Theflowersellingboy

Khamis, 10 Julai 2014

Dia Yang Hidup Bergelandangan




Dia masih ingat reaksi bapanya semasa ia menghulurkan kertas keputusan SPMnya. Masa itu ia berdiri tegak dan kedua-dua jari-jari tangannya erat ikat mengikat antara satu sama lain, dilunjurkan ke bawah pusat menghampiri ari-ari kencing, sambil matanya kadang-kadang berkelip-kelipan. Dia menunggu dengan penuh kesediaan akan bentuk dan jenis reaksi bapanya.

Dia menjadi tidak percaya apabila bapanya menghulurkan semula kertas kecil putih itu sambil beredar dan meninggalkan satu perintah yang jelas, tanpa ragu-ragu kewajipan baginya untuk patuh.

"Amek lagi sekali". Tiada bahang panas cetusan gunung berapi.

Sekarang dia berada disini. Selalunya disini. Tetapi ianya bukan satu ruang kekal untuknya.  Untuk disini, memiliki ruang ini, dia mesti mendahului dari pesaing-pesaing lain. Siapa cepat dia dapat. Ruang itu tiada status sebagai hakmilik terpelihara. Siapa saja boleh mendakwa hak kepunyaan. Syaratnya mesti dan wajib mendahului orang lain selagi ianya masih belum berisi.

Dia patuh arahan bapanya dulu. Dan kerana SPM itulah dia berada disini.

Dia tidak sanggup lagi untuk berdiri didepan bapanya. Bukan kerana takut. Tapi rasa bersalah yang amat sangat.

Sebelum keputusan diumumkan dia cepat-cepat berhijrah kesini. Dia sudah tahu keputusan itu kerana dia yang berhadapan dengan  semua kertas SPM itu. Ada soalan yang dia jawab dan banyak yang hanya ditulis no gilirannya. Kertas-kertas itu dikembalikan kepada penyelia peperiksaan apabila tamat saja tempoh masa menjawab yang dibenarkan.

SPM membawa dia ke sini.

Dia masih dapat membayangkan suasana keluarganya di kampong semasa menjalani dan melalui hari dan malam pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.  Bulan Ramadhan yang melimpah ruah rezeki di bazar-bazar Ramadhan yang boleh dihidangkan untuk berbuka dan bersyahur. Bermacam-macam ada.

Waktu berbuka dan waktu bersyahur adalah serupa saja. Tiada rebut merebut makanan. Air yang diceduk dari tempayan sudah lebih dari cukup untuk digugup. Tidak ada cerita dan cakap-cakap tentang kurang masin atau terlebih garam dalam makanan. Tidak ada yang manis terlebih gula yang boleh menjadi penyebab kepada kencing manis.

Adik-adiknya yang lima orang jumlahnya dan ibunya duduk bersila dan bersimpuh membuat satu bulatan. Sebelah ibu ialah bapanya yang duduk bersila.

Mereka santap makanan dengan tekun sekali. Tiada yang berbaki didalam pinggan. Bapanya lebih awal meninggalkan majlis santapan berbuka itu. Berdiri di muka pintu untuk mendapat kedinginan angin meniup badannya yang berlenggeng adalah satu kepuasan mengatasi keenakan berbuka puasa.

Maghrib berlalu tanpa ucapan kata-kata pujian dan kesyukuran dari keluarganya. Waktu maghrib hanya diingat dan dinanti hanya setakat pemberitahu waktu berbuka puasa. Tiada juga Isya, terawih. Mungkin terlalu letih dengan santapan berbuka.

Dia juga masih ingat betapa berangnya bapanya apabila dia mencadangkan agar zakat fitrah tidak perlu dibayar. Keluarganya termasuk dalam salah dari lapan golongan yang layak menerima zakat. Itulah yang dia diberi tahu oleh ustaz dalam kelas mata pelajaran agama dulu.

Bagi bapanya yang tidak pernah ponteng puasa, zakat fitrah mesti dibayar untuk diri dan tanggungan.

"Itu tanggungjawab aku. Kau jangan nak memandai-mandai".

Terbayang akan tangisan emaknya semasa bertengkar dengan bapanya tentang membeli pakaian baru untuk dia dan adik-adik. Bagi emaknya sehelai persalinan sudah mencukupi bagi merai dan menyambut hari raya.

"Pakai saja apa yang ada". Noktah, ibunya tunduk patuh dengan air mata berlinangan.

Sekarang dia berada disini, dalam sebuah kota raya yang terlalu sibuk. Sibuk dengan berbagai kenderaan dan jenis pengangkutan awam. Manusia pun terlalu sibuk. Hingar bingar bunyi hentakan tiang-tiang 'pailing' bangunan. Segalanya sibuk.

Manusia yang sibuk itu tidak pula menyibuk mengambil tahu tentang orang lain. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri.  Masing-masing berperangai macam enau yang melepaskan pucuk masing-masing.

Dia pun begitu juga. Dia sibuk dengan dirinya sendiri.  Disini dia mesti melakukan dengan cepat. Sentiasa mendahului orang lain. Ruang mesti segera dikuasai. Kotor bersih bukan satu pertimbangan penting. Yang penting boleh lepak dan melingkar untuk merihat diri dan tidur. Dia tidak ambil  peduli tentang bau badan yang bacin hancing kerana jirannya juga terlalu sibuk dengan diri masing-masing.

Siang menghampiri gelap. Ini adalah waktu yang amat ditunggu-tunggu dalam bulan Ramadhan yang melimpah ruah rezeki ini. Dia menunggu suara azan dengan penuh patuh. Kawan-kawan sebelahnya pun begitu juga.

Bergema saja azan, digugupnya air dalam gelas yang dipegangnya. Dia mula mengunyah makanan yang diperolehi hasil usahanya beratur panjang petang tadi. Ikhsan dari sebuah kumpulan.

Dia terlalu bersyukur kerana dalam kesibukan insan bandaraya untuk diri masing-masing ada juga yang bermurah hati, mengambil kisah tentang hal insan yang lain. Insan yang bergelandangan seperti dia. Seperti adik-beradiknya dikampong , dia juga tidak berebut makanan. Cuma bezanya dia mendapat makanan hasil dari belas ikhsan sebahagian warga kota raya. Tidak ada makanan yang hendak direbut oleh adik beradiknya.

Maghrib berlalu. Dia sedar dan tahu. Dia juga tahu maghrib juga berlalu begitu saja tanpa diraikan oleh keluarganya dikampong.

Dan dia juga tahu ini mungkin kali terakhir dia berada disini kerana menteri sudah keluar arahan untuk menangkap orang sepertinya, jika masih disini.  Dia juga tahu hari ini mungkin hari terakhir dia mendapat makanan secara beratur panjang kerana menteri telah beri arahan untuk mengambil tindakan mengeluarkan saman kepada pemberi makan  kepada para gelandangan.

Dia mesti balik kampong?



  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan