Theflowersellingboy

Sabtu, 12 Julai 2014

ARGENTINA vs JERMAN: Perang Dua Benua



Pasukan negara mana yang akan menang -antara Argentina sebuah negara di Amerika Selatan melawan Jerman sebuah negara di Eropah dalam pertarungan bolasepak piala dunia 2014.

Pertembungan ini bukan saja bagi merebut kejuaraan sukan paling popular di dunia ini, ianya seolah-olah satu pertembungan angkatan tentera  di medan perang. Biar putih tulang, jangan putih mata.Berkorban untuk negara.

Pemain-pemain tidak langsung gentar tentang kecelakaan diri- cedera tubuh badan, lumpuh tubuh badan, cacat fikiran waemah mati sekalipun.  Yang penting dapat bertempur.

Para jurulatih (coach) akan menggunakan segala strategi, tetik, teknik dan kepakaran serta muslihat bagi mencapai  kemenangan.  Kesan dan risiko dimaki hamun dan dibuang , jika kalah, tidak menguasai fikiran. Yang difikirkan ialah pasukan mesti menang.

Pertembungan 2014 ini akan menjadi paling getir. Ianya terlalu emosional. Ianya pertembungan dua benua diantara Argentina dari Amerika Selatan, dan Jerman dari Eropah. Kedua-duanya telah tertanam dan terlalu ego dengan kehebatan dalam bola sepak dunia. Ada rekod yang menyuburkan ego kedua-dua negara itu. Pernah menyandang juara bola sepak dunia. Mempunyai pemain-pemain yang terbaik beraksi diarena antarabangsa.

Ianya menzahirkan emosi yang amat tinggi sekali.

Pertama, kerana berlainan benua. Masing-masing mahu tunjuk benua manakah yang paling hebat dalam bola sepak. Argentina mahu membuktikan bahawa Amerika Selatan adalah 'the power house in world football'. Kesannya, bila cakap fasal bola sepak orang akan bercakap fasal South American football -sudah tentu merujuk kepada Argentina. Begitu juga sebaliknya.

Tapi syaratnya mesti menang. Demi kehebatan benua masing-masing , Argentina mahu menang, dan Jerman juga mahu menang.

Kedua, Jerman sudah menang perang saikologi sebelum menemui Argentina. Jerman telah mengalahkan Brazil, sebuah pasukan terhandal yang telah menjadi lima kali juara dunia, dilaman gelanggang lawan, di Brazil sendiri.

Menang bukan sebarang menang. Bukan menang tendangan pinalti. Atau menang kerana  masukan gol sendiri oleh pihak lawan. Atau menang 1 kosong, atau 2 kosong atau tiga kosong, atau empat kosong. Jerman menang besar 7 lawan 1.

7 lawan 1 bukan kemenangan nasib. Itu adalah kemenangan mutlak. Kemenangan hasil dari kehebatan Jerman dalam bola sepak.

Jerman menang bukan keatas pasukan Jepun, USA atau England misalnya. Jerman menang bukan diperingkat pusingan awal. Jerman menang diperingkat separuh akhir. Jerman menang dengan pasukan lima kali jadi juara.

Jerman boleh saya berkata, jika Brazil , sebuah pasukan dunia yang handal, boleh dengan mudah ditewaskan, dengan perbezaan jaringan gol yang besar, di Brazil pula, Argentina tidak menjadi hal, boleh juga dikalahkan , tambahan Argentina tidak bermain di tempat sendiri.

Sudah tentu Argentina tidak akan jatuh semangat jika kata-kata itu dihamburkan oleh Jerman. Malah kekalahan Brazil itu menyuntik semangat baginya untuk menebus maruah benua Amerika selatan dalam penguasaan bola sepak.

Maka Argentina akan memainkan sentimen kebenuaan dalam perlawanan akhir juara bola sepak 2014 ini. Bahawa Argentina adalah wakil benua Amerika selatan. Kekalahan Brazil adalah juga kekalahan Argentina, dan mesti dituntut bela.

Sudah tentu warga Brazil yang telah disakitkan hati itu kerana ego penguasaan bola sepaknya telah diperlekehkan, dimalu dan dihina  oleh Jerman mahu membalas dendam dengan memberi jiwa dan raga mereka sepenuhnya menyokong Argentina. Pasti suara sorakan sokongan untuk Jerman langsung tidak boleh didengar. Yang jelas terdengar nanti ialah Brazil, Argentina dan South America.

Sebab itu saya katakan perlawanan akhir bola sepak piala dunia 2014 ini adalah paling getir sekali. Bukan saja untuk memiliki piala dan nama kejuaraan itu bahkan ianya pertembungan dua benua untuk dinobatkan sebagai benua yang menguasai permainan sukan paling popular didunia.

Kimia yang menggetirkan emosi ialah sokongan dari warga Brazil keatas Argentina sebagai membalas dendam atas malu yang ditimpakan oleh Jerman keatas Brazil diperingkat separuh akhir yang telah mematikan 'pesta samba' yang telag lama dirancang dan menjadi acara utama sambutan kemenangan Brazil.

Siapa yang tak sakit hati? Begitulah yang ada dan membara dalam perasaan setiap warga Brazil. Dan baraan marah itu akan diletuskan pada perlawanan akhir nanti. Yang kena panas ialah Jerman. Yang dapat kenyamanan ialah Argentina.

Jadi pasukan mana yang menang?

Saya hanya dapat katakan dengan pasti bahawa pasukan yang menang ialah Argentina. Menang sokongan.

Jaringan?

Mana-mana pasukan yang tidak dapat mengawal perasaan marah, besar kemungkinan akan kalah. Kekuatan mental faktor utama menentukan menang atau kalah. Kerana dari segi kemahiran bermain, binaan fizikal, dan kehebatan jurulatih, kedua-dua pasukan menguasainya. Cuma Jerman kurang dari segi sorakan sokongan.

Biar putih tulang, jangan putih mata.

Tapi kita sentiasa putih mata walaupun mata kita berwarna coklat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan