Theflowersellingboy

Rabu, 16 Julai 2014

Melanggar Kereta Dari Belakang: Yang kena Langgar Marah Melampau, Yang Melanggar Kata Ianya Tidak Sengaja.




Sekarang ni heboh cerita fasal seorang wanita marah-marah dan berkelakuan yang dikatakan setengah orang sebagai tidak wajar kepada seorang warga emas lelaki berikutan kereta barunya dilanggar dari belakang oleh warga emas itu.

Banyak komen yang tidak bersetuju dengan kelakuan yang ditunjukkan oleh wanita itu.

Be, rdasarkan video yang saya lihat, dan suara yang kurang jelas yang saya dengar, saya juga tidak bersetuju cara yang dilakukan oleh wanita itu.

Tapi saya ingin menyatakan seperti berikut:

Memang mudah bagi seseorang yang tidak terlibat keretanya dilanggar, untuk mengatakan bahawa perempuan itu tidak patut bertindak seperti yang dipaparkan dalam video itu. Sepatutnya beliau bersabar dan bertenang tanpa  mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ada  unsur perkauman (kalau sebutan Cina itu dikatakan perkauman) sesuai sebagai seorang wanita, apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang menghendaki kita orang Islam lebih bersabar.

Tapi ianya tidak semudah itu bagi sesiapa yang keretanya, apatah lagi kereta barunya, dilanggar dari belakang untuk bersikap dan berperasaan tidak marah. Sebanyak sedikit orang itu merasa sedih dan kecewa kerana kereta kesayangannya telah dilanggar, dan sudah tentu akan sekurang-kurangnya tercalar, tidak kelihatan seperti asalnya.

Dari perasaan sedih, kecewa itulah ianya boleh merangsangkan rasa tidak puas hati terhadap orang yang melanggar dari belakang itu. Yang bersalah, mengikut undang-undang yang ada ialah melanggar dari belakang.

Dengan perasaan tidak puas hati dan dibantu oleh kedudukannya dipihak yang benar (tidak bersalah) sudah tentu  orang yang keretanya dilanggar itu akan menunjukkan sikap dan pendirian yang keras, menuntut agar pihak yang bersalah itu membuat sesuatu bayaran bagi membolehkan kerosakan keretanya dipebaikki.

Tahap kekerasan itu, berbeza antara kita semua.

Wanita itu nampaknya terlalu keras. Tapi perlu ingat. tindakannya itu adalah tindakan spontan.

Sesiapapun, melainkan orang yang terlalu penyabar, menerima musibah sebagai satu ketentuan, akan bertindak, secara spontan, paling kurang menyalahkan orang yang melanggar keretanya dari belakang dan meminta bayaran untuk memperbaikki keretanya.

Saya kira tindakan meminta bayaran itu tidak salah. Wanita itu telah menilai kerosakan keretanya sebanyak RM2,000.00.

Bagi saya pernyataan maaf warga emas itu patut dipuji. Saya percaya ianya bukan disengajakan.

Tetapi dalam masa yang sama warga emas itu perlu mengambil tanggungjawab untuk bersetuju mengeluarkan belanja untuk memperbaikki kerosakan kereta yang dilanggarnya, kerana sengaja atau tidak, melanggar dari belakang adalah satu kesalahan.

Jika itulah respons dari warga tua itu, disamping permohonan maafnya, saya rasa suasana ditempat kejadian itu akan menjadi kendur. Dan tidaklah wanita itu berterusan mengeluarkan kata-akata yang tidak sesuai.

Cuma penentuan kos itu patut dibuat oleh sebuah woksyop yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Namun jika warga tua itu bersetuju, ianya lebih memudahkan lagi penyelesaian.

Oleh itu dalam sikap kita menilai perlakuan wanita itu sebagai kurang wajar, dan ada setengah pihak mengutuk dengan keras kerana memalukan bangsa dan agama, kita juga wajar meletakkan diri kita sebagai berada dalam keadaan yang dihadapi oleh wanita itu, iaitu kereta dilanggar dari belakang dan kereta baru pula.

Melenting tak kita?

Saya percaya, ada yang mungkin lebih keras dari yang ditunjukkan oleh  wanita itu.

Dan mungkin ada, saya jangkakan tidak ramai, yang bersabar dan memaafkan perbuatan tidak sengaja warga emas itu.  Ini adalah sifat terpuji. Ianya tidak ada pada wanita itu dan juga sebahagian besar dari kita, termasuk saya.

Lebih lagi terpuji, jika kedua-dua belah pihak, setelah memohon dan menerima maaf, masing-masing bersetuju menanggong dan menerima kos yang dinilai oleh woksyop atau apa saja jumlah yang dipersetujui bersama.

Berdasarkan gambar dalam video, tidak jelas adanya kerosakan yang melampau. Tapi wanita itu ada hak untuk menyatakan perasaannya. Cuma beliau nampaknya telah melampaui dari sepatutnya. Dan saya memahami sikapnya itu tapi tidak bersetuju.

Warga emas juga telah melakukan sesuatu yang betul. Cuma beliau wajar bertanggongjawab diatas apa yang telah berlaku sama ada sengaja atau tidak disengajakan.

Oleh itu janganlah kita terus mengutuk wanita itu walaupun perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan. Berilah masa beliau bertenang. Mungkin ada hikmah dari kejadian ini untuk mendidik perangai dan sikap kita, bukan saja wanita dan warga emas itu saja.  


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan