Theflowersellingboy

Isnin, 14 Julai 2014

Atak murunnasa bilbirri, watansauna anfusakum: Cakap Tak Serupa Bikin.




Saya selalu mengajak dan memberitahu kepada anak-anak saya agar melakukan yang terbaik  atas prinsip amal makruf nahi mungkar. Dan saya juga berada dalam situasi yang sama apabila berurusan dengan orang-orang dibawah penyeliaan saya, misal ketika dalam mesyuarat, perjumpaan kumpulan dan perjumpaan peribadi.

Saya merasa puas dan bangga melakukannya.

Antara yang saya beritahu dan ajak ialah melakukan banyak membaca. Membaca buku yang boleh memperkembangkan minda untuk berfikiran membangun dan positif. Saya juga menasihatkan agar rajin dan tekun belajar, tidak ponteng sekolah, jauhi dari merokok dan elakkan dari mengambil harta dan hak orang lain walaupun harta itu tidak diketahui tuan yang empunya, misalnya wang yang dijumpai.

Begitu juga yang saya minta dan beritahu kepada mereka dibawah penyeliaan saya agar bekerja dengan penuh amanah tanpa melakukan pecah amanah seperti ponteng kerja, ambil rasuah dan menggunakan harta dan aset organisasi untuk faedah diri.

Apa yang saya harapkan ialah kejayaan iaitu berjaya membentuk anak-anak yang sentiasa melakukan yang terbaik dalam rangka amal makruf nahi mungkar. Saya mengharapkan perkara yang sama dari warga kerja organisasi saya.

Saya percaya ramai orang melakukan seperti yang saya lakukan kalaupun tidak semuanya kerana semua orang mahukan yang baik , sesuatu yang di suruh oleh Allah SWT.

Sekali lagi saya katakan bahawa saya begitu puas dan bangga melakukannya, ketika itu.

Semasa saya lakukan itu, saya tidak pun ingat dan mengambil kira bahawa saya adalah juga sebahagian dari mereka iaitu  saya adalah sebahagian dari anak-anak saya. Saya adalah sebahagian dari orang-orang dibawah penyeliaan saya.

Saya mengecualikan diri saya. Saya bukan sebahagian dari mereka. Ajakan kearah menjayakan amal makruf dan nahi mungkar itu tidak ada kaitan langsung dengan saya, bukan untuk saya. Saya adalah terkecuali, boleh saja melakukan yang bertentangan dengan ajakan saya itu.

Tapi satu hal yang saya sentiasa idamkan malah sentiasa mendakwa sebagai sebahagian dari mereka  ialah ketika mereka itu berjaya, ketika mana anak-anak saya berhasil menjadi orang baik-baik,dan ketika mana organisasi saya menghasilkan warga kerja yang beramanah.

Saya lupa akan sikap dan pendirian saya yang sentiasa mengecualikan diri dari melakukan yang terbaik atas dasar amal makruf nahi mungkar. Yang penting saya adalah tukang beritahu, dan ada pihak lain yang melakukannya.

Setelah masa berlalu, dan dalam kesempatan yang masih berbaki, dan setelah dikenang, difikir dan direnungkan apa yang telah berlaku, saya menyatakan tanpa ragu-ragu bahawa cara saya itu adalah tidak betul. Ianya satu cara yang salah dan zalim walaupun ada kejayaan yang dicapai. Kejayaan itu sebenarnya tidak layak untuk saya kongsi bersama kerana saya bukan sebahagian dari mereka yang menjayakannya.

Hari ini saya diingatkan oleh ayat Allah yang membawa maksud: "Patutkah kamu menyuruh manusia  supaya membuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri  (Sura Baqarah , ayat 44).

Dalam bahasa yang mudah, apa yang telah saya lakukan dan apa yang juga dilakukan oleh kebanyakan orang adalah sama dengan kata-kata : Buat tak serupa bikin.

Oleh itu berhenti dari menjadi tukang beritahu, tukang nasihat dan tukang ajak bagi melakukan amal makruf nahi mungkar jika kita sendiri mengecualikan diri  dari melakukannya kerana Allah mengingatkan kepada manusia semua bahawa perkara itu TIDAK PATUT. Maksudnya dilarang.

Ini hanya nukilan imiginasi saya saja. Bukan yang sebenarnya berlaku.Wallaualam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan