusnya merosakkan hubungan kita. Tapi kalau dijemput lebih dari itu sudah tentu kita akan menjadi tertekan jika semua yang dijemput sudi datang kerana makanan yang disediakan kurang dari itu. Berpeluhlah tapak tangan dibuatnya sambil menyimpan rasa malu dan kecewa kerana ada tetamu yang tidak dapat makan dimajlis kita.

Jadi macam mana?

Tambah bajet lagi.

Bagi saya bajet tambahan adalah satu perkara yang mudah. Saya telah melakukan banyak kali. Kalau lebih belanja, tambah lagi bajet. Saya lakukannya pada tiap-tiap tahun. Mudah saja tambah bajet ini.

Sudah tentu anda mengatakan saya orang kaya , banyak wang. Bila-bila saja wang boleh ditambah.

Sabar dulu. Cerita saya belum habis.

Apa yang saya lakukan itu sudah lama berlalu. Dan ianya juga bukan bajet sendiri. Bajet kerajaan. Menyediakan peruntukan tambahan adalah kerja saya dulu. Tambahan bukannya seribu dua, malah berjuta. Bukan wang saya. Wang negara/negeri -wang rakyat.

Tapi apabila melibatkan wang sendiri, saya tidak mampu mengeluarkan wang lebih dari sumber yang ada. Saya percaya andapun sama.

Jadi untuk menambah bajet majlis kahwin adalah diluar kemampuan kita. Ertinya mahu tidak mahu kita kurangkan bilangan jemputan.

Ada yang nanti berkecil hati apabila mendapat berita kita telah mengadakan majlis tanpa menjemputnya. Maka kalau jadi begitu kita minta maaflah.

Jika perkara sama berlaku pada kita, jangan pula kita berkecil hati. 

Namun begitu pernah juga diberitahu bahawa ada orang yang lebih suka tidak dijemput. Tidak tahu mengapa? Mungkin orang itu tidak mahu menyusahkan tuan rumah.

Dan ada orang secara bergurau (tidak pasti gurauan itu merupakan perasaan sebenarnya atau gurauan semata-mata) mengatakan kad jemputan itu sebagai surat saman. Maknanya kena bayar samanlah -kena hulur wang kepada tuan rumah. 

Orang seperti ini tidak memeningkan kepala kita jika namanya digugurkan dari senarai jemputan. Tapi macam mana kita dapat mengenali orang seperti itu?

Sama ada bergurau atau tidak, saya rasa janganlah kita kata begitu kepada orang yang menjemput kita. Sebaliknya merasa bangga kerana kita masih diingati dan tidak keluar dari senarai jemputan kawan kita itu. Kita tidak digugurkan.

Dan menghulur sedikit wang pada tuan rumah adalah terlalu kecil nilainya berbanding dengan ingatan kawan kita itu.

Sebenarnya saya sedang menyediakan senarai jemputan majlis perkahwinan anak saya. Pening kepala sekarang ini.

Tempat tinggal, no. talipon dan maklumat lain yang memudahkan perhubungan untuk  menyampaikan jemputan,sebahagian besar tidak ada pada saya, dan kalau pun ada misalnya no.talipon, no itu orang lain yang punya.

Dan saya telah dimarahi oleh seseorang kerana menghubungi sesuatu no. yang dulunya dimiliki oleh kawan saya. Saya minta maaf. Tapi kata orang itu, "takkan minta maaf saja".
 
Bertambah pening kepala saya dibuatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan