Theflowersellingboy

Selasa, 1 Julai 2014

Kasih dan Sayang Orang Melayu Terhadap Yang Seagama.




Kitalah bangsa (Melayu) yang paling pengasih dan penyayang terhadap sesama agama. Maksud saya sesama agama Islam.

Kasih sayang kita sesama Islam tidak boleh ditandingi oleh bangsa lain yang beragama Islam. Ini bukan satu kenyataan kosong atau suka buat-buat saja. Kita ada bukti yang boleh dilihat, ditunjuk dan diketengahkan.

Rasa sayang dan cemburu kita semakin bertambah jika orang yang seagama itu mendapat perhatian atau sudah bersama dengan orang beragama lain. Kita berang dan sentiasa mempersoalkan kenapa orang seagama kita itu sanggup mengadu hal dan meminta pertolongan dari orang atau pihak bukan Islam. Apatah lagi orang itu sudah tidak bersama dengan agama kita, yang kita panggil murtad.

 Maka naik berang dan marahlah kita sebagai tanda kecewa kita diatas keadaan itu. Sebab kita sayang saudara kita itu. Kita mahu ke syurga bersama.

Orang atau pihak yang kita marah sangat ialah orang/pihak bukan Islam yang telah dapat memikat hati dan nurani saudara Islam kita itu. Maka kita akan melakukan berbagai reaksi dan tindakan. Kita keluarkan kenyataan menyerang bukan Islam itu. Kita mengeluarkan kata-kata ancaman akan mengambil tindakan terhadap pihak itu kerana telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan agama lain disebarkan dikalangan orang Melayu.

Ancaman itu tidak terhad kepada tindakan undang-undang saja. Kita bersedia untuk melakukan kekerasan dengan merosak harta benda dan mencederakan pihak tersebut.

Jika kita mendapat berita ada orang Islam yang berkahwin dengan bukan Islam, dengan segera kita bertindak untuk menghalangi perkahwinan itu, walaupun status Islamnya orang itu masih lagi kita belum tahu dengan jelas. 

Sebab apa kita berbuat begitu?

Sebab kita adalah bangsa yang paling pengasih dan penyayang. Kita seolah-olah tidak mahu berpisah dan dipisahkan, hidup mahupun mati. Dari dunia hingga akhirat.

Itulah caranya kita menumpahkan kasih sayang.

Menakjubkan?

Tidak pasti perkataan 'menakjubkan' itu menepati cara kita menumpahkan kasih sayang. Atau itukah cara yang terbaik yang perlu kita teruskan.

Namun satu hal yang pasti ialah kita sayang dan kasih apabila orang itu telah tiada. Maksudnya i)orang itu tidak bersama kita lagi, dan ii) orang itu telah mati.

Sebelum berlaku salah satu dari dua keadaan itu, kita tidak ambil peduli. Susah ke, ada makan minum ke, sakit ke, perlu bantuan wang ke, perlu bantuan ilmu agama ke dan berbagai-bagai lagi termasuk nama orang itu kita tidak ambil kisah.

Yang paling malang sekali pihak yang mempunyai kekuatan kewangan seperti Jabatan agama (Pusat Zakat) tidak juga memberi perhatian baik tentang perkara ini. Hanya berbangga tentang jumlah kutipan zakat yang bertambah dari tahun ke setahun sedangkan keperluan orang yang susah ini tidak mendapat perhatian yang baik.

Jadi salahkah orang itu menerima bantuan dari pihak lain yang tidak seagama misalnya dari orang/gereja keristian?

Mengapa orang itu dikatakan murtad hanya semata-mata menerima bantuan dari gereja? Jika sebenarnya orang itu murtad kerana telah begitu tertarik diatas kebaikan gereja, tidakkah kita orang Islam juga mengambil tanggungjawab? Kenapa mesti menyalahkan pihak lain?

Apabila berlaku kematian saudara-saudara baru, kita berebutan mayat dengan kaum keluarga saudara baru yang masih bukan Islam. Kita sanggup gali kubur untuk mendapat mayat itu untuk dikuburkan diperkuburan Islam. Tidakkah tindakan itu sudah terlambat?

Mengapa sebelum orang itu mati kita tidak tunjukkan bahawa orang itu sebenarnya saudara se Islam yang perlu kita dekati, dan jika susah kita beri bantuan, dan jika masih kurang ilmunya, kita bantu tambahkan. 




 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan